Bab 11

1.2K 73 2
                                    

SUASANA di laman banglo itu cukup meriah bagai sedang menyambut Hari Raya sahaja lagaknya. Ramai saudara-mara sebelah Encik Sharifudin dan Puan Lisa yang dijemput memeriahkan majlis makan-makan yang diadakan tiga bulan sekali.

Asyraf, sepupu kepada Syahrin datang bersama Ain Suhana, isterinya dan dua orang 'hero'nya, Iqram dan Iqbal.Tidak ketinggalan ibu bapa Asyraf, Encik Buhairi dan Puan Wardah. Di sebelah Puan Lisa pula hanya Kamal, adiknya yang tinggal di Bangsar dan isterinya Nora yang nampak muka. Yang lain-lain tidak muncul kerana punya komitmen masing-masing.

Kalau tidak datang pun bukan suatu hal yang menghairankan kerana kebanyakan saudara-mara sebelah Puan Lisa duduk di luar Kuala Lumpur. Jadi mungkin menjadi suatu masalah bagi mereka untuk datang ke pusat bandaraya dan menempuh kesesakan lalu-lintas semata-mata mahu bertandang ke rumah Encik Sharifudin.

Fazreen dan Zureen cepat sahaja mendapat 'geng' bila bertemu Iqram dan Iqbal yang lebih kurang sebaya mereka. Berkali-kali laman rumah itu ditawaf sambil berlari. Langsung tidak ingat perut kosong. Bila penat, mereka sekadar meminta air minuman kemudian bermain lagi. Seronoknya menjadi anak-anak kecil yang belum tahu apa-apa. Tidak perlu memikirkan segala macam masalah yang sering membelenggu fikiran orang-orang dewasa.

"Kau tak ajak Milia datang?" tanya Asyraf dengan muka bersahaja mengunyah kepak ayam panggang tanpa memandang muka sepupu yang memang cukup rapat dengannya. Mereka sering bertemu untuk berkongsi cerita terbaru tentang diri masing-masing. Selalu juga, Asyraf datang melepak di rumah Syahrin yang terletak di Petaling Jaya.

"Tak." Singkat jawapan Syahrin.

"Kenapa?" tanya Asyraf.

Ain Suhana yang tumpang sekaki mendengar perbualan suaminya dengan sepupu rapatnya itu tersenyum-senyum melihat tingkah Syahrin yang berwajah bersahaja bagaikan orang tidak punya perasaan.

"Malas."

"Malas? Kau ni asyik itu aje jawapan kau. Tak ada ke seseorang yang betul-betul dapat mengikat hati kau tu. Hei...kau ni tak ada selera nak kahwin ke, Syah? Rugi tau lambat kahwin ni. Tengok aku ni, dah dua permata hati aku. Campur yang seorang sebelah aku ni ada tiga," gurau Asyraf dengan mata menjeling sayang ke muka isterinya yang duduk di samping. Ain Suhana ketawa gelihati mendengar suaminya menyakat Syahrin.

Muka Syahrin berkerut. Tidak gemar mendengar usikan itu. Begitu pun dia tidak cepat melatah mendengarnya. Siapa yang tidak mahu mengecap nikmat berumahtangga? Cuma jodohnya cukup liat. Tentulah kerana dia terlalu memilih dan inginkan kesempurnaan. Sudah dapat perempuan cantik, perangai pula tidak menepati kriteria gadis idaman. Semua perempuan yang dikenalinya sama spesis, berperangai gedik dan terlalu mengada-ngada. Baru kenal sudah melebih-lebih. Huh, rimas!

"Macam mana hubungan kau dengan Milia?" korek Asyraf. Dia sudah merebahkan punggung di sebelah Syahrin. Sambil mengunyah kepak ayam panggang yang tidak habis-habis, dijelingnya muka Syahrin.

Syahrin yang sedang menyisip jus oren, tidak gelojoh menjawab. Termenung sejenak. "Aku kawan aje dengan dia," katanya kemudian.

"Kawan lagi? Tapi kau nampak happy dengan Milia. Aku ingat kau dengan dia serius. Aku suka kalau kau jadi dengan dia. Dah tak sabar nak makan nasi beriani kambing ni." Asyraf gelak-gelak mengusik sepupunya. Sedikit masa lagi Syahrin bakal jadi bujang terlajak. Usianya sudah menjangkau 30 tahun tetapi sampai sekarang masih senyap sunyi. Entah bila kompang di majlis perkahwinannya akan berbunyi.

Syahrin tersengih sendiri. Milia jadi isteri aku? Rasa hendak tergelak dia memikirkannya. Tidak dapat membayangkan bagaimana seorang perempuan terlebih gedik seperti Milia menjadi isterinya. Mahu serabut otaknya melayan perangai gedik Milia nanti. Dia memang sukakan perempuan manja tetapi biarlah manja semulajadi, bukan dibuat-buat seperti Milia.

Dia tahu Milia memang ada hati padanya. Malah keinginan Milia untuk hidup sebumbung dengannya cukup membuak-buak sehingga sanggup merendahkan maruah sendiri dengan merayu-rayu agar membawanya bertemu mama dan papa. Cuma dia yang masih membisu seribu bahasa. Langsung tidak terbuka hati untuk berumahtangga. Bukan dengan Milia saja hatinya beku bagaikan ais bahkan dengan semua wanita yang dikenalinya. Entah bila hatinya akan terbuka untuk berumahtangga, dia sukar hendak menjangka.

"Jangan tunggu lama-lama....nanti dia diambil orang." Asyraf tersengih-sengih memandang Syahrin. Lagu evergreen dari Ramli Sarip dan Kumpulan Sweet Charity menjadi pilihan untuk menyakat sepupunya.

"Biarlah. Ada aku kisah?" terpacul ayat itu dari bibir Syahrin.

Tergelak besar Asyraf dan Ain mendengarnya. "Kau tak takut Milia kahwin dengan orang lain?" usik Asyraf.

Syahrin mencemik muka. Milia kahwin dengan orang lain? Biarlah! Dia tidak kisah. Malah tidak berasa rugi sedikit pun. Milia pergi, sepuluh klon Milia datang merayu cintanya. Bukan mendabik dada tetapi memang itu hakikatnya.

Dengan wajah tampan, berkulit cerah, bertubuh tinggi dan sasa, perempuan tidak berkelip mata memandangnya. Ditambah lagi dengan kerjayanya sebagai jurutera senior yang berpendapatan melebihi RM15000 sebulan,menambahkan lagi sahamnya sebagai lelaki bujang paling diburu perempuan cantik. Dia memiliki segala-galanya kecuali satu. Seorang isteri. Hanya itu yang membuatkan dia rasa ketinggalan di belakang sepupunya, Asyraf.

Belum sampai sepuluh minit mereka bersembang, Ain Suhana telah dipanggil Puan Lisa. Entah apa yang dimahukan Puan Lisa dari isteri anak saudaranya itu.

"Mama aku nak jodohkan aku dengan seorang gadis. Apa pendapat kau?" Syahrin talakan soalan itu kepada sepupunya. Ingin sekali dia mendengar buah fikiran orang lain tentang usul mamanya agar otaknya tidak terbeban memikirkan persoalan yang akhir-akhir ini seringkali mengganggu benaknya.

Bulat mata Asyraf mendengar luahan hati Syahrin. "Siapa?" tanyanya pantas.

Syahrin angkat bahu. "Tak kenal. Tapi yang pastinya perempuan melayu terakhir," jawabnya.

Pecah tawa Asyraf mendengarnya sampaikan tersembur-sembur jus oren dari mulutnya. Dia arif sangat dengan frasa yang selalu digunakan Syahrin untuk menggambarkan berbagai watak perempuan. Salah satunya ialah 'perempuan melayu terakhir' itu.

"Dah tu, apa kata kau?" tanya Asyraf, berminat mahu tahu perasaan Syahrin.

"Aku cakap aku tak nak. Tapi, mama aku tu bukan boleh terima macam tu aje. So, mama suruh aku kenal-kenal gadis tu dulu. Kalau rasa sesuai, terima. Kalau tak, mama janji takkan paksa-paksa aku kahwin dengan dia," jelas Syahrin.

"Okeylah tu. Bila nak jumpa dia? Nak aku teman?" usik Asyraf sambil mengangkat-angkat kening. Sengaja menyakat Syahrin. Manalah tahu kalau-kalau sepupunya itu menggelabah berhadapan dengan seorang 'perempuan melayu terakhir'.

Berkerut dahi Syahrin menelan usikan Asyraf. "Tak payahlah sampai nak berteman. Kau ingat aku tak boleh handle?" marah Syahrin.

Meledak ketawa Asyraf mendengarnya.

SEPASANG KURUNG PINK (TERBIT)Where stories live. Discover now