20: Nota dari Cinta

114 17 12
                                    

🍁🍁🍁

Jam sudah menunjukkan pukul 1.34 minit pagi. Ella masih segar menghadap buku notanya yang baru saja diterima siang tadi. Selama beberapa jam, dia hanya mampu membuat rangka ringkas untuk entri blognya sebagai kolaborasi bersama Love Me Note Publication. Ringkas yang dimaksudkan hanyalah jadual susunan tarikh untuk memuatnaik entri yang masih belum diwujudkannya.

"Urgh!" desahnya sambil menggaru kepala yang tidak gatal. Geram apabila idea tidak kunjung tiba. Pada awalnya, dia ingin meneruskan idea travelog yang sering menjadi sajian blognya. Bahkan dia juga telah menyenaraikan banyak tempat-tempat yang ingin diterokai. Kebanyakan tempat-tempat itu menyediakan aktiviti lasak yang diminatinya.

Tetapi apabila teringatkan semula komitmen terhadap Xander, niatnya terbantut. Dia tidak mahu mengambil risiko untuk menjanjikan entri travelog yang menarik setiap minggu. Bimbang akan kekangan kerja daripada Xander. Lagipula, dia merasakan sudah tiba masanya untuk mencuba idea baru.

Pap! Buku notanya lalu ditutup rapat. "Macam mana idea nak datang kalau Xander aje yang aku fikirkan. Lebih baik aku tidur. Buat sakit kepala aje fikir benda yang tak berkesudahan," tuturnya perlahan. Lampu meja dimatikan sebelum dia menapak ke pembaringan. Sebaik menyelesakan diri di atas katil, notifikasi telefon dibaca setelah berjam-jam diabaikan.

"Speaking of the devil," gumamnya sambil menjongketkan keningnya saat membaca mesej Whatsapp daripada Xander.

'Salam, Cinta. Esok jam 8.30 pagi datang ke kondo saya.'

"Takziah, Ella." Perutnya mula terasa lain macam. Dunianya seolah-olah terhenti. Bijak Xander memilih masa untuk menghantar mesej itu. Beberapa jam saja lagi sebelum berlakunya pertemuan semula antara mereka berdua. Dia belum bersedia. Bibirnya mula membentuk seperti huruf U terbalik.

Mesej Xander dibaca sekali lagi.

"Salam ... Cinta," gumamnya perlahan. Entah mengapa ada sesuatu yang menarik dengan pembukaan mesej Xander itu. Selain daripada memberi kesan kepada hatinya yang berubah tidak keruan, sel-sel otaknya juga seolah-olah berhubung. Perkataan itu disebut sekali lagi, dan lagi. Anak matanya merenung siling bilik yang samar-samar disuluh cahaya lampu dari luar bangunan kondo.

"That's it!" luahnya dengan teruja. Bibirnya berubah kepada bentuk huruf U. Beban fikiran yang ditanggung sebentar tadi mulai bersurai. Dia baru saja mendapat idea untuk blognya. Segera dia membuka aplikasi Twitter. Sebelum itu, sempat lagi dia membalas pesanan Xander. Balasannya mungkin sedikit teruja jika dilihat dari jumlah emoji yang disertakan.

Dia lebih suka berkongsi perkara-perkara yang mengujakan melalui akaun Twitter-nya daripada dicatat saja. Reaksi daripada pengikutnya sering membuatkannya bersemangat hampir setiap kali berkongsi kemaskini tentang blognya.

'Hai semua! Nantikan kolaborasi akan datang ellathewanderer.com bersama @LoveMeNotePublication dalam segmen Nota Cinta Buat Cinta. Finally, something new for my Malaysian audience. What's it all about? Find out soon at ellathewanderer.com!'

Tawa kecil menyisip keluar dari celah bibirnya. Tidak disangka Xander boleh menjadi sumber idea untuk blognya. Segmen Nota Cinta Buat Cinta boleh ditafsir dalam pelbagai makna. Dia memiliki idea ringkas untuk segmen itu. Ringkas sememangnya adalah tema utama yang ingin digunakan. Mungkin ... menulis nota sebagai entri boleh dijadikan langkah pertamanya dalam dunia penulisan bahasa Melayu. Ringkas dan mudah.

Telah lama dia tidak menulis dalam bahasa ibundanya. Kali terakhir adalah ... "Diari aku," gumamnya sedikit terkejut kerana ingatannya masih menyimpan memori itu. Dia masih ingat, sejak kecil lagi dia suka menulis diari hariannya. Tabiat itu dibiasakan oleh Aunty Kayla. Sehinggalah dia menjejakkan kaki ke AS, dia masih meneruskan rutin itu. Tetapi pada suatu masa, ketika dia berumur 13 tahun, dia menulis ke dalam diari buat kali terakhir ... kerana seseorang. "Rasanya Nanna masih simpan diari tu," bisiknya perlahan.

Nota Cinta Untuk CintaWhere stories live. Discover now