Cuplikan #2

989 101 65
                                    

"Diha tahu hari ini ulang tahun kelahiranku?" Ariyyan mengetap bibir. Kek coklat dikeluarkan lalu dengan berhati-hati diletakkan di atas kitchen island. Pandangannya dilontar melihat ke sekeliling dapur. Baru dia perasan ada sedikit perubahan pada ruangan itu. Di atas kabinet dapur terdapat sebuah alat pengadun dan sebuah alat pemproses makanan.

Ariyyan meneliti peralatan elektrik tersebut. Kelihatan seperti baru dibeli. Seingatnya, dua peralatan itu tidak pernah ada di dapur sebelum ini. Di rak bahagian bawah kitchen island pula berderet beberapa majalah masakan yang tersusun rapi. Salah satu majalah dicapainya. Ariyyan membelek-belek kandungan majalah. Diha suka membaca majalah masakan rupanya. Sejenak, fikiran melayang mengingati Marsha. Arwah isterinya itu gemar akan majalah hiasan dalaman.

Seterusnya, mata terarah ke troli dapur di tepi peti sejuk. Troli minuman panas yang disediakan Diha buatnya. Barang-barang di rak bahagian bawah troli itu yang menarik minat Ariyyan. Dia membongkokkan badan dan mencangkung di tepi troli. Diperhatikan setiap satu label pada barang-barang berkenaan. Tepung naik sendiri, serbuk penaik, serbuk soda bikarbonat, serbuk koko serta beberapa bahan lain. Memang Diha membuat sendiri kek hari lahir yang cantik dan nampak menyelerakan itu.

Ariyyan terharu. 'Dalam kamu ditinggalin sendirian, kamu sibuk merencana kejutan ulang tahunku,' gumamnya. Muka diraup dengan kedua-dua tapak tangan. Dia melabuhkan punggung di atas kerusi. Seribu satu perasaan yang berbaur menghimpit jiwa. Sekejapan, pandangan kembali mengamati kek hari lahirnya. Terbit perasaan halus yang menyelinap dalam kalbu. Dirasakan kek itu terlalu istimewa buatnya.

"Diha ... kamu sudah terlalu banyak bersusah payah demi aku," luah Ariyyan perlahan. 'Dan aku balas semua ini dengan bawa si brengsek itu pulang ke rumah!' getus hatinya marah.

Ariyyan melirik jam di dinding. Sudah lewat. Namun, dia harus menemui Diha. Dia ingin bersemuka dengan isterinya tika itu juga. Pintu bilik Diha diketuk.

"Diha?"

Tiada jawaban. Dia mengetuk lagi. Senyap. Ariyyan memulas tombol pintu. Berkunci. Tidak pernah Diha mengunci pintu biliknya sebelum ini. Pasti Diha enggan diganggu.

"Diha ...." panggilnya lagi. "Tolong jawab, Diha."

Masih tiada jawaban.

"Diha, aku perlu bicara sama kamu," tutur Ariyyan. Terdesak. Dia mahu segera menjernihkan keadaan.

"Ya." Akhirnya Diha menjawab. Suaranya sedikit serak. Ariyyan menghela nafas. Diam-diam dia mempertikaikan tindakannya mengganggu Diha. Tentunya dia telah mengejutkan si isteri dari lena.

"Diha ...."

"Ada apa?"

"Kamu buat kue ulang tahun aku, ya?" Ariyyan menceriakan nada suara tatkala menyusun kata.

"Hmm."

"Mari potong kuenya sama aku." Lembut suara Ariyyan mengajak isteri. Biarpun sudah menginjak ke hari yang baharu, dia tetap berhasrat meraikan hari lahirnya bersama Diha.

Diam. Menantikan reaksi daripada Diha ketika itu membuatkan dia rasa terhukum.

"Diha?"

"Esok sajalah. Dah lewat ni. Saya mengantuk. Nak tidur," balas Diha. Ariyyan sedar Diha sekadar mencipta dalih. Tidak mempedulikan permintaannya.

"Kamu nggak mahu ucap Happy Birthday? Nyanyi lagu ultah buatku? Kasihan sama aku, deh. Sambut ultahnya balik pintu begini," pujuk Ariyyan bersungguh-sungguh. Cuba meraih simpati si isteri.

"Tadikan Sandra dah wish dan nyanyikan lagu untuk awak." Respons Diha serta-merta membuatkan Ariyyan kesal. Ariyyan yakin Diha menonton penampilannya dan ARJUNA dalam rancangan yang bersiaran secara langsung tadi. Pasti isterinya itu berkecil hati. Beria-ia menyiapkan kek hari lahir istimewa semata-mata demi meraikan sang suami. 'Si suami yang bego ini pergi bersambutan sama cewek lain!'

Ariyyan benar-benar rasa bersalah atas apa yang telah berlaku. Diha mesti dipujuk. Tetapi bagaimana? Ariyyan ke dapur mengambil kek hari lahirnya. Beberapa batang lilin dan pemetik api di atas kabinet dicapai lalu dibawa ke hadapan pintu bilik Diha.

"Cantik banget kuenya, Diha! Ada coklat kegemaranku lagi. Tentu lezat nih!" puji Ariyyan. Dia memerhatikan setiap perincian pada kek Diha. Diambil sebutir coklat M&M di atas permukaan kek. Dimasukkan ke dalam mulut.

"Yuk, Diha. Mari makan bareng aku. Aku nyalakan lilinnya nih," ajak Ariyyan lagi tanpa berputus asa.

"Saya mengantuk," ucap Diha malas. Dia tidak bersedia berdepan dengan Ariyyan buat masa itu. Dia penat mental dan fizikal. Dari bawah celah pintu Diha dapat melihat gerakan bayang Ariyyan yang sedang duduk. 'Huh?! Sudah berkampung di depan bilik ke si Ariyyan ni?' Ada bayang cahaya lilin juga. Diha bangun. Dia duduk di birai katil. Mata tidak berkelip memandang pintu bilik. Meneka-neka reaksi Ariyyan di luar pintu.


Terjemahan kata:
i. kue ulang tahun - kek ulang tahun/ kek hari lahir
iii. bareng - bersama/ dengan
iv. banget - sangat, amat


Berminat untuk tahu apakah yang sebenarnya berlaku? Dapatkan e-book 'Lelaki Langit Bumi' di E-Sentral sekarang

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Berminat untuk tahu apakah yang sebenarnya berlaku? Dapatkan e-book 'Lelaki Langit Bumi' di E-Sentral sekarang. Pautannya ada di bahagian profile. Kemudian, kita sama-sama decide nak beri hukuman apa pada Ariyyan ya ☺️

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now