Bab 6 - Lamaran Bismillah

1K 101 41
                                    

ARIYYAN menyandarkan kepala dan badannya di sofa. Kedinginan penyaman udara ruang pejabat Armand tidak berjaya walau sekelumit pun menenangkan jiwa. Minda dan hati tidak henti memikirkan wasiat tidak masuk akal Marsha. Sesungguhnya, Ariyyan jadi pening mengenangkan bagaimana dia hendak memperisteri Diha. Mencintai insan lain yang bukan Marsha.

Dia terlalu pasti yang antara dia dan Diha langsung tidak ada keserasian. Melalui penceritaan Armand, Diha hanya seorang gadis biasa. Tiada apa yang istimewa boleh menambat hatinya. Pada usia 27 tahun, masih memilih untuk hidup sendiri. Tidak berteman. Malah kerjanya juga tidak menentu.

Menurut pandangan peribadi Ariyyan, individu seperti ini mempunyai jiwa bebas yang sukar ditelah. Golongan yang bekerja sendiri tidak suka terikat dengan komitmen. Mereka selalunya punya pemikiran dan pendapat lain, yang bercanggah dari kebiasaan. Mahu mencorak kehidupan mengikut rentak dan cara mereka.

Tidak keterlaluan rasanya jika dia menganggap Diha sebagai seorang yang tidak punya rancangan masa depan. Umur sudah hampir mencecah tiga dekad tetapi tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap. Bekerja dari rumah? Kerja apa? 'Berapa sangat wang yang bisa diperoleh dengan menulis blog dan artikel di majalah?!' desisnya.

Gadis itu seperti tidak ada matlamat hidup. Tiada pelan jangka panjang. 'Mungkin sekarang dia tidak memerlukan banyak wang untuk biaya diri sendiri. Tetapi gimana sepuluh dua puluh tahun akan datang? Biaya perubatan? Biaya kos kehidupan? Dunia hari ini, semua hal perlu punya wang. Gimana dia dapat menampung kehidupannya?' monolog Ariyyan dalam hati.

'Usah terlalu bertanggapan negatif terhadapnya. Mana tahu dia seorang yang mandiri. Bijak mengatur hidup. Nggak ada salahnya, kan?' Tiba-tiba minda Ariyyan mengajaknya berasional. Pantas dia menggelengkan kepala. Sangkaan baiknya pada Diha segera diusir. Dia mengeluh.

Penampilan Diha juga terlalu ringkas. Pada pertemuan pertama mereka, gadis itu hanya mengenakan sehelai blaus berbunga kecil, sepasang seluar berwarna gelap dan bertudung. Tiada sebarang perhiasan atau barang berjenama di tubuhnya. Wajah pula dibiarkan kosong tanpa olesan alat solek. Kalau adapun mungkin sekadar solekan nipis.

'Bisakah dia menyesuaikan diri dengan kehidupanku di sini?' Menjadi isteri kepada penyanyi sepertinya tidak mudah. Setiap apa yang mereka lakukan senantiasa menjadi perhatian. Baik ketika pergi makan di luar, tengok wayang mahupun bersiar-siar. Setiap kali keluar rumah, mereka tidak lepas dari tumpuan lensa kamera. Belum campur dilanda gosip-gosip lagi.

Dahulu, semasa awal pembabitannya dalam bidang muzik, ketika ARJUNA baru mencipta nama, pelbagai gosip sering mengocak keharmonian rumah tangganya dengan Marsha. Mujurlah Marsha seorang yang pandai bertoleransi dan mudah dibawa berbincang. Malah, Marsha amat memahami tuntutan kerjayanya yang perlu selalu membuat persembahan di luar kota.

Sebaris senyum menghiasi wajah keruh Ariyyan tatkala mengenangkan arwah isterinya. Marsha bijak menyesuaikan diri dalam meniti kehidupan sebagai golongan selebriti. Dia sentiasa menjaga penampilan, pandai bergaul dengan wartawan dan peminat. Semua itu bukan boleh dibina dalam sehari dua. Kebijaksanaan Marsha mengatur hidup sebagai isteri seorang selebriti adalah berdasarkan pengalaman bertahun-tahun.

'Mahu buat gimana? Mahu pakai apa ke majlis itu? Gimana mau dilayan penggemar yang datang menyerbu? Gimana menjawab soalan panas wartawan?' Semua itu ditimba sedikit demi sedikit sejak Ariyyan mula bergelar artis hingga kini. Diha kena bersedia untuk menangani kesemuanya. Bagaimanakah jika dia tidak betah? Tidak mampu.

"Loe sudah siap, Ri?" Soalan Armand mengganggu dialog Ariyyan dengan akalnya. Ariyyan buntu. Marsha dan Diha, dua insan yang betul-betul bertentangan. Tidak sama. Bukan sahaja dari segi penampilan dan ciri fizikal malah gaya pemikiran mereka juga turut berbeza. Dia tidak nampak walau satu titik persamaan pun yang wujud antara kedua-duanya.

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now