Bab 15 - Tekad

902 76 48
                                    

BUNYI 'beep' dari komputer riba mengejutkan Diha. Petanda notifikasi masuk. Diha malas bergerak. Minda terus ligat berfikir. Nampaknya semua tips dan pesanan Marsha tidak wajar diguna pakai dalam keadaan sekarang. Tidak praktikal sama sekali. Semakin dia berusaha merapatkan jurang hubungan mereka, semakin dia tercampak jauh. Ariyyan yang ini kompas hidupnya berubah 180 darjah. Lantas Diha teringat perbualan dengan Bahri pagi tadi.

"Kang Ariyyan masih dingin melayan kakak?"

Dia sama sekali tidak terkejut mendengar pertanyaan Bahri. Bahri kerap menjadi saksi layanan dingin Ariyyan terhadap dirinya. Mood swing Ariyyan bukan boleh dijangka. Ada orang atau tidak, ikut kepala dia sahaja. Tidak hairanlah seandainya Bahri dapat mengesan kepincangan hubungan mereka.

"Maaf ya, saya nggak sepatutnya masuk campur. Saya sayang sama Kang Ariyyan. Saya juga senang banget sama kakak. Secara peribadi, saya nggak setuju kang melayan kakak sebegitu." Berhati-hati Bahri menuturkan kata. Bimbang soalannya membuatkan Diha berkecil hati. Dia tidak mahu melanggar sebarang garis sempadan antara seorang pekerja dengan majikan tetapi dia kasihan melihat keadaan Diha.

"Tak mengapa, Bahri. Saya yang tak pandai ambil hati dia. Eh, makanlah! Sejuk lempeng tu nanti," pelawa Diha. Secawan teh panas disuakan kepada Bahri.

"Usah repot-repot begini, kak. Kang Ariyyan lagi belum bersarapan nih." Bahri berbasa-basi. Segan dilayan sedemikian oleh Diha. Tuan rumah sendiri belum menjamah makanan, dia pula yang terlebih dahulu duduk menghadap hidangan.

"Tak susah mana pun. Makanlah. Ariyyan tak sarapan di rumah," tutur Diha perlahan. Dia memaniskan muka. Sebaik sahaja pandangannya jatuh ke wajah Bahri yang sedang tersenyum lebar, Diha mendapat idea.

"Bahri ...."

"Iya, kak."

"Boleh tak saya minta tolong? Saya siapkan bekal untuk Ariyyan, Bahri tolong beri pada dia apabila dah sampai di Chamar. Boleh kan? Kalau saya beri sekarang, tentu dia tak sudi hendak makan," pinta Diha sambil cuba menjelaskan situasi sebenar.

Bahri tersengih. "Bisa aja. Bisa diatur, kak. Rugi besar andai Kang Ariyyan nggak makan lempeng kelapa sama sambal ini. Aduh, enak banget!!" puji Bahri apabila Diha meletakkan sekeping lagi lempeng di dalam pinggannya. Berselera dia menyuap lempeng ke mulut.

Diha gembira mendengar persetujuan Bahri. Cepat-cepat dia membungkus beberapa keping lempeng kelapa dan sambal ikan bilis buat suami.

"Bahri, saya nak tanya sesuatu." Teragak-agak Diha menyusun bicara. Dia sudah pun duduk di kerusi berhampiran Bahri.

"Bisa aja, dong," balas Bahri. Tangannya laju menyenduk sambal ikan bilis ke pinggan. "Mau nanya apa, kak?"

"Dulu kan ... semasa arwah Marsha masih hidup, apa yang dia buat ketika Ariyyan bad mood?" tanya Diha jujur. Dia kehabisan ikhtiar. Perlukan bantuan talian hayat.

"Bad mood?" soal Bahri inginkan kepastian. Suapannya terhenti.

"Iya, waktu anginnya tidak baik."

"Mengapa kak tanya begitu?"

"Saya tak tahu nak buat macam mana kalau Ariyyan bad mood. Mati akal," jelas Diha. Bahri yang paling rapat dengannya di Jakarta. Rasanya tidak salah jika dia meminta pandangan Bahri. Lagipun, Bahri telah lama berkhidmat untuk Ariyyan. Anak muda itu mungkin lebih mengenali dan memahami rentak Ariyyan.

"Kalau kakak sendiri, kak bikin apa?" Bahri menyoal Diha pula.

"Maksud kamu?" Diha tidak faham akan pertanyaan Bahri.

"Iyalah, kenapa harus kak repot-repot mikirin apa yang almarhumah lakukan. Kakak tentu punya metode kakak sendiri, kan? Sekiranya kakak asyik mikir dan melakukan perkara-perkara sepertimana biasa dilakukan oleh almarhumah, nescaya mengundang kemarahan kang. Apa tidaknya, kak sudah ibarat jelmaan istrinya yang muncul semula di depan mata kang. Benar, bukan?"

Diha terdiam. Kata-kata Bahri yang lembut tersusun bagaimanapun menjadi satu pukulan kuat menghentak kewarasan akal. Langsung tidak terlintas di fikirannya sebelum ini tentang hal itu. Wajah Bahri dipandang. Bahri sekadar senyum dan mengangguk.

Betul juga. Sepanjang mereka hidup bersama, semua yang dilakukan untuk Ariyyan memang berdasarkan amanat serta pesanan Marsha. Mesti tindakan-tindakannya menggamit memori Ariyyan malah menguatkan lagi ingatan terhadap arwah isteri tercinta!

Alahai, maknanya selama ini dia yang secara tidak langsung mendorong Ariyyan terus-terusan menangisi pemergian Marsha! Salah strategi. Salah percaturan. Dia sendiri membiarkan perbuatannya dibayangi tingkah laku Marsha. 'Maafkan saya, Ariyyan.'

"Bahri, yuk! Aku udah siap nih," panggil Ariyyan, tiba-tiba muncul di pintu dapur. Serentak Bahri dan Diha berpaling. Ariyyan sudah bersedia untuk keluar. Beg tergalas di bahu kiri manakala sehelai jaket hitam dibawa di tangan.

Diha memerhatikan Ariyyan. Segak bergaya walau hanya mengenakan sehelai kemeja T tidak berlengan berwarna biru dipadankan dengan sepasang jeans lusuh. Bau pewangi Hugo yang dipakainya semerbak memenuhi ruang. Tanpa mempedulikan Diha, dia terus meluru ke pintu utama. Tergesa-gesa Bahri menghabiskan baki makanan di pinggan. Sempat juga Diha menitipkan beg kertas berisi sarapan buat Ariyyan.

"Tolong saya, ya. Saya bekalkan banyak lempeng ni. Cukup untuk kamu makan sekali."

Bahri angguk sambil tersenyum lebar. "Jangan runsing, deh! Anggap saja perkara ini udah selesai."

Diha turut mengikut langkah Ariyyan ke pintu. Saat lelaki itu hendak melangkah ke luar rumah, Diha memaut tangan kanan Ariyyan lalu menciumnya.

"Pergi dulu," ucap Ariyyan ringkas.

"Jalan baik-baik ya, Ariyyan," pesan Diha seperti biasa.

Tersentak dari lamunan panjang, Diha menggenggam kedua-dua tangannya penuh semangat. 'OK, Diha. Tak ada masa untuk putus asa!' Dia memasang tekad akan menggunakan pendekatannya sendiri demi mendekati Ariyyan. Kali ini, dia perlu lebih bersungguh-sungguh memastikan yang dia tidak akan tersilap langkah.

Terjemahan kata:
i. metode – cara, method

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now