Bab 17 - Pakatan Berdua

812 78 3
                                    

SUASANA di dapur meriah dengan suara Diha dan Bahri berbual-bual. Beria-ia Diha mendengar cerita Bahri memasang jerat agar Ariyyan makan lempeng yang telah dibekalkan semalam.

"Betul ke ni, Bahri?" soal Diha tidak percaya. Bulat matanya memandang Bahri. Jelas riak ceria terpamer di wajah. Dia tidak salah dengar, bukan? Meskipun terpaksa berkomplot menggunakan helah, setidak-tidaknya Ariyyan dapat menikmati masakan air tangannya. Bak kata orang tua dulu-dulu, jika hendak memikat hati suami, pikat selera dan jaga perutnya terlebih dahulu.

"Iya. Benar, kak. Makannya tanpa ragu. Pada mulanya, kang enggak mahu nikmati lempeng sama sambal ikan teri. Dibilang nggak tahan yang pedas-pedas. Tapi, selepas dicoba, makannya bagai enggak mau berhenti!" cerita Bahri bersulam tawa kecil. Lucu mengenangkan aksi Ariyyan yang tersandar kekenyangan setelah menghabiskan beberapa keping lempeng kelapa.

"Berkeringat seluruh wajahnya kepedasan, kak. Kang siap ngomong bisa makan lempengnya hari-hari karena enak banget," sambung Bahri.

"Baguslah kalau begitu, Bahri. Saya cuma nak pastikan makan minum Ariyyan terjaga. Saya risau dia kerja keras sangat sampai lupa mengisi perut. Nanti bila perut masuk angin, dia juga yang teruk menanggung akibatnya," luah Diha. Tangan menyenduk lauk kari ikan ke dalam bekas plastik berbentuk empat segi. Hari itu dia menyediakan kari ikan tenggiri terung bulat tanpa santan. Beberapa keping capati dan sebuku roti putih turut dibungkus. Kemudian, Diha memasukkan makanan-makanan tersebut ke dalam sebuah beg kertas lalu dihulurkan kepada Bahri.

"Nah, temankan Ariyyan makan sekali ya, Bahri. Semua yang saya bekalkan cukup buat kalian berdua. Tak payah susah-susah beli makanan di luar. Boleh jimat belanja," ujar Diha. Hari itu Ariyyan dijangka akan berada seharian di studio. Jadi, Diha telah meminta Bahri datang semula ke rumah sebelum waktu makan tengah hari untuk mengambil makanan yang dimasak. Bekalan Ariyyan.

"Makasih ya, kak. Beruntung kang ada Kak Diha yang menjaga kebajikannya," ucap Bahri. Dia rela hati menolong Diha. Langsung tidak mengharapkan apa-apa balasan. Tetapi, setiap kali Diha mengirim makanan Ariyyan, setiap kali itulah ada makanan buatnya. 'Alhamdulillah, rezeki jangan ditolak!'

Diha senyum. Itu sahaja yang termampu dilakukan bagi memastikan pemakanan Ariyyan tidak terabai. Bukan niatnya memperdaya Ariyyan. Hanya cara tersebut difikirkan sesuai buat masa ini. Dia ingin menjalankan tanggungjawab terhadap suami sebaiknya.

"Oh, tunggu sekejap!" Dicapai sebuah bekas makanan di atas meja makan. Bekas berkenaan turut dimasukkan ke dalam beg kertas tadi. "Ni ada nasi goreng daging merah. Mana tahu kalau-kalau dia nak makan nasi. Sekiranya Ariyyan tak makan, jadi kamu yang punya. Jangan bazir tau," pesan Diha.

Ariyyan tidak suka makan nasi melainkan jika dia benar-benar lapar. Itu antara 'fakta menarik' yang diperoleh melalui hasil carian mengenai Ariyyan di internet. Satu lagi ikhtiar Diha demi mendekati dan mengenali Ariyyan. Kebiasaannya, Ariyyan gemar mengambil makanan yang ringan seperti roti atau biskut terutamanya pada waktu pagi. Apabila perut tidak terlalu kenyang, badan lebih cergas untuk melaksanakan tugas sepanjang hari.

BAHRI tidak berdepan sebarang masalah dalam memastikan pakatannya dengan Diha berjaya dilaksanakan. Dia pandai mengumpan Ariyyan makan makanan yang dibawa. Tambahan pula, hidangan-hidangan disediakan oleh Diha amat menyelerakan. Yakin yang Ariyyan tidak akan menolak, dia hanya kena berhati-hati agar caranya tidak begitu ketara hingga menimbulkan syak di pihak Ariyyan.

Bahri mengetuk pintu studio. Ariyyan dan Timok berpaling.

"Kenapa, Bahri?"

"Maaf kang, mengganggu." Tangannya diangkat, menunjukkan tanda hormat pada Timok. "Kerjanya udah selesai? Saya beli makanan nih. Yuk makan bareng-bareng." Bahri mengajak Ariyyan makan bersamanya.

"Bentar lagi, Bahri. Aku pingin sudahin ini dahulu," balas Ariyyan merujuk kepada kerja yang sedang dilakukan dengan Timok.

"Nggak apa, Ri. Cuman dikit yang tinggal. Loe pergi makan aja," saran Timok. Ariyyan kalau buat kerja memang sampai boleh lupa makan minum.

"Udah loe bilang gitu, aku rehat bentar ya," putus Ariyyan, menepuk bahu Timok sebelum membuntuti Bahri ke pantri.

Bahri mula mengeluarkan makanan dari beg kertas yang dibawanya. Ariyyan membuka peti sejuk.

"Es jeruk?" pelawa Ariyyan sambil mencapai dua botol jus oren. Panas-panas begini, tekaknya teringin minum air manis yang dingin. Bahri angguk. Botol-botol di tangan Ariyyan diambil lalu diletakkan di atas meja.

"Kamu beli apa hari ini, Bahri?" tanya Ariyyan. Terpandangkan bekas-bekas makanan di tangan Bahri, langsung dia berasa lapar. Pagi tadi dia cuma mengisi perut dengan beberapa keping biskut.

"Ada capati, dimakan bareng kari ikan tenggiri dan terung. Ada roti putih juga, dicecah sama kuah kari," terang Bahri. "Yang ini nasi goreng daging merah. Mana tahu andai kang pingin makan nasi. Pilih ikut cita rasa. Terserah kang mau yang mana. Kalau dihabisin semua lagi bagus."

Ariyyan memerhatikan hidangan yang tersaji di atas meja. "Banyak kamu beli makanannya, Bahri." Terpancing selera sebaik sahaja melihat kepekatan tekstur kuah kari ikan yang semerbak aromanya.

"Kang punya banyak kerjaan hari ini, bukan? Jadi, kalau di sini sepanjang hari pun, kang udah nggak perlu repot mikirin soal makan. Semua telah tersedia. Lagi tinggal disuapin ke mulut," tutur Bahri.

Sesudah makan, Ariyyan membuka dompet, menarik keluar beberapa keping not rupiah. Lantas, wang tersebut diserahkan kepada Bahri.

"Ambil ni, Bahri."

"Kang mau nitip apa?" Bahri mengandaikan yang Ariyyan hendak menyuruhnya membelikan sesuatu.

"Nggak. Wang ini buat kamu," jelas Ariyyan.

"Untuk saya? Wang apa ini, kang?" Terpinga-pinga Bahri. Mengapakah Ariyyan memberinya wang? Gajinya baru dibayar minggu lepas.

"Aku semata-mata tahu makan setiap apa yang kamu bawain. Duduk doang, makanan sampai terus di depan mata. Ambil wangnya nih. Buat tambah-tambah belanja," balas Ariyyan. Kebelakangan ini, dia kerap menumpang makan hidangan dan lauk-pauk yang dibawa oleh Bahri. Baik juadah masakan ibunya, mahupun yang dibeli dari restoran berhampiran. Bahri tidak akan lupa menjamunya apabila masa makan tiba. Perkara itu seperti sudah menjadi kebiasaaan antara mereka. Ariyyan tidak perlu susah-susah keluar mencari makanan.

Bukan dia tidak pandai menjaga diri. Namun, tatkala dihadapkan kerja di depan mata, makan minum jatuh nombor dua. Keutamaannya kerja, kerja, kerja. Oleh itu, tidak salah jikalau dia memberi Bahri sejumlah wang. Sekurang-kurangnya, dapat menampung kos atau belanja. Lagipun, Bahri bukan orang senang. Kelak, dek kerana sibuk memikirkan hal makan minumnya, kebajikan diri dan keluarga Bahri pula yang terabai.

"Eh, usah begitu kang! Aduh, ngapain mau dibayar-bayar! Kang udah terlalu banyak membantu saya dan keluarga. Kami masih terhutang budi sama kang hingga ke hari ini. Maaf ya, saya nggak bisa terima wangnya." Penuh sopan dan takzim dia menolak pemberian Ariyyan. Riak wajah Bahri jelas menunjukkan yang dia berada dalam keadaan serba salah.

Alangkah baik jika dia boleh memberitahu Ariyyan bahawa semua makanan lazat yang dibawa adalah titipan Diha. Air tangan Diha sendiri yang bersungguh-sungguh memasak buat Ariyyan.

Bahri cuma seorang perantara. Seikhlasnya cuba membantu apa terdaya. Mudah-mudahan pertolongan kecil yang dihulur dapat merapatkan lagi hubungan antara kedua-kedua mereka. Maka, tidak wajar dia menerima walau sesen pun wang Ariyyan. Diha atau Ariyyan tidak berhutang apa-apa dengannya. Sekalipun makanan-makanan yang dibawa untuk Ariyyan datang dari poket sendiri, Bahri tidak akan sampai hati menerima wang berkenaan.

"Nggak banyak nih, Bahri. Ambil aja." Ariyyan tetap menyuakan wang kepada Bahri. "Masakan aku sewenangnya makan gratis sahaja tiap hari?" sambungnya, bermuka serius.

Bahri menggeleng-gelengkan kepala. "Kang sudi menjamah makanan yang saya bawain, saya sudah cukup besar hati." Sekali lagi dia menolak pemberian Ariyyan.

Ariyyan akhirnya mengalah. "Ya, begini aja. Sekiranya kamu perlu wang, jangan teragak-agak minta sama aku."

"Iya. Iya."

Terjemahan Kata:
bareng-bareng – bersama-sama
gratis – percuma
doang – sahaja, hanya

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now