Bab 16 - Peminat Setia

897 81 30
                                    

BAHRI membaca akhbar di lobi Chamar Entertainment. Sudah menjadi kebiasaannya menghabiskan masa di situ sementara menunggu Ariyyan. Keadaan di Chamar Entertainment hari itu memang sibuk. Jadual studio agak padat kerana Ariyyan terlibat menerbitkan lagu beberapa pendatang baharu dunia muzik.

'Kang nggak mahu makankah? Sedari pagi lambungnya nggak diisi.' Bahri terjenguk-jenguk sambil menanti kelibat Ariyyan. Sekejapan dia mengerling jam dinding. Waktu mula merangkak hampir ke tengah hari. Lehernya dipanjangkan mengintai Ariyyan yang berada di dalam studio rakaman.

'Mungkin bentar lagi. Baik aku nunggu kang di pantri.' Dia memutuskan sendiri.

"Aku mau makan bentar, Mok." Kedengaran suara Ariyyan dari balik pintu studio yang terbuka, memaklumkan hasratnya untuk berehat seketika kepada Timok, salah seorang jurutera bunyi yang bertugas di situ.

Bahri tersengih. Bila-bila masa dari sekarang pasti Ariyyan akan masuk ke pantri. Ariyyan kalau bekerja tidak suka keluar ke mana-mana. Dia enggan masa terbazir di jalanan. Tambahan pula, tahap kesesakan lalu lintas di Jakarta sukar dijangka. Lebih baik masa yang ada digunakan untuk berkarya atau melunaskan kerja-kerja yang menimbun.

Majikannya itu tidak cerewet dalam memilih makanan. Apa sahaja di dalam peti sejuk boleh dijadikan alas perut. Semasa arwah Marsha masih hidup, dia kerap meminta bantuan Bahri memenuhkan peti sejuk di pantri agar bekalan makanan dan minuman Ariyyan tidak putus. Malah, Marsha pasti membawa pelbagai roti, kuih-muih, biskut dan snek serta jus minuman setiap kali berkunjung ke situ.

"Stok lambung Ariyyan!" Itulah kata-kata Marsha apabila muncul menjinjing dua tiga beg plastik besar di tangan. Paling tidak, tersedia makanan untuk dijamah oleh si suami buat mengisi perut tatkala dia berasa lapar.

Ariyyan melangkah masuk ketika Bahri sedang asyik memikirkan arwah Marsha. Dia yang sejak awal bersedia dengan makanan yang dikirim Diha segera menyuapkan cebisan lempeng ke mulutnya. Biar Ariyyan nampak dia sedang menjamu selera. Barulah kelihatan tidak ketara dia menunggu Ariyyan di situ.

"Eh, Kang Ariyyan! Jemput makan, kang!" Beria-ia dia mempelawa Ariyyan makan. Dalam hati, Bahri tersenyum membayangkan lakonannya. 'Bisa menang award, nih! Kak Diha pasti bangga sama aku.'

"Baru makan, Bahri? Udah telat ni," tegur Ariyyan. Langkah diatur ke peti sejuk. Sebotol air mineral dikeluarkan, diteguknya laju buat menghilangkan dahaga. Kemudian, dia duduk di hadapan Bahri.

"Iya kang. Kang udah makan? Yuk makan bareng saya. Banyak nih saya bawa lempengnya," jawab Bahri mengajak Ariyyan makan bersama. Dia sudah pun meletakkan sekeping lempeng di atas piring. Dihulurkan piring itu kepada Ariyyan.

"Ini kang. Makan sama sambal ikan teri," ujar Bahri bersungguh-sungguh. "Begini deh terangkatnya!" Kedua-dua ibu jari membuat isyarat bagus. Sedaya upaya dia mempromosikan lempeng Diha.

"Udah, Bahri. Aku nggak tahan makan pedas." Ariyyan mengangkat tangan. Menolak apabila Bahri menambah sambal ikan bilis ke piringnya.

"Rasain dulu, dong. Nggak pedas mana. Lempengnya kalau dimakan kosong aja, nggak asyik!" saran Bahri. Misi perlu dilaksanakan sehingga berjaya.

Ariyyan mencubit sedikit lempeng lalu memasukkannya ke dalam mulut. Dia mengunyah perlahan. Sedap. Gabungan aroma dan rasa lemak lempeng sungguh menambat selera. Ada senyuman kecil terbit di bibir. Kali ini dia menjamah lempengnya dengan sedikit sambal. Ariyyan menjungkitkan kening. Dia mengunyah suapan tadi penuh nikmat sambil memandang Bahri.

"Benar, kan?" Bahri mengusiknya.

Ariyyan mengangguk lantas menyambung suapan. Meskipun dia tidak tahan makan makanan pedas, tetapi hidangan itu berupaya menjentik deria rasanya. Sekejap sahaja sekeping lempeng bersambal habis dimakan. Bahri meletakkan sekeping lagi lempeng di piring Ariyyan. Biar majikannya makan puas-puas hidangan yang disediakan oleh sang isteri.

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now