"Kenapa? Ada yang tak kena ke?"

Geleng. "Beda."

'Beda? Berbeza? Ariyyan ni kira puji aku ke apa ni? Beza ke arah baik ke beza ke arah buruk?' Diha tertunggu-tunggu bicara lanjut Ariyyan, tetapi memang cuma sepatah itu.

"Yuk." Ariyyan membuka pintu, membiarkan Diha keluar mendahuluinya. Kemudian, dia mengunci pintu rumah sebelum masuk ke dalam kereta.

Diha teruja menghayati panorama indah Jakarta pada waktu malam. Dia belum pernah keluar berjalan-jalan di kota itu pada malam hari. Lagipun, selalu kalau keluar membuat urusan, dia ditemani Bahri. Bukan Ariyyan. Tentu sahaja perasaannya berbeza.

Sepanjang perjalanan, hati Diha berbunga. Mata melilau memandang ke sana ke sini, menikmati pemandangan sekeliling. Sekali-sekala Diha mengerling ke arah lelaki di sisinya yang sedang fokus terhadap pemanduan.

Sampai di hadapan Hotel Pullman, Ariyyan memberhentikan kereta. Seorang joki kereta datang menghampiri lantas mengalu-alukan kedatangan mereka.

"Selamat datang, Mas Ariyyan. Apa khabar?" tegurnya ramah setelah mengecam Ariyyan sebaik sahaja dia keluar dari perut kereta.

"Alhamdulillah. Baik-baik aja," balas Ariyyan ringkas. Dia menyerahkan kunci kereta untuk diparkir. Diha menuruti langkah Ariyyan. Menyedari yang Diha tertinggal beberapa tapak di belakang, dia sengaja melambatkan langkah sehinggalah Diha dapat menyainginya.

Ariyyan membalas sapaan beberapa orang petugas hotel. Pasti dia kerap berkunjung ke situ. Tambahan pula dia seorang artis terkenal. Sana sini ada sahaja yang menegur. Sesekali terdengar bisik-bisik suara yang teruja melihat kelibat Ariyyan secara dekat. Ariyyan bersahaja. Melayan apabila perlu. Senyum tetap dihulur mesra.

'Susah juga jadi artis ni. Pergi mana-mana orang kenal. Lack of privacy,' fikir Diha. Mujurlah mereka sekarang berada di hotel bertaraf lima bintang. Tidak begitu ramai orang. Kalau di jalanan atau di tempat umum seperti pusat beli belah, pasti lumat Ariyyan dikerumuni.

Mereka berdua berjalan bergandingan ke sebuah restoran mewah yang terletak di aras sama lobi hotel. Seorang gadis manis penyambut tetamu di restoran itu menyambut kedatangan mereka. Dia memeriksa senarai tempahan dalam rekod selanjutnya mengesahkan tempahan di atas nama Ariyyan. Seorang pelayan lelaki membawa kedua-duanya ke sebuah meja bertanda 'RESERVED'. Pelayan itu turut menarikkan kerusi Diha dan membantunya duduk. Kemudian, dia menghulurkan menu restoran kepada mereka berdua.

"Menunya, Mas. Hari ini kami ada ...."

Diha sudah tidak dengar apa-apa. Apa pun yang diterangkan oleh pelayan langsung tidak menarik perhatiannya. Mungkin kerana tatarias restoran yang membangkitkan suasana romantis lagi intim menyebabkan tumpuan Diha hanya tertumpah pada lelaki di hadapannya. Mata melekat pada wajah Ariyyan yang khusyuk mendengar saranan menu istimewa makan malam. Diha suka menatap redup pandangan mata Ariyyan tika itu. Air mukanya lembut. Tenang.

'Selalu aku asyik kena hadap pandangan tajam menusuk tu je,' komen Diha dalam hati. Pandai pula dia mengomel.

Ariyyan membelek-belek menunya sejenak. "Kamu mau makan apa?" Dia bertanya pada Diha. Biasan cahaya lampu di restoran itu membuatkan matanya kelihatan bersinar-sinar.

"Hmm ...." Tertangkap sedang leka merenung Ariyyan, Diha melihat-lihat menu di tangan. "Awak biasa makan di sini kan? Saya ikut sajalah apa yang awak pesan," jawabnya. Dia tidak kisah makan apa pun. Yang penting, yang berharga ialah masa yang diluangkan dengan Ariyyan. Sudah sebulan mereka bergelar pasangan suami isteri. Dek kesibukan Ariyyan, mereka tidak pernah melakukan sebarang aktiviti bersama. Itu belum mengambil kira waktu Ariyyan enggan diganggu dan ingin bersendiri. Kesudahannya nanti, perkembangan hubungan mereka tidak sampai ke mana-mana.

"Kalau begitu, biar aku pesan makanan buat kamu," putus lelaki itu. Diha menganggukkan kepala. Cara Ariyyan berinteraksi dengannya saat itu sangat mendamaikan hati wanitanya. 'Bagi makan batu pun tak mengapa kalau dilayan begini.' Minda sempat berseloroh. Diha tersenyum kecil. Setiap satu perilaku Ariyyan yang sedang membuat pesanan diperhatikan.

"Banyak yang aku pesan nih! Makan kenyang-kenyang ya," kata Ariyyan. Dia mencapai gelas berisi air di hadapannya lalu diteguk perlahan.

"OK. Terima kasih," balas Diha. Sejuk hati melihat tingkah laku Ariyyan. Itu kali pertama mereka keluar bersama-sama. Walaupun Ariyyan belum mampu menghadiahkan sebuah senyuman tulus, cukuplah sekadar memaniskan riak wajah. Sebelum bernikah, dia telah berjanji bakal menerima Ariyyan seadanya. Dia bersetuju memberi Ariyyan ruang dan peluang, sebanyak mana yang diperlukan. Dia tidak akan meminta-minta.

Lima belas minit kemudian, makanan yang dipesan tiba. Pelbagai hidangan memenuhi meja mereka. "Salad Ayam Sicilian sebagai pembuka selera, Cendawan Sumbat Berkeju, Daging BBQ sama Saus Lada Hitam, Nasi Herba Ayam Teriyaki, Nasi Mentega Udang Harimau Goreng sama Bawang Karamel. Selamat menjamu selera," ujar pelayan setelah menghidangkan juadah makan malam.

"Silalah makan. Aku order semua makanan kegemaranmu," pelawa Ariyyan. Ada kemesraan, kehangatan yang terzahir melalui ekspresinya kala itu. 'Makanan kegemaran? Aik?! Macam mana ...? Wait ... something is not right! Bila masa pula Ariyyan tahu apa yang aku suka makan?' Diha tertanya-tanya. Tidak mahu merosakkan suasana, dia kekal mendiamkan diri.

Ariyyan menyendukkan salad ayam ke pinggan Diha. "Nah, dimakan ni! Tomat kecil kesukaanmu, ayang." Kemilau sinar di mata Ariyyan ketika itu sepatutnya menggembirakan Diha tetapi pada waktu itulah dia tersedar yang Ariyyan sebenarnya memesan makanan-makanan kegemaran arwah Marsha. Layanan baiknya itu juga untuk Marsha.

Diha sekadar mengangguk. Dia mula menjamah makanan di pinggan. Satu lagi masalah! Tarik balik kenyataan yang kata bagi batu pun boleh makan. Hidangan utama yang dipesan oleh Ariyyan buatnya ialah nasi mentega berlaukkan udang harimau. Mungkin Marsha suka makan udang tetapi Diha tidak boleh makan udang! Nanti seluruh badan gatal-gatal. Namun, demi menjaga hati lelaki di hadapannya, Diha tetap makan penuh selera. 'Don't spoil the moment, Diha! Makan je perlahan-perlahan.' Berkali-kali Diha mengingatkan diri.

"Gimana? Enak bukan? Ayang, rasa yang ini pula!" Bersungguh-sungguh Ariyyan cuba menyuapkannya hirisan daging BBQ. Diha menahan nafas. Dia terkaku seketika. Tanggapannya benar. Ariyyan hanyut dalam imaginasi. Bagi Ariyyan, di mata dan di mindanya tika itu, dia sedang menikmati makan malam bersama Marsha. Bukan dirinya.

Diha mengangkat muka memandang Ariyyan. Ariyyan perlu disedarkan. Diajak kembali ke realiti, menerima hakikat bahawa Marsha sudah tiada. Dia tidak boleh terus lemas dalam gelora rasa.

"Ariyyan." Suara Diha seakan berbisik, namun cukup menyedarkan Ariyyan yang kini dia berada bersama Diha bukan Marsha. Bagai dijangka, air muka Ariyyan spontan berubah. Dia meletakkan sudu dan garpu di pinggan. Nafas dihela dalam-dalam lalu dilepaskan berat. Kedua-dua belah tangannya meraup muka. Kesal. Diha tidak bersuara. Lebih kepada tidak pasti reaksi apa yang harus dipamerkan.

"Makanlah, aku mahu ke kamar kecil," ujar Ariyyan. Napkinnya diletakkan di atas meja lantas dia bingkas berlalu. Diha menganggukkan kepala. Sorotan matanya mengiringi langkah longlai Ariyyan.

Selang beberapa minit kemudian, Ariyyan kembali ke meja. Lelaki itu nyata telah hilang selera. Sekali-sekala tangannya menguis-nguis baki makanan di pinggan dengan sudu. Tiada suapan yang masuk ke mulut. Acap kali pandangan mereka bertemu tetapi masing-masing ibarat kehabisan buah bicara.

"Tak nak sambung makan? Awak nak rasa udang ni?" Akhirnya Diha memecahkan ketegangan antara mereka. Ariyyan menolak.

"Udah kenyang," balasnya ringkas.

Melihatkan angin Ariyyan yang sedemikian, Diha cepat-cepat menghabiskan makanannya. Sempat dia berdoa dalam hati, kalau hendak gatal disebabkan alahannya terhadap udang pun, biarlah gatal apabila sampai di rumah nanti. 'Mind over matter, Diha. Mind over matter. Insya-Allah, tak ada apa-apa.'

Tatkala pelayan datang bertanyakan sama ada mereka ingin memesan kopi atau pencuci mulut, Ariyyan dan Diha hampir serentak mengatakan tidak.

Terjemahan kata:
bareng – bersama-sama
tomat – tomato
kamar kecil – bilik air, washroom

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now