Bab 11 - Berdua

914 83 33
                                    

ARIYYAN merancang mengajak Diha keluar makan malam. Kebetulan dia tidak punya sebarang aktiviti dari petang hingga ke malam. Terbit jua sekelumit rasa kasihan pada si Diha. Dua tiga hari belakangan ini, Diha asyik menjadi mangsa angin tidak baiknya. Sering dia melayan wanita itu dengan kasar. Lagipun, sejak Diha tinggal bersamanya, sekali pun dia tidak pernah mengajak Diha keluar ke mana-mana. Setelah membuat tempahan di sebuah restoran mewah, Ariyyan mendapatkan isterinya.

"Diha." Ariyyan memanggil Diha sebaik sahaja ternampak kelibat si isteri. Ketika itu, Diha baru hendak beredar dari ruang tamu. Dia segera berpaling.

"Ya, ada apa?"

"Kamu sibuk malam ni? Kerjanya banyak nggak?" Ariyyan sudah pun berdiri di hadapan Diha.

"Tak. Kenapa?"

"Kita keluar makan malam bareng yuk," ajak Ariyyan.

"Ya ke? Kita dinner kat luar?" Bercahaya mata Diha mendengar ajakan suaminya.

Senyuman tulus dan ekspresi ceria Diha membuatkan Ariyyan terpana. Ritma jantungnya terganggu. Ada sesuatu pada senyuman itu yang menggoncang dada. Baru Ariyyan sedar, selama ini dia tidak betul-betul mengamati seraut wajah Diha. Setiap kali bertentang mata, setiap kali Diha menghulur senyum, dia akan cepat-cepat melontar pandang ke arah lain.

"Iya. Lepas solat Maghrib kita berangkat," jawab Ariyyan bersulam gugup. Buat seketika mereka berdua hanya memandang antara satu sama lain. Kehabisan kata untuk meneruskan perbualan. Lazimnya memang perbualan antara mereka tidak panjang. Ariyyan berdehem beberapa kali, menggaru kepala yang tidak gatal lantas mula membuka langkah.

"Err ... kita nak makan di mana?" Soalan Diha seakan bergema di ruang tamu yang senyap itu. Dalam kepala rancak berfikir pakaian apa yang sesuai dikenakan. 'Tapi, mesti tahu dululah nak pergi makan dekat mana.'

"Hotel tempat kamu menginap dahulu." Jawaban Ariyyan merujuk kepada Hotel Pullman, tempat Diha bermalam semasa kali pertama menjejakkan kaki ke Jakarta. Nampaknya hotel berkenaan memang tempat kegemaran Marsha dan Ariyyan.

Usai menunaikan solat Maghrib, Diha bersiap secepat mungkin. Dia memilih blaus longgar bercorak batik geometri yang berwarna biru lembut. Dipadankan blaus berkenaan dengan sepasang palazzo hitam. Dia memakai sehelai tudung sutera bagi melengkapkan penampilan. Haruman Sarah Jessica Parker kegemarannya disembur pada kedua-dua pergelangan tangan. Setelah merapikan diri di cermin, Diha mencapai beg tangan lantas keluar ke ruang tamu.

Ruang tamu di rumah itu dibahagikan kepada dua bahagian. Ruang pertama berkonsepkan kontemporari moden berfungsi sebagai ruang tamu utama, dilengkapi set sofa berbentuk L dan meja kopi yang besar. Dilatari kombinasi warna kelabu dan putih, hamparan permaidani, langsir serta kertas dinding yang sepadan, ruang itu sangat sesuai untuk melayan tetamu yang datang berkunjung.

Satu lagi bahagian dijadikan ruang rehat keluarga. Terdapat sebuah televisyen pintar 65 inci serta set teater rumah di situ. Katil sofa berwarna coklat berbunga kecil, dihias dengan kusyen-kusyen berbelang hitam dan kelabu merupakan tarikan utama. Sebuah chaise lounge dari tona warna yang sama menyediakan ruang tambahan untuk bersantai. Beberapa buah bean bags diletakkan secara rawak di hadapan meja kopi kaca berbentuk bujur. Semuanya saling melengkapi. Itulah ruang utama yang menjadi 'hati' rumah itu.

Diha baru melabuhkan punggung di sofa tatkala Ariyyan muncul di hadapannya. Semerbak bau haruman yang dipakai lelaki itu menerpa deria bau. Ariyyan mengenakan sehelai kemeja berwarna hijau gelap dan sepasang seluar hitam. Langkahnya terhenti sebaik sahaja terpandangkan Diha. Lama mata Ariyyan turun naik memerhatikan si isteri.

"Sesuai tak apa yang saya pakai ni?" Diha meminta pendapat apabila Ariyyan kelihatan seperti mengadili penampilannya.

Angguk. Namun, mata masih terus memandang Diha.

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now