Bab 7.2 - Orang Asing

Start from the beginning
                                    

"Tak bosan ke kak asyik dengar lagu ARJUNA je?" Sering Dina menggiat kakaknya. Diha sekadar tersenyum. Kemudian, mulalah keluar hujah-hujahnya yang mengatakan lagu-lagu Ariyyan terus sampai di hati, liriknya tulus, melodinya indah dan macam-macam lagi.

'Fokus, Dina! Fokus!' Fikiran yang mula menerawang disentak balik ke realiti. 'Berbalik pada persoalan asal - perlukah mahu membantu Ariyyan hingga ke tahap itu?' Satu lagi keluhan terluah dari bibirnya.

"What about love? I mean, it's hard, kak. Terang-terang cinta dan hati dia untuk orang lain. Akak sanggup nak tempuh hidup begitu? Perasaan akak sendiri macam mana?"

"Dik, walaupun tanpa cinta, kami tetap boleh hidup bersama kan? Sekurang-kurangnya akak boleh temani dia, dampingi dia ...."

"Tak semudah tu, kak. Lagipun, dia yang pilih untuk tidak move on dengan life dia." Dina mengingatkan Diha. Kadangkala untuk melaksanakan sesuatu perkara bukanlah semudah yang kita sangka. Dina bimbang seandainya Diha membuat pilihan yang salah.

"Akak pun tak cakap ini perkara mudah, Dina. Tapi, apa salahnya kita cuba. Bukan rugi apa-apa," jelas Diha.

'Bukan rugi apa-apa?!' Bagai mahu meletup dada Dina mendengar kata-kata bersahaja Diha. Ringan sahaja mulutnya menuturkan ayat itu. 'Bukan rugi apa-apa? Ini melibatkan hidup Kak Diha! Bersetuju untuk berkahwin dengan Ariyyan terlalu besar risikonya. Tiada sebarang jaminan yang Ariyyan akan berubah atau Kak Diha akan berjaya mengubah lelaki itu. Kalau perkahwinan ini gagal macam mana? Apa akan jadi pada Kak Diha? Semudah itukah Kak Diha boleh kembali pada kehidupannya dahulu? Bagaimana jika Ariyyan membiarkannya begitu sahaja? Menggantungnya tidak bertali? Bukankah setiap orang punya hak untuk hidup bahagia?' Bertubi-tubi persoalan menerjah benak Dina kala itu.

Dina memandang kakaknya lama. Sedikit kesal dengan keputusan yang dibuat Diha. Padanya, kali ini tindakan Diha agak keterlaluan. Namun, itulah Diha. Pengalaman hidup menjadikan Diha berani mengharungi dunia. Selepas kematian ibu dan ayah mereka, Diha bertungkus lumus memastikan kehidupan mereka berdua sempurna. Setiap kebajikannya terjaga dengan baik. Diha berjaya menggalas peranan sebagai ibu dan ayah kepada Dina. Dia akan sentiasa memastikan Dina selesa, cukup makan pakai dan cukup segala-galanya.

Semenjak teman lelaki yang dikenalinya selama tujuh tahun meninggal dunia, Diha selesa tidak berteman. Meskipun sudah tiga tahun perkara itu berlalu, Diha masih tiada pengganti. Mungkin serik dengan pengalaman cintanya, Diha lebih suka hidup sendiri. Tatkala diajukan bila hendak mencari teman pengganti, Diha akan mendiamkan diri.

"Cinta tidak tercipta untuk semua orang." Itulah balasannya demi menamatkan sebarang perbualan lanjut mengenai cinta dan jodoh.

Hidup bersendiri menjadikan Diha spontaneous. Lagi-lagi setelah Dina berkahwin. Diha lebih bebas mengatur hidup mengikut kehendaknya sendiri. Membuat apa sahaja yang ingin dilakukannya. Diha pernah tinggal di kawasan pedalaman selama sebulan lebih kerana menyertai aktiviti sukarelawan mendekati penduduk orang asli. Dia turut menyertai larian marathon sempena Hari Alam Sekitar simbolik apresiasinya yang mahu selamatkan bumi sedangkan sebelum itu sepasang kasut sukan pun tidak pernah ada. Pernah suatu ketika, Dina menyambut Aidiladha hanya berdua bersama Fahim. Diha di Kemboja menjadi sukarelawan yang terlibat dengan ibadah korban di sana. Langkah Diha memang sukar diramal. Diha tidak suka berkalau-kalau. Baginya hidup perlu ditempuh dan dilalui sebaiknya walau apa jua kekangan yang merentang.

Diha sebenarnya memerlukan seorang lelaki untuk membelai hatinya. Merawat kelukaan lampaunya. Perasaan Diha harus dilentur agar kembali percaya pada cinta. Tetapi, bukankah bersetuju mengahwini Ariyyan bakal menjerumuskannya ke kancah permasalahan yang lebih dalam? Menjadi isteri kepada Ariyyan bermakna dia yang perlu kuat mental fizikal sebagai tulang belakang rumah tangga itu. Tidakkah perasaan Diha kelak akan lebih terdera?


"DINA risaulah, bang. Abang rasa patut ke Dina pengaruh Kak Diha supaya tarik diri dari semua ni?" Sebelah malamnya, Dina menyuarakan kegusaran hati kepada si suami. Mungkin Diha perlukan seseorang untuk mengocak pendiriannya. Biar dia kembali goyah dan mula berfikir secara waras. Bukan mengikut perasaan. Bukan atas dasar simpati pada sesiapa.

Fahim cuma diam.

"Jap, abang tahu ke Ariyyan tu siapa?"

Angguk.

"Masa dia datang tadi, abang dah tahu dia tu artis? Penyanyi? Macam mana abang boleh kenal dia?" soal Dina tidak puas hati. Nampak gayanya dia seorang sahaja yang ketinggalan kereta api.

"Sayang, selain Siti Nurhaliza, ada ramai lagi artis lain kat ...." Belum sempat menghabiskan tutur, satu cubitan singgah mendarat di lengan kiri Fahim. Dia tertawa besar melihat Dina yang sudah tarik muka. "Alah, nak usik sedikit pun tak boleh." Pipi si isteri dielus mesra.

"Ini hal serius tau, bang! Abang bawa gurau pula. Dina risau sangat ni!"

"Kita kena hormat keputusan Kak Diha." Kali ini nada suara ditukar. Ringkas sahaja balasan Fahim. Cukup untuk buat Dina tahu suaminya itu tidak berpihak padanya.

"Dina kurang setujulah, bang. Seorang kahwin sebab nak tunaikan hasrat arwah isteri. Seorang lagi kahwin sebab terhutang budi." Diluahkan rasa tidak puas hatinya.

"Dina, itu sebab yang melorong ke arah jodoh mereka. Asalkan masing-masing cuba menerima satu sama lain dengan ikhlas, insya-Allah mereka akan bahagia."

"Tapi Kak Diha tak cintakan Ariyyan!"

"Cinta boleh datang kemudian, sayang. If this could make you feel better, sekurang-kurangnya kita tahu yang Kak Diha cintakan lagu-lagu Ariyyan." Fahim memeluk isterinya dari belakang. Cuba menenangkan kusut fikirnya. Dina mengeluh kecil. Kata-kata Fahim sedikit pun tidak berjaya mengurangkan gelora hati. 'Argument lebih kurang macam Kak Diha je!'

Berkerut-kerut dahi Dina berperang dengan diri sendiri. Fikirannya gagal diajak berhenti daripada memikirkan semua itu. Akhirnya, mahu tidak mahu, dia kena akur. Siapalah dia untuk mempertikaikan hal berkenaan jika semuanya sudah tertulis sebagai ketentuan Allah. Diha lebih berhak dalam menentukan jalan hidupnya. Sebagai adik, Dina hanya mampu doakan yang terbaik.

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now