Bab 4 - Blogger?

956 94 12
                                    

BEBERAPA jam kemudian, Ariyyan masih di bilik pejabat Armand. Banyak perkara yang menagih penjelasan. Banyak persoalan yang memerlukan jawaban segera. Dia perlu tahu latar belakang gadis itu dengan lebih lanjut. Dia masih tidak faham letak duduk perkara sebenar. Tidak dapat menerima bagaimana watak Diha tiba-tiba muncul dalam hidupnya dan Marsha. Perkara yang paling tidak masuk akal, mengapakah Marsha mencalonkan wanita asing sebagai pengganti dirinya?

Berbanding tadi, situasi perbincangan antara Ariyyan dan Armand kali ini tidak lagi dilatari ketegangan. Ariyyan kini sudah mula tenang dan boleh diajak berbincang.

"Loe udah siasat siapa sebenarnya dia?" tanya Ariyyan kepada Armand. 'Cewek ini dari mana?' Tidak putus-putus hal itu menerjah minda.

"Marsha telah ceritakan semua tentang gadis ini. Gue juga minta kenalan di Malaysia jejaki dia untuk pastikan latar belakangnya."

"Loe upah private investigator?"

Armand mengiakan. Kaca mata dibetulkan dengan hujung jari.

"Apa infonya bisa diandalkan?"

Angguk.

"Emang pekerjaannya tulis blog aja? Kok tegar cari makan dengan menulis cerita tentang orang lain!" tempelak Ariyyan seraya mencebik. Pandangan negatifnya terhadap penulis-penulis blog atau blogger memang tidak pernah berubah.

Bukan apa, Ariyyan sudah banyak kali terkena. Pernah suatu masa, seorang penulis blog wanita membuat entri panas dengan mengaku bahawa dia merupakan kekasih gelap Ariyyan! Bila masa pula dia selingkuh? Malah dengan berani penulis blog itu memuat naik gambar mereka berdua di belakang pentas sebagai bukti bahawa mereka sedang berkasih-kasihan. Sedangkan waktu itu, Ariyyan sudi bergambar dengannya kerana dia salah seorang peminat bertuah yang memenangi pas belakang pentas.

Terdapat juga penulis-penulis blog hiburan yang suka menimbulkan huru-hara dalam kehidupannya. Pasti ada gosip panas berkenaan diri yang ditulis di blog-blog hiburan saban minggu. Hari ini dia berduet dengan seorang artis wanita, pasti esoknya akan timbul gosip kononnya mereka bercinta. Jika seharian dia menghabiskan masa dengan penyanyi wanita di studio rakaman, menerbitkan lagu, sudah tentu akan timbul cerita kurang menyenangkan di blog-blog hiburan yang mendakwa mereka asyik memadu kasih.

Bukan itu sahaja, bahkan ada penulis blog yang berani bertindak demi kepentingan diri. Semata-mata ingin meraih minat pembaca, penulis blog berkenaan sanggup menabur fitnah yang boleh menjejaskan kerjaya Ariyyan. Stamina Ariyyan ketika membuat persembahan bertenaga di atas pentas dikaitkan dengan pengambilan dadah! Tidak cukup dengan tuduhan melulu itu, tanpa rasa bersalah, si penulis berusaha menghubungi pihak pengurusannya. Konon-kononnya mahu memberi peluang kepada Ariyyan membersihkan nama. Ariyyan diminta membuat kenyataan balas untuk disiarkan secara eksklusif di blog tersebut.

Ariyyan malas mahu ambil pusing itu semua. Jika dirasakan sesuatu perkara melampaui batas, Armand sudah dilantik untuk bertindak bagi pihaknya. Namun, jika tidak memberi sebarang impak pada kerjaya dan kehidupan peribadinya, Ariyyan lebih senang berdiam diri. Cuma dia memang tidak akan bersangka baik pada golongan yang menganggap mereka berhak menulis apa sahaja atas dasar kebebasan bersuara.

"Menulis blog hanya sebahagian daripada minatnya. Dia graduan sebuah universitas terkenal di Malaysia. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Bahasa & Linguistik. Asalnya, dia menyandang jawatan sebagai ketua editor di sebuah rumah penerbitan di Kuala Lumpur. Kemudian, dia memilih untuk bekerja dari rumah karena berdepan masalah peribadi. Selain menulis blog, dia turut menulis kolum di beberapa majalah tempatan," terang Armand.

"Tulis apa? Gosip? Bongkar-bangkir hidup orang lain?" Nada sinikalnya memang tidak dapat disembunyikan. Saat itu bukan saatnya untuk berbasa-basi. Malah, Ariyyan langsung tidak boleh menerima pendapat sesetengah pihak yang bertanggapan bahawa menjadi penulis blog juga merupakan satu pekerjaan.

Lelaki Langit Bumi (Terbit E-book)Where stories live. Discover now