Orang Siling

175 8 3
                                    

Aku betul-betul sedar yang tak semua orang boleh lihat apa yang aku lihat bila pada umur 9 tahun, kawan aku ketika itu ketawa bila aku cakap semua pensel yang ada dalam pencilbox, dicuri oleh Orang-orang Siling. Kawan aku ingat aku saja buat lawak.

Sejak aku boleh ingat, aku sentiasa ditemani oleh Orang-orang Siling atau waktu kecil aku memanggil panggilan simplistiknya, ‘Ceiling People’. Makhluk-makhluk kecil, hitam gelap seperti bayang-bayang yang padu, tiada muka yang hidup di atas siling semua bangunan yang aku kunjungi. Mereka berjalan-jalan atas siling seperti berjalan atas lantai. Seperti mereka tidak berpaut pada undang-undang graviti. Oleh kerana mereka sentiasa ada, aku berpendapat Papa, Mama dan adik aku juga boleh lihat makhluk-makhluk ini. Lebih kurang macam cicak di dinding. Mama selalu kata sejak bayi lagi aku selalu gelak-gelak capai lampu dan kipas bumbung.

Bila aku mula tadika pada usia 6 tahun, aku selalu leka tak boleh tumpukan perhatian pada cikgu kerana orang siling akan memanjangkan tangan, ya tangan dan kaki mereka boleh dipanjang, seperti juga bayang-bayang hidup, dan menyentuh kepala rakan-rakan kelas sehingga mereka keliru. Kadang-kadang memang marah juga dibuatnya jika mereka tendang meja dan aku pula ditegur cikgu supaya senyap.

Perkara yang sama berulang di sekolah rendah. Bila cikgu-cikgu laporkan pada Papa dan Mama, mereka risau. Bawa aku berjumpa doktor. Doktor beritahu yang aku masih kecil dan mempunyai rakan-rakan khayalan ‘imaginary friends’ mungkin kerana tidak berkeyakinan diri. Dengan nasihat doktor, Papa dan Mama mengalakkan kawan-kawan sekelas datang bermain di rumah. Memasukkan aku dalam kelas-kelas seni mempertahankan diri, berdebat, kraftangan dan lain-lain. Bila ralit bermain dengan kawan-kawan, perhatian aku tidaklah tertumpu pada apa yang berlaku di siling sangat. Ya, mereka masih bergayut di lampu atau buat kerja sendiri tapi aku semakin pandai fokus perhatian pada perkara-perkara yang lebih penting.

Sejak aku tahu makna ‘hantu’, ‘alien’ dan ‘makhluk halus’, aku mula mengesyaki yang orang-orang siling ini boleh diklasifikasikan seperti semua di atas. Walaupun perkara ini biasa bagi aku, tetapi aku tahu yang keluarga dan kawan-kawan mungkin takut.

Teori ini terbukti benar apabila aku menyertai jamboree perkhemahan pakaian seragam di sekolah. Selepas aktiviti terakhir selesai, aku dan 3 orang kawan bentangkan ‘sleeping bag’ masing-masing untuk tidur. Walaupun seronok dapat tidur dengan kawan-kawan, aku rasa amat penat lalu tak lama selepas baring, aku terlelap. Aku tersentap dari mimpi bila aku terdengar kawan aku, Nebby, terpekik-pekik lepas tu menangis. Aku nampak seekor (apa penjodoh bilangan yang sesuai di sini? Hehe) orang siling sedang menyedut bahagian dalam lengan Nebby. Aku tepis dan halau orang siling itu, dia seakan terkejut dan lari. Tapi sebelum itu, seorang lagi kawan dalam khemah, apabila terdengar Nebby menjerit, buka lampu suluh. Aku nampak ada dalam 6-7 ekor orang siling atas bumbung khemah kami. Sekarang mereka berani mendengus seperti kucing bergaduh. Selepas cikgu-cikgu kawal keadaan dan semua tenteram, kami bertiga diberi pilihan untuk menelefon ibubapa untuk pulang atau sambung tidur di dalam surau. Nebby dihantar pulang. Beberapa hari selepas itu, Nebby datang sekolah semula. Aku tengok lengannya lebam dan ada kesan cakaran.

Adikku juga turut terkena suatu hari. Kami berada di rumah jiran. Jiran tersebut mempunyai rumah yang paling besar di kawasan tersebut dan juga agak terpencil. Silingnya memang banyak betul orang-orang siling. Mereka kelihatan agak ‘hyperactive’ seperti orang tak senang duduk dan kemarahan. Sebenarnya, dalam bertahun-tahun nampak orang-orang siling, ini pemerhatian saya:
Setiap struktur yang dibuat oleh manusia mempunyai orang-orang siling yang tersendiri.
Mereka tidak mengikuti saya. Mereka memang penghuni di tempat-tempat sedemikian. Hanya jumlah sesuatu kelompok berbeza. Ada tempat sedikit, ada tempat memang banyak sehingga mereka berasak-asak sesama sendiri macam sardin dalam tin.
Tiada orang-orang siling di dalam hutan, atas pokok, atau tempat-tempat semulajadi. Saya pernah masuk gua yang menakutkan tapi tak nampak satu pun orang siling.
Sesetengah haiwan seperti kucing dan anjing boleh kesan makhluk-makhluk ini.
Setiap kelompok orang siling mempunyai identiti dan perangai masing-masing. Ada yang ‘sempoi’, ada yang agresif, ada yang suka mengusik.

Dengan permerhatian ini, kita berbalik pada insiden di rumah jiran. Anak kepada jiran adalah kawan saya. Adik kadang-kadang datang tumpang bermain. Aku nampak orang siling agak marah, tak tahu kenapa. Adik ketika itu tengah main-main depan aku dan anak jiran, tiba-tiba diangkatnya oleh makhluk itu, tangannya dipanjangkan dari atas bumbung. Aku cuba rampas balik adik ketika itu. Baru aku tahu bertapa kuat orang siling ni. Aku teringat Mama pesan, kalau takut baca ayat-ayat suci Al-Quran yang aku tahu. Aku baca kuat-kuat. Makhluk tersebut mengigit tangan aku yang sedang tarik adik lalu adik dilepaskan. Kami berdua terjatuh di lantai macam nangka busuk. Anak jiran tengok ternganga. Aku tak tahu apa yang diceritakan dengan ibu dan bapanya tetapi kami tidak pernah dijemput bermain lagi di sana.

Diikutkan, banyak lagi insiden seperti ini berlaku tapi aku rasa biar aku berhenti di sini dahulu. Mungkin ada orang tanya, tidak pergi berubatkah? Ada. Dengan seorang ustaz ternama yang juga jiran kami ketika itu. Beliau tanya saya sendiri adakah perkara ini menggangu kehidupan ku. Aku jawab tidak. Aku bertanya balik pada beliau, adakah perkara-perkara aneh berlaku disebabkan oleh aku berada di situ, mungkin menarik makhluk-makhluk ini untuk bertindak agresif. Beliau kata tidak. Mereka memang kadang kala suka mengusik tetapi selalunya tidak bahaya. Dengan itu, ustaz ajar ayat-ayat suci Al-Quran yang boleh dibaca untuk kurangkan perkara yang tidak diingini.

Apabila umur meningkat remaja, orang-orang siling menjadi kabur dan lama-kelamaan tidak nampak langsung. Kecuali kalau aku betul-betul fokus. Mungkin akan nampak kelibat bayang di atas siling..



















Story By-
Zoe

Koleksi Cerita SeramWhere stories live. Discover now