Budak Hantu

183 7 0
                                    


Semua orang tahu Pan ni berkawan dengan hantu. Cakap saja Budak Hantu, ada yang ketawa, ada yang berbisik, atau terdiam.

Aku rasa aku saja kawan Pan. Itu pun sebab kami berjiran dan ibuku lebih senang jika aku berjalan pergi balik sekolah dengan Pan. Sekolah kami tak jauh. Cuma dalam 20 minit berjalan dari rumah, kalau jalan cepat. Jalan lambat, singah-singah kedai runcit Ket Ming mungkin dalam 40 minit.

Pan pendiam orangnya. Seperti yang aku nyatakan, Pan tidak ada banyak kawan-kawan. Bukan sebab dia tak mahu berkawan atau perangainya pelik, tapi kerana banyak khabar angin mengenainya yang membuatkan orang rasa tak selesa.

Memang Pan boleh nampak makhluk-makhluk halus. Aku tahu perkara ini benar kerana kejadian-kejadian yang terjadi pada diriku sendiri amat susah untuk diterangkan secara logik.

Ibu bapaku tak percaya sangat akan kejadian mistik. Mereka terima Pan seadanya jika dia bermain di rumahku. Pada mereka Pan adalah anak yang bersopan, baik dan cerdik. Sesuai jadi ‘role model’ padaku yang setahun lebih muda dari Pan dan agak buas.

Selepas sekolah, aku selalu ajak Pan bermain. Aku ingat hari tu hujan jadi kami main di dalam rumahku. Kami susun buku-buku kulit tebal menegak bersebelahan dengan jarak seinci dua antara satu sama lain sepanjang yang boleh. Aku akan tolak buku yang paling hujung dan yang lain akan jatuh. Macam domino.

Selepas bosan main buku domino, kami main perang-perang pula. Habis pembaris jahit ibuku jadi pedang dan kusyen jadi perisai. Tengah galak bermain tiba-tiba aku perhatikan buku-buku yang tadi tumbang, kini tersusun tegak kembali.

‘Bila Pan susun? Nak main buku domino lagi tak?’ Aku bertanya. Pan hanya mengeleng kepala dan mencucuk perutku dengan pedang pembaris. Aku tumbangkan buku-buku kerana rasa tak tahan jika dibiarkan menegak begitu. Bukan senang nak menyusun seperti domino.

Kami sambung bermain pedang hingga sekali lagi buku-buku yang tertumbang tadi menegak balik. Kali ini memang aku tahu bukan Pan yang susun kerana dia sentiasa bermain denganku.

‘Jangan kacau! Jom, Gee, tengok tv,’ Pan menarik tanganku ke ruang tamu. Tapi tanganku rasa gatal nak tumbangkan kembali buku-buku tu. Bila aku tolak buku yang hujung sekali, aku hairan mengapa buku tumbang separuh jalan, seakan-akan ada yang menahan supaya buku seterusnya tak tumbang.

Tak sempat aku nak menyiasat, tiba-tiba satu buku melayang, nyaris nak kena kepala. Malangnya, ada lagi 4 – 5 buku terbaling ke arahku. Tidakku nampak siapa yang membaling buku-buku tersebut. Pan pada masa tu sudah separuh jalan ke ruang tamu. Ibu pula di dapur.

Bucu sebuah buku kulit tebal dah bertakik di dahiku. Sakit tak lah sangat tetapi darah yang memancut-mancut keluar menyebabkan aku panik dan menangis. Pan turut menangis tengok aku menangis. Luka di dahiku mendapat 3 jahitan di klinik.

Itu adalah antara pengalaman awal bermain dengan Pan dan ‘kawan-kawannya’. Pada suatu masa, kami bermain basikal di jalan kawasan rumah. Kawasan rumah kami jalan mati jadi tak banyak kereta lalu-lalang. Kami bebas membuat aksi ‘stunt’ sesuka hati.

Basikalku basikal BMX, berwarna biru dan hitam. Kawan-kawan perempuanku yang lain mempunyai basikal merah jambu berambu di ‘handle’ basikal. Beli setahun sebelumnya menggantikan basikal ‘anak kecil tayar empat’ yang telah terpatah dua gara-gara buat ‘stunt’.

Semasa buat ‘wheelie’ tiba-tiba aku terpelanting, jatuh atas jalan. Aku pun tak perasan aku langgar apa. Bila bangun balik aku lihat Pan tengah bergelut dengan basikalku. Aku pergi dekat lagi. Pan memegang ‘handle’ basikalku dan badannya terseret atas jalan.

Basikalku dalam keadaan terbaring, boleh lagi bergerak seakan-akan ditarik orang. Bingkai roda basikalku bengkok, tempat duduk tercabut, tetapi masih digunakan seperti main tarik tali antara Pan dan sesuatu yang ghaib.

Pan kelihatan amat marah, mukanya merah padam. Tak mungkin bunyi ketawa datang darinya. Ada yang ketawa di jalan mati yang sepi itu. Bunyi seperti anak-anak mengejek. Aku pun berlari and sempat pegang tunggul tempat duduk, menarik basikalku dengan Pan.

Akhirnya kami terpaksa lepaskan basikalku kerana tarikan dari arah berlawanan lagi kuat. Aku nampak basikalku diseret masuk ke longkang besar bersempadan semak. Kali ini Pan pula mendapat jahitan dilututnya. Basikalku? Selamat dijual sebagai besi buruk. Ibu dan bapaku ingat aku dilanggar lari dan Pan sempat menolakku ke tepi sebelum dilanggar.

Tidak semua ‘kawan-kawan’ Pan jahat. Ada juga yang bernasib malang. Seperti ‘kawannya’ di padang bola. Padang bola yang dimaksudkan adalah padang berkembar dengan taman permainan di kawasan rumahku.


Padang tu selalu banjir selepas hujan lebat, membuatkan anak-anak jiran lagi seronok bermain air dan lumpur. Aku dan Pan ambil kesempatan yang ada untuk bermain bola sepak dengan anak-anak jiran berdekatan. Mereka pada mulanya seronok bermain bersama. Tiada kumpulan, tiada tiang gol. Cuma lecek dan tendang saja.

Sampai satu ketika, seorang dari kami, Midi namanya, jatuh terguling, kemudian tersungkur. Kakinya terseliuh tetapi demi nak tunjuk ‘macho’, digagahkan juga balik ke rumah. Yang lain sambung lagi.


Jatuh-jatuh semua adat bermain. Lama juga baru aku sedar Pan tiada. Bila dicari rupanya Pan tengah duduk bersila bawah pokok ketapang, tepi padang bercakap sendirian. Pan berpaling padaku, melambaiku disuruh aku sambung main. Nanti dia datang.

Tapi bila aku toleh ke arah pokok tersebut, Pan sudah tiada. Keesokan harinya semasa berjalan pergi sekolah, aku tanya Pan dia pergi mana semalam. Dengan aku, Pan selalu cakap jujur. Dia kata semalam semasa main bola, Midi sebenarnya tertendang anak hantu. Anak hantu tu cedera teruk. Pan pergi tolong. Dia hantar anak hantu sampai ke kediamannya. Aku boleh tergelak. Selalunya dengar cerita pasal anak manusia sakit teruk bila jumpa hantu. Pan tersentak dan diam. Tidak ditegur aku seminggu.


Selepas aku minta maaf padanya dengan bersungguh-sungguh dan menghadiahkan padanya set pensil warna Luna, barulah baik semula.

Pan sebenarnya pandai lukis. Itulah hobinya. Dari hero-hero komik dan kartun, sehingga lukisan potret. Pernah sekali aku minta dia lukis hantu-hantu yang dia nampak.

Dikeluarkannya buku sekolah garis 1 yang agak comot. Dalamnya ada gambar-gambar yang agak pelik. Bukan hantu-hantu hodoh yang dilukisnya tetapi gambar manusia biasa. Cuma bila tengok dengan lebih dekat, boleh nampak ada yang tak kena dengan gambar-gambar tersebut. Muka-muka yang yang dilukis tidak simetri. Jika diletak tangan atau pengadang di tengah-tengah muka, memang muka kiri tak sama dengan muka kanan.

Walaupun dalam gambar, ada yang tersenyum di kedua-dua belah muka, mata dan hidung sebelah kanan, lain bentuknya dengan mata dan hidung sebelah kiri. Ya, potret Pan memang cantik dan terperinci walaupun dia masih bersekolah rendah.

‘Kalau dah muka dan rupa bentuk macam orang, mana Pan tahu diaorang bukan orang?’ Aku pernah bertanya. Menurut Pan, makhluk-makhluk ini tak mempunyai muka yang tetap. Mungkin mereka ‘pinjam’ saja muka manusia. Seperti topeng. Bila diperhatikan lama, muka mereka berubah-ubah. Muka sebenar mereka memang tidak diketahui.

Aku tak dapat bayangkan apa yang Pan nampak setiap hari dan bagaimana tabahnya dia menghadapi pelbagai dugaan dengan tenang. Pan, budak hantu yang sentiasa membantu sesiapa saja yang perlu perlindungan.

Bila aku menulis semula kisah Pan, barulah memori lama datang tak dibendung. Aku rindu sebenarnya dengan Pan. Mungkin dengan cara ini baru aku rasa tenang.


Koleksi Cerita SeramWhere stories live. Discover now