Apa maksud Haq berkata sebegitu? Aku melihat sedikit melalui celah bilik. Hah? Bibir Haq berdarah? Pasti itu angkara Raden Muin.

"Begini Datu Said, aku mendapat aduan daripada bangsa kita kau ada melindungi tetamu dari luar. Apa benar dakwaan itu?" Raden Hamka bertanya.

"Benar, anak muda ini. Namanya Haq. Aku melindunginya atas ihsan sesama makhluk Allah." Bapak menjawab.

"Aku tidak melarangmu tetapi bukankah tidak elok engkau membiarkan Haq dan Mawar tinggal sebumbung tanpa ikatan?"

Bapak ketawa kecil. Tenangnya bapak. Bagaimana bapak memperoleh ketenangan sebegitu?

"Kami bertiga bukan berdua. Aku kenal Mawar. Aku juga kenal Haq. Usah kau khuatir." Lembut saja jawapan bapak.

"Tadi aku lihat mereka bermesra di kaki gunung, bapak! Bukankah itu mencemari nama Indera Kayangan?" Raden Muin bertempik lagi.

"Sudahlah Raden Muin. Aku tahu tindak-tanduk anakku."

"Begini sajalah Datu Said, kenapa tidak kau nikahkan saja Mawar dan Haq?" Raden Hamka memberi cadangan.

Aku membulatkan mata. Jantung aku berdegup laju. Getaran tubuhku semakin menggila. Peluh memercik di dahi.

"Bapak! Kenapa tidak mereka disebat seratus sebatan? Bukankah begitu hukumnya jika si dara dan teruna berkhalwat?" Raden Muin membantah.

"Kau tidak mengemukakan empat saksi atau bukti Raden Muin. Aku tidak akan menghukum tanpa usul. Jadi, sebelum segala menjadi lebih rumit, eloklah kita satukan mereka untuk menghindari daripada fitnah."

"Bapak! Sampai hati bapak!" Suara Raden Muin.

Aku dengar kaki dihentak kemudian turun dari tangga. Agaknya Raden Muin yang keluar dari rumah kami dalam keadaan marah.

"Baiklah, aku setuju usulmu. Bagaimana kamu Haq? Sudi kau menikahi Mawar?" Bapak bertanya.

Ya Allah! Aku memejamkan mata.

"Terlebih dulu saya minta maaf. Kalau kehadiran saya mengacau-bilaukan keadaan di Indera Kayangan." Suara Haq.

"Tidak mengapa. Kita penghuni alam ini. Kau berhak di sini. Kami juga berhak di tempatmu. Hanya Allah empunya alam semesta." Raden Hamka menjawab.

"Izinkan saya menikahi anak bapak, Dayangku Mawar. Saya berjanji sepenuh hati saya untuk menjaga Mawar sehingga akhir hayat saya."

Allah... kata-kata itu sungguh indah. Jiwa aku terbuai.

"Aku izinkan. Raden Hamka, apa sudah cukup saksi untuk menikahkan mereka?" Bapak bertanya.

"Nikah terus ke pak cik?" Suara Haq. Agak bergetar suaranya.

"Ya. Rasulullah SAW pernah bersabda, wahai Ali, ada tiga perkara janganlah dilewat-lewatkan. Yang pertama, solat apabila telah masuk waktunya. Yang kedua, jenazah apabila telah hadir dan yang ketiga, anak dara apabila telah ada yang sekufu dengannya." Bapak menjawab. Kemudian bapak memanggilku keluar.

"Mawar, pergi berwuduk. Haq kamu juga."

Aku akur lalu masuk ke bilik mandi untuk berwuduk. Selepas aku keluar, aku bertembung dengan Haq di muka bilik mandi. Aku berhenti seketika.

"Aku cuma isteri kau untuk tujuh hari ke?" Aku bertanya.

"Insya-Allah, hingga ke jannah, Mawar."

Aku mengangguk lalu beredar dan duduk bersimpuh di sisi bapak. Kain batik aku jadikan sebagai penutup selendang dan kepala.

"Aku hadiahkan kau senaskhah al-Quran, tasbih dan sejadah." Bapak menghulurkan benda yang disebutkan itu kepada Haq. Haq menyambutnya.

"Saya jadikan al-Quran, tasbih, sejadah dan tanda nama saya sebagai mahar perkahwinan kami." Haq meletakkan al-Quran, tasbih, sejadah dan tanda nama yang tertulis HAQ di tengah-tengah.

"Mari, kita mulakan." Raden Hamka bersuara.

Lalu dengan sekali lafaz, sah aku menjadi isteri lelaki bernama Haq. Nikahku diwalikan imam dan bukan bapak.

Bapak tidak sihat katanya. Raden Hamka dan beberapa lelaki yang menjadi saksi pernikahan tadi meminta diri untuk pulang. Tinggallah aku, bapak dan Haq.

"Mahukah kau berjanji padaku, Haq? Jaga buah hatiku, Mawar sebagaimana aku menjaganya?" Bapak bersuara.

"Saya janji bapak. Saya akan jaga Mawar."

"Kau Mawar, cintai suamimu. Pelihara kehormatanmu dan suamimu."

Aku mengangguk. Sayu rasanya hati. Kenapa ya?

"Ampunkan bapak andai ada salah silap bapak selama bapak menjaga Mawar. Bapak halalkan segala yang bapak beri pada Mawar." Bapak mengusap kepala aku.

"Ampunkan Mawar juga bapak. Mawar sayang bapak. Dunia akhirat." Semakin kuat esak tangisku.

"Tidakkah engkau hairan kenapa aku bersetuju menikahkan engkau dengan Haq, lelaki ajnabi? Sedangkan lamaran Raden Muin dulu serta-merta aku tolak. Pernah engkau terfikir?" Bapak bertanya.

Aku mengangkat wajah lalu menggeleng. "Kenapa bapak? Sekarang Mawar tertanya-tanya."

Bapak tersenyum. Sebelah tangannya mencapai tangan Haq lalu diletakkan di atas tanganku. Aku terkejut. Ingin segera aku menarik tetapi bapak menahan.

"Ini kerana aku percaya Haq yang terbaik untukmu. Mawar dan Haq sama. Sudah ditakdirkan jodoh kalian bersatu di sini. Terimalah suratan takdir ini dengan reda."

Aku mengangguk. Haq juga begitu. Walaupun aku masih tertanya-tanya. Kenapa aku dan Haq sama?

*****

"DAH 15 hari, Datin."

"Saya tak peduli! Usahakan cari dia sampai dapat!"

"Nak cari kat mana, Datin? Jejak dia pun kita tak jumpa."

"By hook or by crook, cari anak saya sampai dapat!"

HAQ MAWAR ✔Where stories live. Discover now