Anastasia (Bab 11)

1.1K 64 2
                                    

BAB 11

"AINA Natasha."

Aina terus menoleh ke kiri apabila nama penuhnya disebut. Buku di tangan Arhan disambar kasar. Buku sekolahnya disimpan semula ke dalam beg diiringi rengusan.

"Pencopet," kata Aina sepatah, sengaja menggunakan bahasa Indonesia yang bermaksud 'pencuri'. Istilah itu baru dipelajarinya semalam daripada sinetron negara seberang yang ditayang di TV.

"Interesting. Perempuan kasar ada nama secantik tu. Aina Natasha." Arhan mengulang nama Aina seraya kepala diangguk berkali-kali. Buku sekolah itu dia curi-curi ambil sewaktu Aina membayar aiskrim kepada juruwang. Terima kasih kepada Aina, dapatlah dia basahkan tekak dengan aiskrim tersebut.

"Kenapa kau ponteng sekolah?" Arhan bertanya pula kepada Aina. Mereka berjalan beriringan, melalui barisan kedai-kedai.

"Malaslah. Aku tak minat belajar tapi mak aku sibuk suruh aku ke sekolah juga. Kalau aku ada kat sekolah pun, aku asyik bergaduh aje. Lebih baik aku ponteng," jawab Aina jujur walaupun jawapan diberi dalam nada acuh tak acuh. Soalan yang sama dipulangkan kepada Arhan.

"Kenapa kau ponteng? Betul ke tukang kebun tu bapak kau? Kenapa kau tak daftar aje kat sekolah kita orang?"

Mereka baru bertemu tetapi Aina dapat rasakan dia selesa dengan Arhan. Barangkali disebabkan mereka sama-sama kaki ponteng. Atau mungkin juga kerana Aina berperwatakan kasar dan agak kelelakian, maka mudah saja dia mencipta persahabatan dengan seorang lelaki. Kalau dengan perempuan? Mustahil. Gadis sebaya Aina lebih gemar bercakap tentang teman lelaki mereka. Satu topik itulah yang paling tidak disukai Aina.

Jawapan verbal dipinta namun Aina hanya menerima jungkitan bahu Arhan. Semerta Aina mencebir.

"Umur kau berapa, Aina Natasha?"

"Enam belas."

"Aku lapan belas," beritahu Arhan walaupun Aina tidak bertanya. Daripada umur Arhan, Aina tebak lelaki itu ialah pelajar Tingkatan Enam. Plastik aiskrim dibuang ke dalam tong sampah. Sebaik Aina menoleh, Arhan hulurkan plastik aiskrimnya pula.

"Aina Natasha, tolong buangkan."

Herot-berot mulut Aina tetapi dia tetap akur. Kemudian Aina berdiri memandang Arhan. Kerutan di dahi melambangkan rasa tak puas hati.

"Tak payahlah sebut-sebut nama penuh aku. Rimaslah," marahnya.

"Kenapa? Cantiklah. Aina Natasha. Dia sebenarnya biasa-biasa aje tapi gabungan dua-dua tu buatkan nama kau nampak glamor." Arhan mengulas nama penuh Aina, sekali dengan pakej kening diangkat-angkat. Sekali dengar, mungkin orang akan mengganggap Arhan sedang mempermainkan nama Aina tetapi itu bukanlah niatnya. Arhan benar-benar ikhlas memuji sebaris nama itu. Layaklah disandang oleh insan yang berdiri di depannya walaupun cantiknya nama itu tidak tergambar pada perwatakan Aina.

Aina tak ambil pusing pujian Arhan. Sebaliknya dia bertanya nama penuh Arhan pula.

"Apa nama penuh kau?"

"Arhan Anak Tukang Kebun."

"Eh kau ni..." Automatik Aina ketap kedua-dua giginya. Tangan sudah mengacah penumbuk ke Arhan. Tangan Arhan refleks menutup muka. Berpura-pura takut sedangkan di mulut, dia lepaskan tawa. Seronok dapat mengenakan Aina.

Aina merengus seraya menjatuhkan tangan. Apabila dia berjalan, cepat-cepat Arhan mengejarnya.

"Aina Natasha nak ke mana? Ajaklah Arhan Anak Tukang Kebun sekali. Kita dah jadi partner-in-crime. Dua-dua panjat tembok untuk ponteng sekolah jadi apa salahnya kita habiskan masa sama-sama? Nanti lepas waktu sekolah, kita berpecahlah balik rumah masing-masing. Jom jumpa lagi esok. Aku tunggu kau kat luar tembok sekolah. Nak tak?"

Anastasia [TERBIT - PENULISAN2U]Where stories live. Discover now