Anastasia (Bab 6)

1.1K 69 3
                                    

BAB 6

SEPERTI yang diatur Iskandar dan Khalidah, hari ini Aina dan Elyana ke Lapangan Terbang Senai untuk menyambut kedatangan seseorang. Mereka menanti di restoran Subway ditemani Syamel dan Naufal di meja sebelah. Selepas 'disekolahkan' Khalidah, mereka tak lagi duduk berjauhan. Apa yang berbeza hanyalah pakaian. Mulai sekarang, mereka memakai pakaian kasual agar tidak kelihatan begitu 'pengawal' di mata orang. Apabila mereka berjalan berempat, paling tidak pun orang akan memandang mereka sebagai kawan atau pasangan.

Aina mengerling Elyana. Ralit benar dia bermain permainan Cooking Adventure di telefon pintarnya. Di muka Elyana, tiada langsung riak teruja, takut atau tertanya-tanya. Sepertinya dia tidak merasakan apa-apa emosi untuk bertemu si bakal suami sebentar lagi.

Arhan. Nama itu disebut Aina di dalam hati. Satu ketika dahulu, dia pernah mengenali seseorang dengan nama itu. Perkenalan tak sampai sehari tetapi meninggalkan impak besar untuknya. Ternyata dia tidak berjodohan untuk berkawan dengan Arhan tetapi Elyana pula ditakdirkan mengahwini Arhan.

Tiada apa yang sama pada kedua-dua Arhan melainkan nama. Seorang ialah Arhan, anak tukang kebun. Manakala seorang lagi ialah Tengku Arhan Yuzlan, anak antara orang ternama di Malaysia.

Senyuman memekar di bibir Aina bilamana memori pertemuannya dengan Arhan si anak tukang kebun menjengah minda.


KAKI menapak mendekati tembok sekolah. Di sepanjang tembok tersebut, ada barisan pokok-pokok tinggi yang dipisahkan oleh jarak beberapa meter. Beg sekolah dilempar melepasi tembok. Ada bunyi kedengaran bilamana begnya jatuh ke tanah. Aina senyum puas. Dia berundur beberapa tapak ke belakang. Aina berlari setempat sambil mata tertumpu sepenuhnya pada tembok. Kemudian Aina bongkokkan tubuh. Sesaat kemudian, dia mula berlari ke arah itu.

"Lepas ke nak lompat tembok sekolah tu? Tinggi kut."

Satu suara asing menegur sekaligus berkuasa sebagai brek. Langkah Aina bagaikan dipasung. Mata melingas, mencari arah suara. Beberapa saat kemudian, satu figura keluar dari sebalik pokok. Tangan melibas punggung sewaktu dia berjalan ke arah Aina.

"Lepas ke?" tanyanya lagi sambil mulut dimuncung pada tembok. Terbias tanda soal di wajahnya.

Aina mencemik. Dipandangnya lelaki itu dari atas ke bawah dan akal merumuskan lelaki itu bukanlah pelajar di sekolahnya. Logo di seluar sukannya berbeza dengan logo sekolahnya.

"Kau bukan budak sekolah sini kan? Macam mana kau masuk?" Aina membalas soalan dengan soalan. Kening hampir bertaut.

"Kau lompat keluar, aku lompat masuk," jawabnya bersahaja. Aina mengerling nama di belakang jersinya.

"Nama kau Arhan?"

"Haah. Kau?"

"Aina," jawab Aina acuh tak acuh. Arhan tidak dipedulikan. Aina berundur sekali lagi, mengambil posisi seperti tadi. Dia mahu melakukan rutin hariannya. Namun tak sempat Aina beraksi, Arhan sudah mendahuluinya.

Tiba-tiba saja Arhan berlari ke arah tembok. Kaki kanan dan kiri melekap pada tembok sambil kedua-dua tangannya berpaut pada kepala tembok. Arhan menujah badan ke atas dan sekejapan, dia sudah labuhkan punggung di atas tembok.

Aina ternganga untuk sesaat dua. Daripada gaya Arhan, rasa-rasanya Arhan juga sama sepertinya. Sudah terbiasa memanjat tembok dan melompat keluar! Kini lelaki itu menghantar isyarat lewat ekor mata, menyuruh Aina segera memanjat.

"Kau tak suruh pun, aku tetap akan lompat juga," omel Aina. Kurang seminit, dia sudahpun duduk bersebelahan dengan Arhan. Bukan itu saja. Bahkan mereka bertentangan. Ada senyuman tipis di bibir Arhan.

"Interesting. Aku tak pernah jumpa lagi perempuan macam kau." Arhan memberi komen dengan riak terujanya. Perkataan 'kagum' ibarat tertulis di wajah itu. Untuk kesekian kalinya Aina juihkan bibir, langsung tidak ambil pusing akan komen Arhan.

"Dik! Adik buat apa tu? Ponteng eh? Jangan, dik!" Tak semena-mena, satu laungan kedengaran. Automatik Aina dan Arhan berpaling ke arah si pemilik suara. Si tukang kebun sekolah sedang berlari ke arah mereka sambil tangannya melambai-lambai, menyuruh mereka turun daripada situ. Sesaat kemudian, Aina dan Arhan memandang satu sama lain dengan mata membulat.

"Aku tak pernah terkantoi tapi hari ni kau ada..."

"Larilah cepat!"

Arhan tidak memberi peluang kepada Aina untuk membebel dan menyalahkannya. Lengan Aina dipaut lalu mereka berdua melompat turun ke bawah. Dalam keadaan sebegitu, Aina masih bisa mendarat dengan sempurna. Tiba-tiba saja pergelangan tangan kanan dicengkam Arhan.

"Cepatlah!"

Terkial-kial Aina capai beg sekolahnya.

"Kenapa kau gelabah sangat?" Sempat Aina bertanya walaupun kaki sudah berlari laju. Sesekali kepala menoleh ke belakang. Bimbang kalau-kalau tukang kebun itu mengejarnya atau ada guru-guru lain di belakang.

"Aku anak tukang kebun tu!"

Demi mendengarkan jawapan itu, mulut Aina terbuka luas.


MEMORI pertemuannya dengan Arhan dijeda di situ. Melebar senyuman hingga ke telinga Aina. Terasa ingin terus mengimbau kenangan bersama Arhan tetapi cukuplah setakat ini. Belum apa-apa, dia sudah tersenyum seperti orang sasau.

"Tengku. Tengku Arhan dah sampai," beritahu Syamel. Serentak, dia dan Naufal berdiri. Telefon pintar yang digunakan untuk berhubung dengan Tengku Arhan Yuzlan itu diselit masuk ke dalam poket seluar jeans. Masing-masing mula pamerkan riak serius.

Elyana dan Aina sama-sama mengangguk. Kedua-duanya diam seribu bahasa sementara menanti kemunculan Arhan. Aina melirik ke arah Elyana. Entah apalah agaknya perasaan Elyana kini. Berdebar-debarkah? Teruja mahu bertentang empat mata dengan si bakal suami?

Dalam pada kepala Aina dipenuhi soalan-soalan itu, seseorang sedang menghampiri.

"Tengku Elyana?"

Satu suara maskulin memecah masuk telinga Aina. Mata automatik mencari si pemanggil.

Di hadapan Aina kini, ada seorang jejaka berketinggian kira-kira 185sm segak memakai satu set suit lengkap. Rupa parasnya elok. Terlampau elok, jika Aina tidak keterlaluan hinggakan ekspresi tegang dan seriusnya tidak menimbulkan rasa gerun sama sekali. Sebaliknya ia mewujudkan satu getaran halus di dalam jiwa Aina. Rambut hitam berkilat disisir kemas. Di sekelilingnya, ada satu daya tarikan kuat hinggakan Aina tak mampu beralih pandang.

"Tengku Arhan Yuzlan."

Arhan memperkenalkan dirinya dalam intonasi senada. Dia berjabat tangan dengan Elyana yang sekadar tersenyum tipis. Di saat Arhan hulurkan tangan kepada Aina, tatapan anak mata itu terus menusuk masuk hatinya.

Aina tergamam. Bungkam. Terkedu.

Didepannya adalah seorang lelaki bernama Tengku Arhan Yuzlan. Namun di sisinya, Aina seakan dapat melihat Arhan, anak tukang kebun berjersi dan berseluar sukan sekolah.   

*****

SEDUTAN BAB 7

"Okey tak? El suka dia? Aina rasa dia orang sesuai tak?" Soalan-soalan diaju dalam nada perlahan tetapi penuh minat dan penasaran. Dapat Aina bayangkan muka kepoh Khalidah di sebelah sana.

"Okey. Suka kut. Hm sesuai," jawab Aina pendek-pendek.

"Hm bagus. Berjalan lancar juga rancangan mama."

Tiba-tiba Khalidah bertutur dalam nada serius. Dapat Aina tangkap ada maksud tersirat di sebalik ayat itu. Rancangan berjalan lancar? Rancangan apa?

"Apa maksud mak?" Aina terus bertanya.

*****

Silakan komen, vote & share! 💙


PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.

Anastasia [TERBIT - PENULISAN2U]Where stories live. Discover now