Anastasia (Bab 10)

1.1K 58 2
                                    

BAB 10

RAMBUT basah dikeringkan menggunakan pengering rambut. Mata merenung cermin tetapi fikiran menerawang jauh. Aina ligat memutar memori kejar-mengejar tadi.

"Kenapa dia orang patah balik?" Aina bertanya perlahan, mempersoalkan mengapa Syamel, Elyana dan Arhan berpatah balik untuk menjemputnya dan Naufal. Seharusnya mereka terus pulang ke rumah, kembali ke tempat selamat Elyana.

"Hans suruh kita orang patah balik. Dia kata, kita orang tak sepatutnya tinggalkan Tengku dan Naufal." Jawapan Syamel terngiang-ngiang di telinga Aina.

Aina letakkan semula pengering rambut di atas meja solek. Dahi berkerut.

"Weird. Macam mana dia tahu masa yang sesuai untuk patah balik? Cun-cun aje dia sampai waktu kita orang dah habis berlawan."

Akal mula mempertikaikan kebetulan itu. Tidak dipinta, beberapa ayat kembali kedengaran.

"Mama sarankan Tengku Arhan Yuzlan jadi menantu dia."

"Aunty Ida cakap awak hebat."

"Pagi tadi barang-barang dia sampai jadi Puan Khalidah minta kita orang uruskan."

Mata Aina membuntang bilamana nama Khalidah dikaitkan dengan Arhan. Lantas, punggung diangkat dari kerusi sebelum Aina meluru keluar. Destinasinya?

Ke rumah jiran hadapan. Ke rumah Arhan.


BERTALU-TALU Aina mengetuk pintu utama rumah Arhan. Panas hatinya apabila tuan rumah tidak membuka pintu.

"Tengku Arhan Yuzlan!" Nama penuh itu diseru lantang, memecahkan keheningan malam. Pintu diketuk sekali lagi.

"Tengku Arhan Yuzlan!" Aina menyeru untuk kesekian kalinya. Dan ternyata, baru sekarang panggilannya bersahut. Daun pintu dikuak daripada dalam. Arhan berpeluk tubuh, memandang Aina dari atas ke bawah. Aina tidak dipelawa masuk tetapi itulah yang dia lakukan. Aina berhenti menapak di ruang tamu.

"Tutup pintu. We need to talk," arah Aina.

Arhan sekadar menurut. Pintu ditutup lalu Arhan berjalan ke ruang tamu. Dia duduk di atas sofa, kaki kanan direhatkan ke atas kaki kiri. Tangan pula bersilang di depan dada. Dibiarkan saja si tetamu berdiri, tidak menjemputnya duduk sama sekali.

"Talk," kata Arhan.

Dan-danlah Aina berjalan ke arah Arhan dan berdiri di depannya. Soalan demi soalan dihamburkan kepada Arhan dan setiap satu itu diungkap dengan rasa curiga dan syak wasangka.

"Siapa awak sebenarnya, Tengku Arhan Yuzlan? Kenapa awak setuju kahwin dengan El? Apa niat awak? Apa yang mak saya janjikan kat awak? Apa lagi rancangan kau orang lepas ni?"

"Maksud awak?" Tenang Arhan membalas soalan-soalan Aina dengan dua patah perkataan.

"Jangan berlagak nak jadi penyelamat El sedangkan awaklah yang rancang semuanya. Mula-mula awak janji dengan El untuk jaga dia, takkan biarkan hujung rambut dia disentuh musuh sama sekali. Lepas tu awak dan mak upah orang untuk serang kita orang, jadi awak nampak hebat depan El. Awak selamatkan El tapi bila saya pula terancam, awak patah balik untuk selamatkan saya.

Sekejap. Bukannya patah balik untuk selamatkan. Tapi patah balik untuk 'kutip' saya. Mesti minions awak hantar laporan, beritahu kita orang dah habis berlawan jadi sebab tu, awak patah balik tepat pada masanya! Kalau betullah apa yang saya fikirkan... Biar saya beritahu awak sesuatu. Awak tak payah kahwin dengan El, bagi alasan kononnya nak cuba lindung dia. Saya boleh buat. El tak perlukan orang macam awak."

Panjang lebar Aina berkata-kata, tak sekalipun dia beri peluang kepada Arhan. Segala apa yang menghuni fikirannya diluahkan saja.

Ya, Aina yakin kini. Khalidah dan Arhan punya agenda mereka sendiri. Mereka berkomplot! Aina tak mahu tahu apakah rancangan asal mereka atau habuan dijanjikan tetapi dia mahu letakkan noktah. Rancangan Khalidah dan Arhan harus dihentikan di sini.

Anastasia [TERBIT - PENULISAN2U]Where stories live. Discover now