Anastasia (Bab 3)

1.5K 77 3
                                    

BAB 3

AINA dan Elyana jalan beriringan di Taman Merdeka. Memandangkan taman rekreasi itu berdekatan dengan banglo mereka di Jalan Nong Chik, mereka keluar berdua sahaja tanpa diiringi oleh dua orang pengawal peribadi Elyana. Pada mulanya Aina membantah tetapi Elyana berkeras. Katanya, dia tidak mahu dipandang aneh oleh orang sekeliling. Sewaktu dia bergaul dan dikelilingi oleh orang-orang kenamaan, mempunyai pengawal peribadi bukanlah satu perkara asing. Tetapi kini dia dikelilingi oleh orang berlatarbelakang biasa. Semestinya kewujudan kedua-dua pengawal peribadinya akan menarik mata-mata lain. Terpaksalah Aina turutkan.

"Kat KL ada Dataran Merdeka. Kat Johor pula rupa-rupanya ada Taman Merdeka. El baru tahu," kata Elyana. Ada nada kagum dan teruja di situ. Elyana mara mendekati sebuah tembok. Padanya, ada lakaran menggambarkan perjuangan menuntut kemerdekaan satu ketika dahulu.

"Sesuailah dengan nama dia. Untuk commemorate kejayaan orang dulu-dulu sebab berjaya dapatkan kemerdekaan untuk kita. Dalam masa yang sama, boleh juga ingatkan orang muda tentang kepayahan dan pengorbanan orang dulu-dulu," ujar Aina.

"El rasa, akak akan join perjuangan nak dapatkan kemerdekaan kalau akak hidup kat zaman dulu. Akak pandai berlawan. Akak berani!" kata Elyana penuh bersemangat. Sekarang mereka sedang menaiki jambatan, melintasi tasik buatan manusia di Taman Merdeka itu. Elyana berhenti menapak, pacakkan fokus pada tasik lalu Aina lakukan perkara yang sama.

"Akak tak pandai berlawan sangatlah. Entahkan akak jadi orang pertama menyorok bawah katil," jawab Aina acuh tak acuh.

Elyana menoleh pada Aina bersama mata bulatnya apabila frasa 'tak pandai' hinggap ke telinga.

"Berlari, melompat dan sepak orang. Head lock. Sementara tangan akak mencekik sorang kat depan, kaki akak pula menendang sorang kat belakang. Itu namanya tak pandai? El tak tahulah... Kalau akak rasa akak pandai berlawan, rasa-rasanya semua orang dah mati kut dikerjakan akak!" Elyana menggeleng-geleng di hujung katanya.

Babak-babak aksi Aina sewaktu menyelamatkannya terbayang-bayang di depan mata. Detik itu, Elyana tak dapat tahan dirinya daripada melopong dek kagum. Ya, dia ketakutan apabila penyerang-penyerangnya mahu menamatkan riwayatnya tetapi dia juga tak dapat kawal rasa takjub!

Lekas-lekas Aina letakkan jari telunjuk di bibir, menyuruh Elyana berhenti bercakap ataupun sekurang-kurangnya perlahankan volum suara. Di Taman Merdeka ini, ramai pengunjung sedang berjoging atau melakukan Tai Chi. Katakanlah ada yang mendengar perkataan 'sepak', 'cekik' dan 'mati', pasti mereka takut!

"Biar..."

Bicara Elyana tergantung di situ, berganti dengan jeritan kecil apabila belakangnya tiba-tiba ditolak seseorang.

"Ah!"

Refleks, Aina menarik Elyana ke arahnya. Kaki bergerak pantas untuk berdiri tepat di hadapan Elyana. Tangan kiri ditegakkan ke hadapan manakala tangan kanan menolak Elyana agar kekal bersembunyi di belakangnya. Dalam masa sesingkat itu, akal sudah membuat andaian. Pasti itu ialah musuh Elyana.

"Sorry, kak..."

Tiba-tiba satu suara menyusup masuk ke telinga mereka. Aina menunduk ke bawah sebelum matanya terkelip-kelip sendiri. Andaiannya meleset.

"Kita tak sengaja terlanggar akak tadi. Kita minta maaf," kata si kecil memakai dres putih itu dengan polosnya. Di tangannya, ada anak patung Barbie.

Lambat-lambat Elyana keluar dari persembunyiannya. Apabila si kecil mengucapkan maaf sekali lagi, Elyana segera memaniskan muka. Dia mara setapak untuk menghampiri si kecil tetapi Aina menghalang. Kepala Aina menggeleng sedikit sebagai bentuk larangan.

Anastasia [TERBIT - PENULISAN2U]Where stories live. Discover now