Anastasia (Bab 5)

1.2K 71 7
                                    

BAB 5

TERJENGUL dua wajah cemas di depan Aina.

"Mak..." Aina bersuara perlahan apabila Khalidah kelihatan mara ke arahnya tetapi si ibu terus jalan melepasi dirinya dan menonong mendapatkan Elyana.

"El! El okey tak? Apa jadi tadi? Kan mama dah cakap, jangan ke mana-mana!" Gelabah Khalidah memeriksa setiap inci muka Elyana. Tangan ditarik dan dibeleknya. Bergerak-gerak tubuh Elyana.

"El okey, mama janganlah risau. Nasib baik akak ada," jawab Elyana.

"Naufal! Syamel! Apa yang kau orang dah buat?!" Nyaring suara Khalidah kedengaran. Naufal dan Syamel sekadar menundukkan kepala, takut mahu bertentang empat mata dengan majikannya itu.

Manakala Aina terpempan. Wajah Khalidah direnung sedalam-dalamnya, cuba untuk mentafsir apakah yang tersirat di sebalik wajah bengis dipamer. Dan ternyata, Aina tidak dapat melihat apa-apa. Kerana topeng yang dipakai Khalidah sudah begitu sebati dengannya.

Bibir Aina jadi senget. Mapan sungguh lakonan ibunya!

"Jangan salahkan Naufal dan Syamel. Kita orang yang suruh dia orang standby daripada jauh. Kalau dia orang tak ada tadi, Aina rasa kita orang tak dapat larikan diri," kata Aina cuba berlagak tenang. Riak sinis cuba ditahan daripada kelihatan terang-terangan.

"Kita bayar dia orang untuk jaga El. Bukannya untuk standby aje!"

"Ida.... Dahlah..." Akhirnya Iskandar bersuara. Kasihan melihat semua orang terkulat-kulat dimarahi isterinya. Jarum pendek jam mengunjuk nombor tiga manakala jarum panjang mengunjuk nombor sebelas. Di saat semua orang lena diulit mimpi, mereka semua berjaga untuk menyambut kedatangan Iskandar dan Khalidah. Isterinya diasak kebimbangan selepas dihubungi Aina lalu dia mendesak Iskandar untuk menaiki penerbangan terawal ke Johor Bahru.

Yakin Elyana baik-baik saja, Iskandar dekati Aina dan berdiri tepat di depannya. Mata jatuh pada buku lima Aina. Jelas warna merah di situ.

"Tangan Aina sakit? Nak papa panggilkan doktor? Papa ada kenalan kat sini. A call and he'll be here immediately." Iskandar bertanya lembut kepada si anak tiri. Gelengan diterima lalu Iskandar bertanya sekali lagi untuk dapatkan kepastian.

"Sure? Papa bersyukur Aina selalu jagakan El tapi tolonglah jangan bahayakan diri sendiri."

Tersentuh hati Aina. Apalagi bicara Iskandar ditemani pandangan redupnya. Di sepasang mata tua itu, terbias pancaran kasih sayang seorang ayah. Lambat-lambat Aina ukir senyum dengan harapan kegundahan hati Iskandar dapat disurutkan.



EMPAT insan menikmati sarapan mereka tanpa mengeluarkan sebarang suara. Hanya bunyi penghawa dingin memenuhi ruang. Sesekali bunyi lagaan sudu garfu dan pinggan kaca kedengaran. Di luar bilik makan, Naufal dan Syamel berdiri tegak. Dalam keadaan bersiap-siaga. Hatta dalam banglo sendiri pun, mereka harus sentiasa waspada. Keberadaan Elyana di Johor sudah diketahui maka kemungkinan untuk Elyana diserang di banglo ini juga ada.

"Abang, apa rancangan kita lepas ni? Pasal El?"

Suara Khalidah memecah keheningan. Pinggan kosong sudahpun ditolak ke tepi. Napkin dicapai untuk mengesat mulut. Serentak, tiga pasang mata tertumpu kepadanya.

"Ida tak setuju kalau abang suruh El pindah lagi. Sampai bila El nak pindah-randah?" tanya Khalidah.

Elyana segera mencelah, menyokong kata-kata Khalidah.

"El pun dah tak nak pindah lagi, pa. El dah penat," kata Elyana lirih. Selera makan yang sememangnya setipis kulit bawang, terus menghilang. Sudu garfu diletak di atas pinggan sambil pandangan dipacak pada Iskandar. Peluang ini mahu dia gunakan sebaik mungkin untuk memujuk Iskandar. Sebelum orang tuanya berangkat pulang ke Kuala Lumpur dan mulakan urusan 'migrasinya', lebih baik dia nyatakan pendiriannya.

Anastasia [TERBIT - PENULISAN2U]Where stories live. Discover now