Anastasia (Bab 2)

1.6K 81 5
                                    

BAB 2

"EL macam mana?"

Kedengaran suara Khalidah bertanya. Sementara iPhone X melekap di telinga, mata Aina mengerling Elyana di tepi kolam renang. Kakinya dijuntaikan ke dalam kolam, membiarkannya basah manakala kepala Elyana mendongak memandang langit. Di langit gelap, bintang-bintang kelihatan menyerlah.

"Okey," jawab Aina pendek walaupun sejujurnya, Aina tidak tahu adakah perkataan itu sesuai menggambarkan keadaan Elyana.

"Mama tahu Aina dah janji dengan papa untuk jagakan dia but mark my words. Jangan bahayakan diri sendiri untuk El. Kalau Aina rasa ada benda buruk akan jadi kat El, biarkan aje. Aina lari dulu, selamatkan diri sendiri. Tinggalkan dia." Keras suara Khalidah bersuara di sebelah sana. Nasihat yang lebih berupa peringatan itu diluah tanpa sebarang rasa empati kepada Elyana sama sekali.

Tak dapat tidak, dada Aina serasa berapi. Berombak kencang dadanya tatkala nada tak berperasaan Khalidah dapat dikesan. Aina mengatur langkah menuju ke sebuah bilik lalu pintu ditutup dan dikunci. Sudah jauh sebegini, peluang untuk butir bicaranya didengari Elyana mahupun Maimunah tersangatlah tipis.

"Apa yang mak cakap ni? Takkanlah mak nak suruh Aina biarkan aje dia orang bunuh El?" Terus Aina lemparkan soalan-soalan itu kepada Khalidah.

Mama? Tak. Selama dia menyedut udara di muka bumi ini, dia menggelar Khalidah 'mak'. Namun sejak Khalidah menikahi Tengku Iskandar, duda anak satu itu, dan-danlah Khalidah menggelar dirinya sebagai 'mama'. Kononnya inginkan gelaran selayak tarafnya kini.

"Then what do you expect? Antara anak kandung dengan anak tiri, mestilah mama pilih anak kandung mama!"

"Kalau nak bercakap pasal anak kandung, Aina pun..."

"Aina tetap anak mama. Dan mama takkan biarkan anak mama korbankan nyawa untuk orang asing!" Cepat-cepat Khalidah potong kata-kata Aina, tak mahu Aina ungkit status sebenar mereka.

"Orang asing? Bila berkaitan nyawa, dan-danlah El dan papa jadi orang asing? Tapi bila mak tumpang senang atas harta kekayaan dia orang, tumpang glamour dengan gelaran Tengku sampaikan mak arahkan semua orang gelar Aina, 'Tengku Aina'..." Berkerut-kerut dahi Aina sewaktu dia mengungkit, selaras dengan rasa tak percayanya. Kata nama khas 'Tengku Aina' sengaja diberi penekanan.

"Tiga belas tahun, mak. Tiga belas tahun kita menumpang senang. Papa dan El betul-betul terima kita sebagai keluarga dia orang tapi mak..." Bicara Aina terbantut bilamana Khalidah mencantas.

"Inilah namanya hidup, Aina. Orang beri, kita terima. Terhutang budi? Rasa bersalah? Dalam hidup, semua tu kena tolak ke tepi. Jangan jadi orang baik, kita akan terus dipijak-pijak. Daripada dulu lagi mama dah ajar Aina, keraskan sikit hati. Jangan cuba ambil-alih tugas malaikat dalam dunia penuh syaitan ni!" Suara Khalidah menaik di hujung kata. Kata-kata yang selalu disogok ke dalam telinga Aina, kini diucap lagi. Andai dia harus mengulang ayat-ayat itu untuk sejuta kali hinggakan Aina dapat menghadamnya, Khalidah sanggup!

Tangan yang memegang iPhone, kini mencengkam item itu sekuat hati. Amarah dilepaskan dengan menggigit bibir bawahnya. Ditarik-tarik tanpa mempedulikan kesakitan fizikal yang mula dirasai.

"Mesti sekarang papa tak ada depan mata mak, kan? Sebab tu mak berani cakap benda-benda macam ni," tebak Aina, seboleh mungkin ditutur dalam nada bersahaja. Membentak atau meninggikan suara kepada Khalidah tidak lagi efektif. Kini Aina memilih untuk melemparkan kata-kata sinis saja. Andai kata ia tak berkesan pada Khalidah? Tidak mengapa! Aina akan cari alternatif lain. Apa saja asalkan Khalidah disedarkan daripada sikap materialistik dan opportunisnya!

Tiada jawapan bererti tebakannya tepat mengena.

"Sekali. Untuk sekali aje, tolonglah jadi manusia. Tak payah sibukkan hal malaikat dan syaitan." Usai tuturkan itu, Aina terus matikan panggilan. iPhone dimatikan serta-merta sekaligus mengekang semua kemungkinan untuk Khalidah menghubunginya lagi.

Diturutkan gelodak jiwa, ingin saja Aina lempar iPhone tersebut ke dinding, biar berkecai. Pasti hatinya puas selepas melakukan kerosakan itu. Namun akal rasional menghalang. Itu ialah iPhone X. Harganya saja sudah mencecah ribuan. Casing yang membaluti tubuhnya pula, bukan calang-calang. Di belakang casing, nama 'Aina' tertulis menggunakan berlian yang dicacah padanya. Ya, berlian. Sementara orang lain bersusah-payah mengerah keringat untuk mendapatkan hatta berlian termurah, sewenang-wenangnya berlian itu menjadi perhiasan telefon pintarnya.

Sudahnya,yang termampu Aina lakukan kini ialah menghembus nafasnya kuat.

*****

SEDUTAN BAB 3

"Ingat cakap mama. Ignore her. Completely."

"I hate people saying the same thing and I hate repeating myself. Aina takkan biarkan El," kata Aina dalam nada berbisik tetapi penuh kejituan. Amarah mulai memercik di dalam diri.

"Jangan lawan cakap mama, Aina!"

Berang. Lalu Aina putuskan panggilan. Di saat iPhone dijauhkan daripada telinga, satu suara lain pula kedengaran.

"Akak!!!"

Sepantas kilat Aina arahkan anak mata ke arah suara itu. Detik itu juga, jantungnya serasa mahu gugur.

*****
Silakan komen, vote & share! 💙

PERHATIAN: Semua cerpen dan novel di dalam wattpad ini adalah hak milik mutlak Syu Ariani dan syarikat penerbitan - Dilindungi oleh Akta Hak Cipta Malaysia 1987. Sebarang plagiarism (ciplak) adalah dilarang sama sekali! Sila hubungi Syu Ariani untuk sebarang pertanyaan. Terima kasih.

Anastasia [TERBIT - PENULISAN2U]Where stories live. Discover now