Perempuan berusia 46 tahun itu melabuhkan punggungnya di kusyen. Beg yang berisi telekung diletakkan di atas meja kopi di depannya.

"Ni hah, karipap sardin, kuih kegemaran Ziha, kan?" kata Puan Suzila sambil turut meletakkan plastik berisi lima keping karipap sardin itu di atas meja kopi, betul-betul di sebelah beg telekungnya.

Nur Naziha kerut keningnya yang lebat.

"Kan Ziha dah cakap tadi, Ziha tak nak apa-apa." Dia bersuara.

"Karipap ni bukan acik yang beli tau. Tapi Hajah Hanis yang belanja. Katanya khas untuk Ziha," kata Puan Suzila sambil menyengih.

"Baiknya hati Hajah Hanis tu," puji Nur Naziha. Perutnya yang belum menjamah apa-apa walau seteguk air terus jadi lapar tatkala melihat karipap sardin di depannya.

Senyum Puan Suzila semakin melebar. Dan, senyum yang kelihatan lain macam saja itu buat hati Nur Naziha jadi tidak menentu.

"Baik ada makna tu, Ziha. Yalah... Ziha ni kan muda lagi. Orangnya cantik pulak tu. Mestilah ada yang berkenan untuk dibuat calon menantu." Puan Suzila tersenyum panjang.

Erkkk... Tiba-tiba sahaja dia tersendawa sebaik mendengar kata-kata yang diluahkan Puan Suzila itu. Perutnya yang tadi lapar, sekonyong-konyong rasa kenyang.

"Ziha tak nak!" Dia bersuara. Keras.

"Acik ajelah yang makan karipap tu!"

Puan Suzila merenung lama wajah gadis di depannya. Wajah yang tadinya tenang, setenang teratai di kolam tiba-tiba sahaja berubah rona. Tona kulit pipinya menjadi merah padam.

Nur Naziha memang begitu sikapnya. Setiap kali diajukan dengan persoalan jodoh, dia akan menggelabah dan terus marah-marah. Mungkin dek memori hitam yang menghantui semalamnya, hati Puan Suzila bermonolong.

Tapi sampai bila gadis cantik ini harus mengelak dirinya daripada membicarakan tentang persoalan jodoh? Seorang perempuan harus ada di sisinya seorang lelaki yang selayaknya dipanggil suami.

"Kenapa tiba-tiba aje mengamuk ni, Ziha?" Puan Suzila menghentak soal.

"Ziha tak suka dengar Acik Su cakap macam tu!"

Panjang muncungnya membuatkan Puan Suzila bagai hendak tergelak melihatnya.

"Pasal Hajah Hanis yang berkenan nak jadikan Ziha calon menantunya tu?"

"Hmmph... pasal tulah!"

"Ziha, ni acik nak tanya sikit. Sampai bila Ziha nak mengelak daripada bercakap tentang jodoh? Sampai bila? Ziha masih muda, cantik pulak tu... takkan Ziha tak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga dan membina keluarga seperti orang lain? Hidup orang perempuan ni takkan lengkap tanpa seorang suami di sisi, Ziha. Suami nilah yang akan melindungi hidup Ziha kelak." Puan Suzila menarik nafas dalam-dalam sebelum berhenti seketika.

Kemudian, dia menyambung lagi hujahnya, "Acik tau Ziha pernah kecewa suatu ketika dulu. Sebab tulah Ziha tak percaya pada ikatan perkahwinan tapi sampai bila, Ziha? Sampai bila? Takkan selamanya Ziha nak hidup solo macam ni? Kalau lelaki tu pernah kecewakan Ziha, pernah sakiti Ziha... lelaki lain tak semestinya macam dia."

"Jangan ikut contoh macam acik ni, Ziha. Akibat putus tunang dengan lelaki yang acik cintai, acik terus membenci lelaki. Acik tolak setiap lelaki yang cuba mendekati acik. Akhirnya tengoklah acik ni, sendirian membilang bilah-bilah hari yang mendatang. Acik ni dah tak ada harapan lagi, Ziha. Hati acik ni dah berkematu, dah tak boleh terima cinta daripada mana-mana lelaki lagi. Acik tak nak Ziha pun jadi macam acik. Ziha harus bahagia. Ziha harus ada suami dan anak-anak. Ziha jangan hidup sendirian membilang hari tua macam acik ni!"

"Cukup, acik! Cukup!!!" Nur Naziha menjerit. Air matanya berjurai-jurai jatuh ke pipi.

Puan Suzila terdiam. Dia sedar kata-katanya tadi bagai hirisan pisau belati di telinga Nur Naziha. Dia bangkit lalu meraih tubuh Nur Naziha ke dalam dakapannya. Terasa tubuh gadis itu terhenjut-henjut menahan tangis.

"Acik cuma mahu Ziha bahagia," bisiknya ke telinga Nur Naziha.

"Ziha tahu. Ziha minta maaf kalau dah terkasar bahasa dengan acik."

"Tak apa, acik faham."

"Terima kasih."

Nur Naziha merungkaikan pelukannya ke tubuh Puan Suzila. Dia segera mencapai tisu lalu mengelap air mata yang tumpah seketika tadi.

"Kalaupun Ziha tak sudi jadi calon menantu Hajah Hanis, terima ajelah karipap sardin tu. Hajah Hanis ikhlas nak belanja Ziha." Puan Suzila memujuk.

Nur Naziha senyum. Plastik berisi lima keping karipap sardin dicapainya juga sebelum melangkah keluar untuk ke tempat kerjanya di Farmasi Nusantara pagi Ahad itu.  

PLEASE... JANGAN TACKLE AKU!Where stories live. Discover now