BAB 9

73 1 0

Bab 9

LAGU Pelangi Petang dendangan allahyarham Sudirman Haji Arshad yang menyapa telinga ternyata membangkitkan nostalgia silam. Ianya membawa makna bahawa tiada apa pun yang fana' di dunia ini. Bagaikan pelangi petang yang indah, yang kalau boleh ingin dikekalkan kewujudannya. Tetapi, itu adalah mustahi kerana hakikatnya jalur-jalur pelangi akan hilang juga daripada pandangan mata setelah sampai masanya.

Ibaratnya kalau kita mencintai seseorang. Walau sedalam manapun cinta kita padanya tetapi dia tetap akan pergi juga sekiranya itulah yang ditakdirkanNYA untuk kita.

Wajah ayu itu menyapa semula ke sanubarinya. Lalu membangkitkan sebuah memori silam yang sebenarnya ingin dipadamkan dari ruang ingatan. Kerana sesungguhnya memori itu bagai memagut seluruh keceriaannya.

Tatkala dua insan bercinta, apakah yang paling mereka takuti? Sudah tentulah takut akan perpisahan. Sedangkan berpisah seharipun, sudah menebal rindunya. Inikan terpaksa berpisah untuk selama-lamanya dek sebuah takdir yang dipanggil kematian.

Alangkah baiknya kalau dia terlebih dahulu membenci Melissa? Mungkin dia tidak perlu merana sebegini lama setelah Melissa mati. Tetapi takdir yang telah ditetapkan untuk dia dan Melissa sungguh kejam. Tersangatlah brutalnya! Sedang mereka hangat bercinta, dia menerima perkhabaran bahawa belahan jiwanya itu telah dijemput maut dalam satu kemalangan ngeri yang membabitkan lima buah kereta dan sebuah lori di Lebuhraya Utara Selatan.

Dan, lebih pedih lagi apabila Melissa ketika itu sedang mengandungkan anak pertama mereka. Usia kandungannya pula baru mencecah angka dua bulan. Dalam satu renggut sahaja, dia telah kehilangan kedua-duanya; isteri yang dia cintai sepenuh hati dan anak yang sedang berdegup dalam kandungan isterinya.

Oh TUHAN...!

Lokman Azad segera mencapai kotak tisu yang berada di tengah-tengah meja makan. Dia menarik beberapa helai tisu lalu mengelap setitis airmata yang sudah mula terlepas daripada takungannya. Segagah-gagah lelaki tetap akan menangis untuk seorang perempuan. Lebih-lebih lagi perempuan itu adalah insan yang dicintainya.

Situasi itu membuatkan Tuan Haji Saadun dan Hajah Hawa saling berpandangan.

"Sabarlah, Azad. Yang dah pergi tu jangan asyik dikenang lagi." Tuan Haji Saadun memujuk anak lelakinya.

Sebagai seorang ayah, dia wajar tabik spring pada Lokman Azad. Anak lelakinya itu begitu setia pada sebuah cinta. Walau telah hampir empat tahun isterinya meninggal dunia, Lokman Azad masih setia, masih enggan mencari pengganti arwah Melissa.

Entah resmi siapa yang diikutnya, dia bermonolog.

Tapi realitinya Lokman Azad tidak mengikut resmi Tuan Haji Saadun yang pantang nampak perempuan berdahi licin ketika zaman mudanya dahulu.

"Betul kata ayah kamu tu, Azad. Mak rasa dah hampir empat tahun arwah Lisa meninggal. Kamu tak nak cari pengganti dia ke?" Hajah Hawa menyampuk sambil menghulurkan pinggan putih berbunga-bunga ungu yang berisi beberapa keping roti bakar bersalut kaya ke arah anaknya itu.

Lokman Azad masih diam. Tidak berkutik. Kalau dua tahun terawal kematian isterinya dahulu soalan sebegitu diajukan padanya, pasti dia akan membentak. Tapi kini tidak lagi. Dia sudah belajar menerima hakikat bahawa dia dan isterinya dipisahkan ketika cinta mereka sedang sarat.

Hanya kenangan indah bersama Melissa yang mengisi penuh kotak fikirnya. Mereka sempat melayari bahtera bahagia selama hampir dua tahun. Sepanjang bergelar suami isteri mereka jarang bergaduh. Kalau bergaduh pun setakat gaduh-gaduh manja. Dan, setelah tamat sesi gaduh-gaduh manja itu, hubungan mereka makin hangat. Makin romantis!

PLEASE... JANGAN TACKLE AKU!Where stories live. Discover now