BAB 8

67 0 0

Bab 8

JEFFRI membuang pandang sekali lagi ke arah teman yang masih terkedang lena di atas kusyen empuk. Peristiwa yang berlaku ketika embun jantan sedang galak turun dinihari tadi masih segar dalam lipatan memorinya. Setelah memecut laju meninggalkan kediaman Dayana, dia segera menghubungi Haris.

"Ris, S.O.S!"

"Kau ni, Jeff, kacaulah orang nak tidur. Hah, apahal hantar mesej kecemasan malam-malam buta ni? Titanic terlanggar iceberg ke?" suara Haris kedengaran parau. Mungkin dia sudah berada di atas katil.

"Kau kena tolong aku, Ris!" katanya. Dia lega setelah mendengar suara temannya itu. Sekurang-kurangnya Haris berada di rumah.

"Ris, kau seorang aje ke kat rumah?"

"Hmmm... seorang ajelah. Amin balik kampung. Oit... kenapa?"

"Aku nak tumpang tidur kat apartmen kau malam ni, boleh tak?"

"Kau kena halau dari rumah ke?"

Cipanlah si Haris ni, gerutu hati Jeffri. Geram!

"Boleh ke tak?"

"Ha... boleh. Kau seorang aje kan?"

"Tak, berdua... dengan..."

"Hah, kau nak bawak girlfriend tidur kat sini ke? Heei, mana boleh, bro? Ni bukan tempat buat maksiat." Suara Haris kedengaran seolah-olah terjerit.

"Eh, aku bukan dengan perempuanlah. Aku dengan Eiz." Jeffri segera menjawab.

"Hah, kalau dengan jantan tak apa." Sinis bunyinya tetapi Jeffri malas hendak melayan kerenah Haris.

"Kau tunggu kita orang kat bawah tau. Kawan kita ni mabuk teruk. Sepuluh minit lagi kami sampai." Pintanya.

"Alahai, habislah karpet kat rumah aku ni kena muntah dia nanti. Okeylah, aku tunggu kat bawah."

Itulah perbualan di antaranya dengan Haris dinihari tadi. Mujurlah Haris sudi menumpangkan mereka berdua. Kalau tidak, alamat kopaklah duitnya kerana terpaksa menyewa bilik hotel.

Dia bangkit untuk mengecas bateri telefon bimbitnya di bilik Haris. Telefon itu sengaja dimatikan taliannya sejak malam tadi. Dia seolah-olah takut hendak membukanya kerana dia tahu siapa yang akan cuba menghubungi telefon bimbitnya. Sudah tentulah Dayana!

"Jeff, kau tahu ke apa sebenarnya masalah kawan kita ni? Dulu dia hanyut jugak tapi taklah seteruk ni. Aku tengok dia macam sengaja nak tenggelamkan dirinya." Komen Haris.

Jeffri hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Entahlah, Ris. Aku pun tak tahu. Sebenarnya mama dia yang suruh aku cari Eiz malam tadi. Mungkin masalah keluarga agaknya."

"Orang macam kita nilah yang sepatutnya banyak masalah, kan? Aku ni contohnya, selalu aje sengkek bila sampai pertengahan bulan. Tapi orang macam Eiz, dia tak perlu risau tentang poket yang bocor macam kita-kita ni." Gerutu Haris membandingkan dirinya dengan Eizhan.

"Kaya tak semestinya menjamin kebahagiaan, Ris."

"Tapi kalau tak kaya, lagi tak bahagia. Kalau tak ada duit macam mana nak belanja awek makan kat restoran eksklusif? Macam mana nak bawak awek jalan-jalan kat Genting? Macam mana nak belanja awek shopping? Jadi orang kayalah best!" Haris segera membidas.

Jeffri hanya mendiamkan diri. Setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza-beza tentang erti bahagia. Ada orang anggap, kekayaan material menjamin kebahagiaan. Orang lain pula menafikannya. Macam Eizhan yang tidak pernah bahagia walaupun dia dilahirkan dalam keluarga yang mewah.

"Tolonglah Jeff, jangan hantar aku balik ke rumah tu." Rayuan Eizhan lewat malam tadi tadi menerbak semula ke ruang fikirnya.

Tentu Eiz tak bahagia tinggal di banglo yang tersergam itu, bisik hati Jeffri. Kalau dia rasa banglo itu membahagiakannya, tentu dia rindu untuk balik ke sana. Ini tak!

Dia membayangkan pula rumah kecil yang tertegak di belakang banglo itu. Rumah yang dihuninya bersama ibu, ayah serta adik perempuannya. Walaupun rumah itu kecil sahaja tanpa dekorasi perabot-perabot mewah tetapi kenapa dia sentiasa ingin pulang ke rumah itu?

Dia pulang dari tempat kerja setiap petang dengan rasa rindu pada bau sambal tumis ibunya, juga pada gurau senda dan gelak ketawa adik perempuannya. Juga masa yang berharga bersama ayahnya ketika mereka menonton di ruang tamu.

"Aku rasa rumah aku tu dah macam neraka. Dah macam lubang kubur!"

Begitulah cemuhan yang pernah terlontar dari mulut Eizhan suatu ketika dahulu. Kata-kata yang jelas membayangkan betapa dia membenci banglo yang tertegak mewah di Bukit Mewah itu.

"Habis tu, kau nak tinggal kat rumah setinggan pulak?" perli Jeffri. Dia ingin melihat air muka temannya tatkala terlontar soalan itu.

Eizhan terdiam seketika. Mungkin cuba membayangkan bagaimanakah keadaannya kalau ditakdirkan dia terpaksa menghuni rumah setinggan. Cebikan yang terluah di bibirnya adalah jawapan yang jelas bahawa lelaki itu sebenarnya tidak mahu tinggal di rumah setinggan. Kalau enggan tinggal di banglo mewah, enggan juga tinggal di rumah setinggan lalu kediaman yang bagaimanakah yang diimpikan Eizhan?

Hakikatnya Eizhan sendiri tidak pasti apakah corak bahagia yang didambakannya!

"Aku nak mandi ni. Ris, kau kejutkanlah si Eiz tu. Kita ronda-ronda KL hari ni." Jeffri mencadangkan. 

PLEASE... JANGAN TACKLE AKU!Where stories live. Discover now