BAB 4

223 2 0
                                        

Bab 4

"BAIK-BAIK bawak skuter tu, Murni." Lokman Azad mengingatkan gadis berusia 19 tahun itu.

"Yalah, Bang Azad! Murni tahulah abang tak nak orang yang bonceng kat belakang ni jatuh tergolek, kan?" usik Murni sambil mengekel-ngekel ketawa.

"Hisy, engkau ni Murni!" desis Nur Naziha yang sedang memperkemaskan ikatan tali topi keledarnya. Tidak cukup dengan itu, bahu Murni digetusnya kuat membuatkan Murni terjerit.

"Kak Ziha ni, macam semut apilah! Sakit tau tak!" dengus Murni.

Lokman Azad tergelak kecil melihatkan telatah mereka berdua. Tetapi memang betul kata Murni, dia tidak mahu perempuan yang telah mula mendapat tempat di hatinya itu jatuh skuter lalu cedera. Kalau boleh dia sendiri mahu menghantar Nur Naziha pulang, enggan melepaskannya membonceng skuter Murni. Tetapi bagaimana kalau ajakannya ditolak mentah-mentah oleh gadis itu? Kelak dia yang akan menanggung malu!

"Abang tak nak kau orang berdua jatuh skuter. Kalau kau orang berdua dah tersadai kat katil hospital nanti, siapa yang nak jaga farmasi?"

"Isy... abang ni! Tak patut betullah." Gerutu Murni.

Lokman Azad ketawa. Matanya menoleh pula ke arah Nur Naziha yang sudah bertengger di belakang Murni. Wajah gadis itu juga menunjukkan riak kurang senang dengan kata-katanya seketika tadi.

"Sorry, abang gurau ajelah. Dahlah tu, bawak skuter tu baik-baik. Assalamualaikum!"

Lokman Azad baru hendak berpaling untuk melangkah ke keretanya ketika terdengar Murni memanggil namanya.

"Bang, boleh pinjam RM20 tak? Kita orang berdua ni belum makan lagilah, bang." Tingkah gadis berkulit hitam manis itu tanpa segan silu.

Lokman Azad tersengih panjang. Tanpa banyak bicara dia terus menyeluk walletnya lalu mengeluarkan dua helai wang kertas bernilai RM10 lalu dihulurkan ke arah Murni. Gadis itu menyambutnya dengan segala senang hati.

"Terima kasih ya, bang." kata Murni sambil menghulurkan wang tersebut ke arah Nur Naziha.

"Eh, kenapa bagi akak duit ni?" Nur Naziha kelihatan ragu-ragu hendak mencapainya.

"Ala... Kak Ziha tolonglah simpankan. Apa gunanya beg tangan akak yang besar tu?" Murni membalas.

"Ada-ada ajelah Murni ni!" getus Nur Naziha sambil segera menyumbatkan dua helai wang kertas merah itu ke dalam beg tangannya.

Sebenarnya Nur Naziha segan dengan Lokman Azad. Dia malu untuk menerima pemberiannya walaupun mungkin Lokman Azad menganggap wang RM20 yang dihulurkannya itu seumpama mencurah setitik air di lautan luas.

Dan sekali lagi mata Lokman Azad jatuh ke wajahnya membuatkan Nur Naziha seolah-olah ingin menyuruh Murni segera memecut skuternya meninggalkan tempat itu.

"Dapat gaji nanti kita orang bayar balik ya, bang." Kata Murni.

Lokman Azad menyengih.

"Ah, tak payahlah! Abang belanja."

"Betul ke ni, bang? Isy, baiknya hati Abang Azad! Next time belanjalah lagi ya, bang." Tingkah Murni, galak.

"Insya-ALLAH, boleh. Sebenarnya abang memang teringin nak belanja Murni dan Ziha makan tapi malam ni nampaknya tak boleh. Insya-ALLAH, malam esok kalau abang ada kelapangan kita keluar makan bertiga. Tupun kalau Murni dan Ziha sudi."

"Ya ALLAH, baiknya hati abang. Dah tentulah Murni dan Kak Ziha sudi. Kata orang, rezeki jangan ditolak. Betul tak, Kak Ziha!"

"Err... tengoklah dulu macam mana. Ziha tak berani nak berjanji."

PLEASE... JANGAN TACKLE AKU!Where stories live. Discover now