BAB 3

287 3 0
                                    

Bab 3

SEDARI tadi Lokman Azad memerhatikan gadis itu dari kejauhan dengan penuh minat. Kalau dulu jarang benar dia singgah di Farmasi Nusantara yang menjadi milik ayahnya itu tetapi kini entah mengapa, dia bagaikan didorong satu kuasa untuk singgah ke situ saban hari, saban ketika.

Apakah kerana dia?

Dilihatnya Nur Naziha lesu sahaja, tidak selincah biasa. Nur Naziha seolah-olah orang yang sedang menderita sakit. Dia ingin sekali menunjukkan keprihatinannya yang mendalam terhadap gadis yang diminatinya dalam diam itu. Tetapi menyedari dirinya sebagai anak kepada majikan tempat gadis itu mencari rezeki, dia cuba sedaya upaya untuk mengawal tingkah laku dan tutur katanya. Dia enggan memutikkan rasa tidak selesa di hati Nur Naziha terhadap dirinya.

Apatah lagi dilihatnya Nur Naziha bukanlah seperti gadis-gadis muda lain, yang bebas culas tingkahlaku mereka. Tidak kisah bergurau senda atau bertepuk tampar dengan lelaki yang bukan muhrim. Malah ada juga yang lebih berani daripada si lelaki itu sendiri.

Nur Naziha amat halus adabnya. Kata-kata yang terlontar dari bibirnya juga sopan dan memikat hati. Begitu juga ketika dia melayan pelanggan yang bertali arus ke farmasi tersebut, dengan penuh hormat dan bersopan.

Bukan dia seorang sahaja yang memuji Nur Naziha. Malah dia pernah dengar ayahnya yang jarang sekali memuji sesiapa turut menghamburkan pujian ke atas gadis itu. Lokman Azad masih ingat dengan jelas kata-kata Tuan Haji Saadun ketika mereka sekeluarga sedang mengadap hidangan minum petang di halaman rumah.

"Budak Ziha tu rajin orangnya. Dah empat bulan dia bekerja di farmasi kita tu, tak pernah sehari pun dia mintak cuti. Jauh bandingannya dengan si Murni, sebulan paling kurang dua hari mesti nak isi borang cuti. Lagi satu, kalau kita ajar... dia cepat tangkap." Begitulah hamburan pujian yang pernah terlontar dari mulut Tuan Haji Saadun.

Dia nampak bagaimana ibunya, Hajah Hawa, merenung tajam ke arah ayahnya. Geli hatinya melihatkan renungan berbaur cemburu yang dilemparkan ibunya itu. Dalam usia senja begitupun ibunya masih sarat dengan cemburu terhadap si suami.

"Bukan main lagi abang aji memuji-muji budak baru tu! Ada apa-apa ke?" sembur Hajah Hawa, penuh sinis.

"Isy, awak ni Hawa! Tak habis-habis dengan sikap cemburu dan buruk sangka awak tu. Saya puji ni, ikhlas. Salahkah saya memuji pekerja saya yang dedikasi macam Ziha tu? Betulkan sikit fikiran awak yang senget tu. Hawa, awak tu dah dua kali ke Mekah mengerjakan ibadah Haji. Dah tiga kali pulak buat umrah tapi masih ada karat di sudut hati awak tu. Sikap buruk sangka tu cuba buang sikit!" Tuan Haji Saadun membidas, sengit.

"Bang aji oi, orang perempuan ni kalau sekali hatinya terluka, dia akan ingat sampai bila-bila tau! Mulut ni bolehlah memaafkan tapi hati... hati ni, belum tau lagi, bang aji oi!" Suara Hajah Hawa yang mula meninggi itu membuatkan selera Tuan Haji Saadun mahupun Lokman Azad yang sedang menjamah hidangan laksa pada petang itu, terasa berpasir.

"Dahlah tu, mak." Lokman Azad cuba memujuk ibunya yang sudah masam mencuka.

"Tulah awak, hal yang dah 20 tahun lepas pun awak nak ungkit-ungkit balik!" Tuan Haji Saadun menghempaskan keluhannya. Kecewa dengan sikap si isteri yang asyik mengungkit kecurangannya yang lalu setiap kali mereka berbalah, terutamanya hal yang berkaitan dengan perempuan.

"Betul cakap ayah tu. Perkara yang dah lepas tu janganlah asyik diungkit-ungkit." Lokman Azad bangkit lalu memicit-micit bahu Hajah Hawa untuk mengendurkan segala ketegangan yang menguasai diri perempuan itu.

"Benda yang dah lepas-lepas tulah yang kita jadikan panduan, jadikan iktibar supaya tak berulang lagi!" suara Hajah Hawa masih kasar dan garang.

Tuan Haji Saadun tergeleng-geleng.

PLEASE... JANGAN TACKLE AKU!Where stories live. Discover now