BAB 10

259 5 1
                                        

Bab 10

"LENA tidur malam tadi, Kak Ziha?" Itulah soalan pertama Murni sebaik-baik sahaja mereka berdua menapak turun dari skuter merah jambu dan mula menyusuri kaki lima kedai untuk mencari tempat makan yang sesuai bagi menjamu selera pagi itu.

"Mana boleh tak lena? Kalau badan dah penat, pasti lena ajelah."

Murni mengekel.

"Manalah tau kalau-kalau tak lena pulak? Kalau-kalau tidur akak asyik diganggu oleh mimpi-mimpi indah bersama Abang Azad!" Murni sudah mula mengusik.

"Hisy, akak tak sukalah Murni asyik sebut-sebut nama dia!"

"Dia tu siapa, kak? Abang Azad ke? Ala... takkan nak sebut nama Abang Azad pun tak boleh? Akak malu ke?"

"Akak tak sukalah, Murni!" Nur Naziha meninggikan suaranya. Sambil itu kaki mereka berdua terus melangkah menuju ke sebuah restoran milik peniaga Melayu.

Murni tergelak kecil.

"Ala... suka ajelah, kak. Apa kurangnya Bang Azad tu? Baik, handsome... berduit orangnya. Dia pun sukakan akak. Akak aje yang jual mahal. Jangan letak harga tinggi sangat kak, nanti tak laku baru padan muka!"

"Dah tu, Murni! Cukup!! Akak tak sukalah Murni cakap yang bukan-bukan macam ni. Nanti akak patah balik ke farmasi baru tahu!" Nur Naziha mengugut.

"Opps!!" Murni segera menutup mulutnya. Baru tersedar akan keceloparan diri.

"Sorry ya, kak. Janganlah merajuk. Murni tak pandai nak pujuk."

Nur Naziha memuncungkan mulutnya tetapi tetap melangkah masuk ke perut restoran yang hampir dipenuhi pengunjung. Mujurlah masih ada sebuah meja yang kosong. Seorang pelayan menghampiri mereka sebaik sahaja mereka melabuhkan punggung di atas kerusi plastik yang tersedia. Nur Naziha dan Murni masing-masing memilih untuk makan nasi lemak berlaukkan sambal sotong. Setelah mengambil pesanan mereka, pelayan itu terus berlalu meninggalkan kedua-dua orang gadis itu berbual kosong sesama sendiri.

"Bila Kak Ziha nak datang ke rumah Murni?" soal Murni ke arah Nur Naziha yang hanya berbeza usia tiga tahun dengannya itu. Telah hampir empat bulan dia mengenali Nur Naziha, namun sekalipun gadis itu belum pernah singgah ke rumahnya.

"Tunggulah. Lagipun bilalah akak ada masa nak pergi ke rumah Murni? Kita kan sibuk dengan kerja. Balik dari farmasi tupun bila matahari dah terbenam."

"Esok hari Isnin. Isnin kan cuti. Apa kata kalau esok aje akak datang ke rumah Murni? Murni jemput akak. Apa macam?"

"Nantilah akak fikirkan dulu. Entah-entah Acik Su ada rancangan lain untuk esok." Nur Naziha tidak segera memberikan persetujuannya.

"Eleh... kalau tak sudi, cakaplah terus terang. Murni tak marahlah, kak!" getus Murni. Namun suaranya sedikit meninggi menandakan dia jengkel dengan jawapan Nur Naziha.

Nur Naziha memandang tepat ke wajah Murni.

"Janganlah merajuk, dik."

"Hai, panas aje hati ni. Bilalah agaknya air yang kita pesan tu nak sampai kan, kak?"

"Kenapa tiba-tiba aje panas hati pulak? Ala... takkan marahkan akak, kut? Jangan risau, nanti bila-bila lapang akak pergilah ke rumah Murni." Nur Naziha memujuk.

Wajah Murni yang mencuka seketika tadi berubah ceria tatkala melihat pelayan restoran tiba dengan membawa pesanan mereka. Nasi lemak sambal sotong dan minuman yang dipinta diletakkan di atas meja. Murni pantas menyambar teh ais yang diletakkan di depannya lalu menyedut minuman itu dengan rakus.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jan 24, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

PLEASE... JANGAN TACKLE AKU!Where stories live. Discover now