BAB 6

81 0 0

Bab 6

HIDUP ini bukanlah a bed of roses, bisik hatinya. Kalau aku tak bahagia, tak gembira... mungkin ada orang lain di luar sana yang lebih tak bahagia dan tak gembira daripada aku, bisik hatinya. Mungkin ada orang di luar sana yang lebih menderita daripada aku. Dia bermonolog lagi.

Ini pun syukur alhamdulillah kerana aku masih mampu menyuap nasi ke mulut. Ada insan di tempat lain yang dihurung kelaparan, langsung tidak ada apa-apa yang dapat disuap ke mulut hatta sebutir nasi atau sekeping roti sekalipun. Mereka hidup merempat, kurus kering bagaikan mayat hidup.

Namun, mereka tetap juga meneruskan hidup dengan secebis harapan agar ada orang yang sanggup menghulurkan tangan untuk membantu. Walaupun telah habis segala daya untuk hidup tapi mereka harung juga, tempuh juga!

Mengenangkan 'mayat-mayat hidup' yang berlegar-legar di negara miskin yang bergolak itu, dia menjadi insaf akan dirinya. Sekurang-kurangnya dengan wang gajinya yang tidak seberapa itu, dia masih mampu membeli nasi ayam atau burger ayam spesial yang dijual di pasar malam Jalan Mok Hee Kiang. Atau, sesekali menjamu selera dengan tomyam campur serta ayam goreng kunyit di Restoran Tomyam, Kampung Suria.

Cuba bayangkan kalau diri anda tidak mampu untuk menjamah makanan selama dua tiga hari. Bagaimana agaknya? Sedangkan berpuasa di bulan Ramadan pun terasa letih litaknya, inikan lagi tidak dapat menjamah walau sekeping roti selama berhari-hari. Malah, berminggu-minggu... berbulan-bulan! Bagaimana agaknya kalau kita diuji dengan azab kelaparan?

Tetapi, mereka teruskan juga walau digelar mayat hidup. Walau terpaksa mengikis lumut yang melekap di tangga untuk kelak disuap ke mulut bagi mengurangkan kelaparan. Ketika itu tiada lagi perkataan yang boleh diungkapkan untuk hidup yang sebegitu selain daripada hidup dalam keadaan hina!

Imej sekeping foto di dada suratkhabar yang pernah dilihatnya suatu ketika dahulu kembali menghantui fikiran. Foto itu memaparkan tentang seorang kanak-kanak bertubuh kurus kering di sebuah negara miskin yang sedang leka mengikis lumut di tangga untuk dijadikan makanan.

Pun begitu, walau terpaksa hidup dalam kemelaratan dan kemiskinan tetapi mereka harung juga. Walau dikatakan orang, hidup segan mati tak mahu, mereka tempuh juga. Tidak muncul istilah mahu bunuh diri dalam kamus hidup mereka. Kalau mereka mahu bunuh diri, takkan sanggup tunggu sampai jadi 'mayat hidup' sebegitu?

Tapi dia!??? Tangannya kiam ke dada yang berdegup kencang.

Suatu ketika dahulu, dia pernah rasa keinginan untuk membunuh diri. Bukan sekali, malah dua kali perasaan itu muncul dalam dirinya. Menghantui mindanya. Merasuk kewarasannya!

Masya-ALLAH, dia yang tidak pernah diuji dengan kelaparan dan kemiskinan ini pernah rasa seperti ingin menamatkan riwayatnya sendiri. Dia yang bertubuh montok dan berdaging pejal kerana cukup makan minum ini hampir-hampir sahaja dilaknat ALLAH kerana mahu menamatkan riwayatnya sendiri, berbanding 'mayat hidup' yang masih berlegar-legar dek kekurangan zat dan kebuluran mencengkam yang menyelubungi mereka.

Begitu lemahnya iman yang melekap di dadanya. Dia menarik nafas panjang. Mungkin itu adalah ujian untuk aku, bisik hatinya.

'Adakah mereka rasa mereka telah beriman sedangkan mereka belum diuji?"

(Al-Ankabut: 29:2)

KETUKAN dan ucapan salam di muka pintu membuatkan memori silamnya yang gelap gelita itu tidak bertapak lama di ruang ingatan. Dia bersegera membuka daun pintu. Kemudian, menyisih ke tepi untuk memberi laluan kepada Puan Suzila melangkah masuk.

PLEASE... JANGAN TACKLE AKU!Where stories live. Discover now