BAB 7

80 1 0

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Bab 7

JARUM jam menuding ke angka 6.45 pagi. Jeffri yang sudah selesai menunaikan solat Subuh duduk tercongol di depan peti tv. Mujurlah hari ini Ahad, cuti. Hari untuk relaks, bersantai dan bermalas-malasan. Lagipun dia sudah menanam hajat untuk kada' waktu tidurnya yang terganggu malam tadi dek melaksanakan misi menyelamat seorang rakan daripada teruk dibelasah teman wanita sendiri. Itulah Eizhan, bisik hatinya sambil melemparkan sekilas pandangan ke arah lelaki yang sedang tertidur pulas di atas kusyen panjang di ruang tamu.

Sampai bila aku harus jadi penyelamat kau macam ni, Eiz? Bisik hatinya. Sampai bila aku harus jadi Superman untuk datang menyelamatkan kau setiap kali kau ditimpa masalah? Kalau kau tu perempuan macam Lois Lane, heroin dalam filem Superman tu, bersemangatlah sikit rasanya. Tapi kau tu 'jantan' sama spesies macam aku jugak!

Hmmph! Dia mendengus dalam hati.

Haris melangkah keluar dari bilik tidurnya tidak berapa lama kemudian. Anak muda itu tidak menegurnya sebaliknya terus ke dapur. Kedengaran bunyi kelentang-kelentung sudu berlaga dengan mug.

"Woi Jeff, kau nak Nescafe tak?" Haris menyoal dari arah dapur.

"Boleh jugak. Kalau kau rajin buatlah nasi goreng ke, maggi goreng ke. Aku dah lapar tahap gaban ni."

"Cantiklah kau punya muka!" Haris mencemuh.

Jeffri tergelak kuat.

"Ada orang kata muka aku ni iras-iras Aaron Aziz!" jawab Jeffri, tidak mahu kalah.

"Aaron Aziz?" Haris berdekah. "Siapalah gamaknya perempuan rabun yang sanggup cakap macam tu?" Ejeknya.

"Menghina nampak?"

"Kalau kau macam Aaron Aziz mestilah ramai awek kau kan? Boleh aku tahu siapa awek kau sekarang?"

"Yang kau sibuk-sibuk nak tahu ni, kenapa? Aku bukan jenis jantan yang suka tayang-tayang awek depan orang lain tau."

"Hmm... yalah tu!" tingkah Haris sambil membawa dua mug berisi Nescafe panas. Satu mug dihulurkannya ke arah Jeffri. Kemudian, dia membawa diri ke meja makan.

"Apartmen kau ni apa pun tak ada, Ris. Roti sekeping pun tarak!" gerutu Jeffri.

"Normallah tu, rumah orang bujang. Lainlah kalau aku dah ada isteri nanti. Lagipun pertengahan bulan macam ni poket dah makin kontang. Duit gaji sebahagian besarnya habis buat bayar hutang. Ni adalah sikit saki-baki yang tinggal, cukup sekadar nak beli mi segera." Haris tergelak kecil pula. Seolah-olah poket yang mengering dan duit gaji yang sudah hampir habis, satu persoalan yang lucu untuk diperkatakan.

"Gaji RM3000 lebih pun tak cukup jugak?"

"Hey kawan, ini Kuala Lumpur, kota Metropolitan. Kalau setakat RM3000 lebih sebulan manalah cukup? Dengan hutang keretanya, sewa apartmen... makan minum, belanja aweks lagi, eeiii.. tarak cukuplah, bro. Lainlah kau, menumpang rumah emak bapak! Kurang-kurangnya jimat budget sikit. Ataupun anak orang kaya macam si Eiz, ni!" ujar Haris sambil melontar pandang ke arah lelaki yang sedang menumpang tidur di atas kusyen panjangnya.

PLEASE... JANGAN TACKLE AKU!Where stories live. Discover now