Page 12

554 22 1
                                    

"Ya, Encik Baha ulu, bagaimana dengan penilaian yang telah dijalankan. Tentu semuanya bagus bukan?" Cikgu Ogy bertanya dengan senyuman. Dia yakin sekolahnya pasti mendapat markah yang tinggi.

"Bagus apanya. Pendek kata dalam bahasa pasarnya... hampeh! Hantu-hantu sekolah ini memang tidak menyeramkan langsung. Masing-masing tidak tahu akan tugas sebagai hantu. Adakah patut si pontianak cakap yang mereka mahir dalam pertunjukan udara dan si pocong pula pandai menari. Apa mereka ingat ini sekolah sarkas? Saya yang mahu buat lawatan mengejut akhirnya saya yang terkejut." Encik Baha ulu tanpa berselindung terus memaklumkan kepada Cikgu Ogy.

"Oh, Encik Baulu membuat penilaian tentang tahap keseraman rupanya. Saya ingatkan penilaian tahap kebersihan atau disiplin. Err... boleh saya tahu apa tugas sebenar menjadi hantu ya? " Cikgu Ogy bertanya.

"Kalau sudah jadi hantu mestilah tugasnya menakutkan umat manusia. Kalau tidak seram, bukan hantulah namanya. Itu badut!" Encik Baha ulu memberi penerangan. Tiba-tiba dia menjeling tajam ke arah Cikgu Ogy, "wait the minute... ewah, cakap London pula aku. Adakah cikgu benar-benar tidak tahu tugas sebagai seekor hantu?"

"Hehehe..." Cikgu Ogy hanya tersengih buatkan Encik Baha ulu menepuk dahi berulang kali.

"Patutlah hantu-hantu di Sekolah Seram Bangsar ini bebal semacam. Rupanya pengetuanya sendiri pun tidak tahu!" Encik Baha ulu menggeleng berulang kali seolah tidak percaya.

"Saya mana ada pengalaman jadi hantu sebelum ini. Jadi pengetua sekolah saya tahu. Lagi pun Pejabat Pendidikan Hantu Daerah tidak pernah pun hantar saya ke mana-mana kursus perhantuan. Sebab itulah saya tidak tahu." Cikgu Ogy mencebik seolah mahu meraih simpati.

"Baiklah, saya beri peluang kepada cikgu untuk meningkatkan tahap keseraman para hantu di Sekolah Seram Bangsar ini. Saya akan datang sekali lagi untuk membuat penilaian. Kalau tidak seram, sekolah ini akan ditutup! Dan cikgu, saya akan pindahkan ke kawasan kubur. Biar jadi penunggu kubur." Encik Baha ulu memberi amaran.

"Ku... kubur? Alahai... janganlah. Saya takut." Cikgu Ogy sudah kecut perut apabila mendengar perkataan yang sinonim dengan orang yang sudah meninggal dunia. Sudah jadi hantu pun masih takut kubur?

"Ingat, mesti jadi hantu popular yang menjadi buah mulut manusia di Sri Bangsar. Pendek kata mesti jadi seram!" Encik Baha ulu memberi peringatan sambil menggulung sampin yang semakin terlondeh. Dia kemudian terus keluar dari bilik pengetua sambil menyanyi lagu raya.

"Huh! Dia pun tidak menyeramkan, mahu hantu lain jadi seram. Boleh jalanlah!" Cikgu Ogy seolah mahu melepaskan geram selepas diberi amaran.

"Apa cikgu cakap?" Encik Baha ulu tiba-tiba muncul di muka pintu.

"Err... err... saya cakap selamat jalan. Ya, ya... selamat jalan. Hati-hati ya Encik Baha ulu." Cikgu Ogy melambai ke arah hantu raya itu. Nasib baik dia bijak menukar ayat.

"Oh, terima kasih. Ingat ya. Mesti... seram." Encik Baulu tersenyum dan secara tiba-tiba dia bertukar menjadi makhluk yang berbulu. Taringnya terseringai keluar walaupun tidak senyum. Itulah rupa sebenar hantu raya yang boleh menyamar seperti manusia. Sungguh menakutkan. Dia kemudian berlalu pergi.

Cikgu Ogy menelan air liur ketakutan.

(Preview) Hantu Mahu Popular.Kde žijí příběhy. Začni objevovat