Bab 2- Lawatan Mengejut

633 23 2
                                    

Di dalam bilik pengetua, kelihatan susuk tubuh berpakaian serba putih dengan rambut panjang menutupi separuh wajah... sedang duduk di kerusi sambil melihat skrin komputer. Dia adalah Cikgu Fauziah Ahmad Dawod, pengetua Sekolah Seram Bangsar atau lebih dikenali sebagai Cikgu Ogy. Dahulunya Cikgu Ogy adalah pengetua pertama di Sekolah Sri Bangsar. Malangnya wanita penuh karisma itu telah mati secara mengejut akibat terkena serangan jantung pada sambutan hari guru. Semenjak itulah, Cikgu Ogy menjadi pengetua di sekolah hantu.

                   "Lori hantu disaman kerana memandu laju. Nenek kebayan lancar produk baru, Sendayu Rendah. Pelesit ditangkap kerana dituduh merempit. Harga darah Ton 95 dijangka naik 20 sen minggu hadapan. Hei... macam-macam hal betul!" Cikgu Ogy sedikit mengeluh sebaik membaca gosip hangat dunia hantu dalam internet. Matanya terus menatap skrin komputer di hadapannya. Jangan ingat hantu tidak pandai guna komputer ya

                   ! Dum! Dum! Dum!

                   Kedengaran pintu bilik pengetua diketuk kuat, sampai bergegar daun pintunya. Gaya ketukan itu betul-betul seperti kisah seram dalam drama televisyen. Memang begitu agaknya cara hantu mengetuk pintu, sengaja buat kejutan hingga meluluhkan jantung!

                 "Hish... siapa yang ketuk pintu macam pegawai pencegah maksiat? Hantu mahu melayari internet pun tidak senang." Cikgu Ogy bersuara dengan wajah berkerut, seakan tidak senang dengan gangguan tersebut. 

                  Sejurus kemudian, kelihatan seekor hantu yang menyerupai lelaki... siap berbaju Melayu dengan lengkap bersampin. Di seluruh tubuhnya pula dipenuhi dengan lampu kelip-kelip, sekali pandang tidak ubah seperti pokok krismas bergerak!

                 "Siapa kamu? Apa tujuan datang ke mari? Amboi... lengkap berbaju Melayu seperti mahu menyambut hari raya!" Cikgu Ogy bertanya kepada hantu yang berdiri di hadapannya.

                  "Maaf mengganggu... nama saya Baha Ulu si hantu raya. Saya adalah Pegawai Pendidikan Hantu Daerah, datang untuk membuat penilaian di sekolah ini." Hantu itu memperkenalkan diri. Patutlah pakaian meriah semacam, rupa-rupanya hantu itu adalah spesis hantu raya... nama pun sudah seperti nama kuih raya. Kuih Baulu!

                     "Penilaian? Wah! Bagus juga. Boleh saya tahu tahap prestasi sekolah saya ini. Adakah membanggakan atau tidak. Silalah lakukannya." Cikgu Ogy tanpa banyak soal terus memberi kebenaran.


Encik Baha Ulu tanpa berlengah terus menuju ke bilik darjah untuk bertemu dengan hantu-hantu dan seterusnya melakukan penilaian.

                                                                                 **********************


(Preview) Hantu Mahu Popular.Where stories live. Discover now