BAB 15

2.2K 41 6
                                    

WANI benar-benar hairan. Entah ke mana sahajalah emak dan ayahnya hari ini. Langsung dia tidak diberitahu.

Selesai makan tengah hari tadi, dia terus masuk ke bilik untuk tidur. Perut sudah kenyang, apa lagi yang boleh dia lakukan selain daripada tidur? Mahu menolong membasuh pinggan yang bertimbun di dalam singki, sungguh matanya langsung tidak mahu bekerjasama.

Bangun sahaja dari tidur, suasana dalam rumah seperti ada kematian. Sunyi sepi. Puas dipanggil emak dan ayahnya, namun seorang pun tidak menjawab. Sudahnya, dia duduk sahaja melangut di atas tangga.

Selang beberapa ketika kemudian, dilihatnya kereta Firhad menjalar masuk ke rumah Mak Ngah Siah yang terletak kira-kira lima puluh meter daripada rumahnya. Sepupunya itu memberhentikan kereta di halaman rumah separuh batu dan separuh papan itu.

Tidak lama kemudian, kelihatan emak dan ayahnya keluar dari tempat duduk belakang.

Lima minit kemudian, sebuah kereta Proton Waja pula memasuki halaman rumah mak ngahnya itu. Itu kereta Alang Harun, bapa saudaranya. Ada apa yang mereka berkumpul beramai-ramai hari ni? Ada kenduri ke, kenapa mereka tak ajak aku pun? bisik hati Wani.

Melonjak-lonjak hati Wani mahu tahu. Sebaik sahaja kereta Alang Harun beredar pergi, laju disarungnya selipar, mahu menyusul emak dan ayahnya di sana. Sengaja dia menunggu bapa saudaranya itu beredar terlebih dahulu.

Alang Harun itu boleh tahan mulutnya. Ada sahaja yang tidak kena pada Wani di matanya. Ada sahaja yang mahu dibebel dan dinasihatinya. Huh, macamlah anak-anak dia tu bagus sangat! Sudah lama hati Wani menyimpan rasa berbuku marah dengan bapa saudara yang dianggap sebagai penyibuk dan suka mencampuri urusannya.

"Lepas ni kamu kena banyak bersabar. Dugaan masa bertunang ni lagi banyak. Darah manis kata orang tua-tua," usik Uda Leman sambil menepuk-nepuk bahu Firhad yang tidak putus senyumnya sejak dari tadi. Orang baru bertunanglah katakan...

"Bertunang? Siapa yang bertunang?" Wani yang baru tiba terus sahaja menyampuk. Hatinya sudah berdegup kencang. Terasa kering darahnya mendengar perkataan bertunang yang disebut ayahnya tadi.

"Abang Firhad kamu ni ha... Dah selamat jadi tunang orang pun hari ni," beritahu Mak Uda Gayah pula, ibu Wani.

"Abang Firhad yang bertunang? Mak saja nak main-main, kan?" tanya Wani seolah-olah tidak percaya. Tak mungkin aku tak tahu yang Abang Firhad bertunang hari ini. Tak ada pula terdengar khabar yang Abang Firhad sudah mempunyai buah hati. Mereka saja nak main-mainkan aku ni, bisik hati kecilnya.

"Tak ada kerja mak nak bergurau dengan kamu, Wani. Tak percaya, kamu tanyalah tuan punya badan ni sendiri," suruh Mak Uda Gayah.

"Ya, Wani. Abang dah selamat bertunang hari ni. Tak nak ucap tahniah pada abang ke?" usik Firhad.

Tidak dipedulikan raut wajah Wani yang jelas-jelas sudah bertukar. Mungkin Wani terlalu terkejut agaknya. Bertunang macam ribut. Langsung tak ada dalam perancangan yang dia akan bertunang hari ini.

Rancangnya mahu diadakan majlis pertunangan seminggu selepas acara peminangan selesai. Manalah tahu, hari ini tiba-tiba Haji Lutfi terus meminta diadakan sekali dengan majlis bertunang. Tidak mahu buat dua tiga kali kerja kata Haji Lutfi. Mana yang boleh dipermudahkan urusannya, kita mudahkan, kata bakal bapa mentuanya itu.

Maka, cincin yang pada asalnya dibeli untuk merisik dan meminang bertukar status kepada cincin meminang dan bertunang. Tak mengapalah, yang penting, segalanya berjalan dengan lancar, desis hati Firhad.

"Terkejut sangat ke kamu ni Wani sampai ternganga mulutnya macam tu sekali?" usik Mak Ngah Siah.

Hatinya terasa sedikit lega. Segala rasa risau yang bersarang dalam hati sebelum mereka bertolak ke rumah Haji Lutfi tadi akhirnya sudah terbang dibawa pergi. Sudah beberapa malam dia tidak dapat melelapkan mata. Bimbang kalau-kalau peminangan mereka itu akan ditolak mentah-mentah oleh Haji Lutfi.

"Abang Firhad bertunang dengan siapa?" Perlahan Wani bertanya. Rasa terkejutnya masih belum hilang sepenuhnya.

"Najla."

Mendengar sebaris nama itu disebut Firhad, Wani bukan lagi terkejut, malah sudah rasa mahu pitam dibuatnya. Najla, harapnya bukan Najla yang dia kenal. Sempat lagi Wani berdoa. Sungguh-sungguh berharap sebenarnya.

"ABANG FIRHAD bertunang dengan Najla yang mana ni, mak?"

Sampai di rumah, Wani sudah tidak sabar-sabar lagi bertanya. Dalam hati dia berharap agar bukan Najla yang dia kenal yang telah menjadi tunangan abang sepupunya itu. Abang sepupu yang dalam diam telah mencuri hatinya dan pada hari ini telah memilih orang lain sebagai suri hatinya.

"Najla mana lagi yang ada kat dalam kampung kita ni? Najla sepupu kamu itulah! Anak Anjang Imah yang kamu tak suka sangat tu. Sejak dari kecil, asal berjumpa aje, kamu mulalah nak terkam dia."

"Ha? Kenapa dia? Macamlah tak ada orang lain lagi yang boleh Abang Firhad jadikan isteri!" Dada Wani berombak marah.

Tadinya sewaktu di rumah Mak Ngah Siah, dia berasa sungguh kecewa mendengar burung yang cuba dipikatnya sudah termakan jerat yang lain. Tapi sekarang, perasaan kecewa itu lebih kepada sakit hati pula. Musuh tradisinya yang dipilih Firhad rupa-rupanya.

"Habis itu yang Si Firhad berkenan, nak buat macam mana? Ala... Najla tu elok sahaja perangainya. Cuma kadang-kadang sahaja dia buat perangai nakalnya tu. Biasalah tu, nanti dah makin banyak usianya, matanglah dia."

"Mak ni macam menyokong aje Abang Firhad kahwin dengan perempuan tu!"

"Wani, jangan menggelar orang macam tu. Perempuan, perempuan! Dia ada nama, panggil orang dengan nama yang elok-elok. Mak pun tak tahulah apa yang Wani marah sangat dengan Najla tu. Dari kecil sampailah masing-masing dah layak nak jadi mak orang, asyik nak bercakar aje. Najla tu tak ada apa-apa pun mak tengok, kamu yang lebih-lebih."

Mak Uda Gayah melambakkan rasa marahnya. Memang sejak dari dahulu dia kurang berkenan dengan perangai Wani yang melayan Najla seperti seorang musuh. Padahal Najla itu bukannya orang lain, anak saudaranya juga, sepupu Wani. Budak ni memang dah makin melampau! getus hati Mak Uda Gayah.

"Dahlah, mak! Wani ni semua salah. Kalau mak dah suka sangat dengan Najla tu, kenapa mak tak ambil aje dia tu jadi anak mak?"

"Eh, kamu fikir anak ni boleh dipilih-pilih ke? Kalau boleh, dah lama mak pilih Imam Muda Asyraf tu jadi anak mak. Sejuk hati mak ni tau!" tempelak Mak Uda Gayah.

Wani kalau bab menjawab memang juara. Tidak kira dengan siapa, asal boleh menjawab, dia akan menjawab, tidak kesah langsung walaupun yang dilawannya itu emak dan ayahnya sendiri.

"Wani nak pergi rumah Baiti. Panaslah duduk rumah ni. Macam dalam neraka."

"Astaghfirullahalazim... Bercakap dengan kamu ni, kalau tak buat darah mak naik, memang tak sah!"

Wani tidak menjawab. Langsung menonong berjalan menuju ke pintu dapur lalu menyarung seliparnya.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 09, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

TULIS NAMA ATAS BATUWhere stories live. Discover now