Bab 1

4.3K 61 1
                                    

Prolog

Padamu hai si jantung hati,

Dalam tidur kutermimpi-mimpi,

Selagi kita berjauhan,

Hati rindu tiada tertahan...

Kalau pergi Kuala Kubu,

Tulis nama atas batu,

Saban hari kumenanti waktu,

Datanglah segera kepadaku...

HAJAH MUNAH ketawa terkekeh-kekeh melihat aksi si cilik yang sedang menari di halaman rumah mengikut rentak lagu yang dimainkan juruhebah di radio. Suka benar nampaknya sebaik sahaja lagu penyanyi kegemarannya ke udara. Melihat wajah gembira dan riang cucunya itu membuatkan hati tuanya terasa begitu bahagia sekali. Itulah satu-satunya cucu yang boleh dijadikan sebagai peneman hari-hari tuanya bersama Haji Idris. Cucu yang dibelanya sejak berumur empat puluh lima hari dan kini sudah menjangkau tujuh tahun usianya.

Hajah Munah mengeluh. Begitu cepatnya masa berlalu. Entah berapa lama lagikah masa yang dipinjamkan kepadanya untuk terus bernafas di dunia ini? Tiba-tiba Hajah Munah terasa sayu mengingatkan apabila tiba saat yang telah dijanjikan oleh-Nya, dia bakal meninggalkan dunia ini dan meninggalkan cucu yang sangat dikasihinya itu.

"Mak! Pandai tak adik menari?" Suara kecil itu memecahkan suasana sayu yang baharu saja mahu singgah dalam hati tua itu.

"Pandai... Adik belajar dengan siapa menari macam tu?"

"Adik belajar sendirilah, adik kan pandai. Bukan menari aje yang adik pandai, menyanyi lagu ni pun adik dah terror tau, mak." Petah suara si kecil bercerita.

Hajah Munah tersenyum lebar. Kepala cucunya diusap-usap lembut. Mahu disalurkan rasa sayang yang tidak berbelah bahagi buat cucu nan seorang. Bukanlah dia tiada cucu-cucu yang lain, malah ramai sebenarnya cucu yang dia ada. Namun yang ramai itu tidak akan dapat menyamai cucu yang seorang ini dan dibelanya sendiri. Kasihnya pada cucu ini sudah terlalu tebal.

Biarpun ada terdengar cakap-cakap anak menantu dan cucu-cucu lain di belakangnya yang tidak berpuas hati dengan kasih sayang yang diberikan pada si kecil ini, namun, Hajah Munah hanya buat-buat pekakkan telinga sahaja. Jika bukan dia dan Haji Idris, pada siapa lagi si kecil itu mahu menumpang sayang?

"Ya? Cuba adik nyanyi, mak nak dengar."

"Ala... Kalau tak ada muzik adik tak pandailah, mak. Lagipun, kalau suara Sudirman menyanyi sekali dengan adik, baharulah adik pandai."

Ada-ada sahaja jawapan yang diberikan. Hajah Munah hanya sekadar mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Kenapa kalau pergi Kuala Kubu kita kena tulis nama atas batu, mak? Tulis nama pada buku tak boleh ke?"

Hajah Munah ketawa kecil. Lucu mendengar pertanyaan cucunya itu.

"Itu kan lagu aje, sayang... Dulu-dulu orang menulis atas batu sebab masa tu buku belum ada. Mereka lukis dan tulis benda-benda yang mereka nampak, benda-benda yang mereka suka. Orang zaman sekarang ni pula ada yang tulis nama orang yang mereka sayang pada batu. Batu kan keras, tahan lasak. Macam itu jugalah sayang mereka pada orang yang ditulis namanya pada batu tu. Sayang yang sangat dalam, tahan diuji."

"Oh... Tapi masa datuk Kinah meninggal hari tu, adik kan ikut bapak pergi ke kubur. Adik tengok batu-batu dekat situ pun penuh dengan tulisan. Bapak kata pada batu tu tertulis nama dan tarikh orang yang dah meninggal tu. Kubur tu dah jadi rumah baru pada orang yang dah meninggal macam datuk Kinah tu, kata bapak. Sebab sayang juga ke kita tulis nama pada batu yang ada dekat kubur orang yang dah meninggal tu, mak?"

TULIS NAMA ATAS BATUWhere stories live. Discover now