Bab 5

1.6K 33 0
                                    

MAK NGAH SIAH merenung anaknya yang duduk di atas sofa dengan pandangan tidak percaya. Tidak ada angin, tidak ada ribut, Firhad tiba-tiba sahaja menyebut soal kahwin hari ini. Mimpi apakah agaknya Firhad malam tadi?

"Kenapa mak tengok Firhad macam tu?" Tidak senang duduk pula Firhad dibuatnya apabila mata Mak Ngah Siah seperti mata helang yang tidak mahu melepaskan mangsanya.

"Kamu itulah, tiba-tiba aje sebut nak kahwin. Selalunya, asal mak sebut aje tentang kahwin, kamu dulu-dulu lagi mengelak. Macamlah kahwin tu sejenis penyakit berjangkit!" tempelak Mak Ngah Siah.

"Dah sampai seru Firhad, mak... Mak juga yang tak sabar-sabar nak bermenantu. Bila Firhad dah bersedia nak kahwin, mak pula buat-buat terkejut macamlah Firhad ni minta ayah baru."

"Mulalah tu nak merepek. Mak dah tua-tua macam ni baharulah kamu nak minta ayah baru. Kenapa waktu mak masih muda dan cantik, kamu tak minta? Dah tua kerepot ni baru kamu datang seru nak minta mak carikan ayah tiri buat kamu?"

Geram pula Mak Ngah Siah dengan Firhad. Suka sangat menyakat. Mak kahwin betul-betul nanti baru terlentang kamu dapat ayah baru, desis hati Mak Ngah Siah.

"Firhad tak kesahlah, mak. Dari dulu lagi Firhad dah suruh mak kahwin. Ada juga teman mak nak berbual, nak ke surau. Firhad bukannya selalu ada untuk temankan mak kat rumah ni. Lagipun, Sarah pun dah besar, dah boleh jaga diri sendiri. Tinggal setahun setengah aje lagi tempoh pengajian dia, nanti dia dah habis belajar, bekerja, berkahwin, mak lagi sunyi tinggal sorang-sorang kat rumah ni."

"Kamu dua beradik dah cukup buat mak bahagia. Mak tak perlukan orang lain dah. Kamu kahwin, beri mak cucu yang ramai, itu pun dah cukup buat mak rasa puas hati. Tak kuasa mak nak fikir soal kahwin ni, Firhad. Umur macam mak ni lebih baik fikir tentang bekalan selepas mati aje."

Rindu pula Mak Ngah Siah pada Maisarah, anak keduanya dan merupakan anak yang bongsu, adik kepada Firhad yang sedang belajar di Australia. Kali terakhir mereka bertemu adalah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. Selepas itu, hanya panggilan telefon yang menjadi penghubung antara mereka.

"Firhad tak nak mak sunyi aje..."

"Eh, kita ni bercakap tentang siapa sebenarnya ni? Kamu yang nak kahwin atau mak ni?"

Firhad ketawa melihat mata Mak Ngah Siah yang sudah buntang memandangnya.

"Okey, okey. Firhad yang nak kahwin. Mak boleh tak pinangkan dia untuk Firhad?"

"Anak mak yang nak kahwin, mestilah mak yang kena pinangkan. Takkanlah kamu nak suruh Tauke Kiong tu pula?" sindir Mak Ngah Siah.

"Sarkastik betul ayat mak tu. Yalah, yalah. Mentang-mentanglah Tauke Kiong tu kawan baik mak, asyik nama dia aje yang mak sebut, kan?"

"Mahu tak sebut! Sejak dari dulu dialah yang beli getah sekerap dengan mak tau! Kalau tak, tak berasaplah dapur rumah kita ni. Dengan dialah mak selalu tebalkan muka pinjam duit bila tak dapat menoreh berhari-hari sebab hari hujan. Dia tu walaupun berlainan bangsa, malah agama, langsung tak pernah berkira. Dengar aje kamu tak cukup duit nak bersekolah, laju aje dia hulurkan bantuan. Kamu jangan lupa jasa Tauke Kiong tu, Firhad," pesan Mak Ngah Siah. Terbayang wajah peraih berbangsa Cina yang mempunyai tahi lalat di bawah dagunya itu. Banyak sungguh jasa Tauke Kiong itu terhadapnya sekeluarga.

"Ya, mak... Firhad ingat tu. Dari kecil lagi Tauke Kiong tu selalu pesan pada Firhad, kalau dah besar nanti, jangan lupa jaga mak, jaga adik. Mak dah banyak berkorban nak besarkan Firhad dan Sarah."

"Itu dah tanggungjawab mak, Firhad. Kalau ayah kamu ada lagi tentu dia bangga tengok kamu dua beradik dah berjaya dan jaga mak dengan baik sekarang."

Wajah suaminya yang sudah meninggal lama dahulu akibat dipatuk ular ketika sedang menoreh getah, terbayang-bayang di ruang mata. Ketika ditinggalkan, umur Firhad baru menjangkau ke usia tujuh tahun, manakala Sarah pula baru masuk setahun usianya. Mujurlah ada juga ladang getah yang ditinggalkan arwah, kalau tidak, entah bagaimanalah dia mahu mencari rezeki buat menyuap mulut anak-anak yang masih kecil.

"Apa yang kita nak kena bawa masa pergi meminang tu, mak?" tanya Firhad.

"Bawa tepak sirih, cincin sebentuk buat merisik. Eh, dari tadi kamu duk suruh mak pergi meminang ni, tapi sampai sekarang kamu tak beritahu mak, anak siapa yang kamu dah berkenan ni?"

"Najla. Anak Haji Lutfi."

"Najla? Anak Haji Lutfi yang mana satu ni? Kakak pada Mila tu ke?"

"Betullah tu. Najla yang itulah."

Mak Ngah Siah melongo. Biar betul Si Firhad ni? Bukankah Najla itu muda benar budaknya?

"Kamu ni biar betul, Firhad? Budak tu sekolah pun belum habis."

"Dah habis, mak. Baru aje dapat keputusan SPM. Tengah tunggu keputusan nak menyambung pelajaran aje sekarang ni."

"Sebaya dengan Wani?" tanya Mak Ngah Siah, meminta kepastian. Wani itu anak saudaranya yang tinggal tidak jauh dari rumah mereka. Anak bongsu adiknya, Uda Leman dan Mak Uda Gayah. Yang lucunya pula, Wani bukan sahaja sepupu Firhad, malah juga merupakan sepupu kepada Najla, Hajah Karimah itu kakak kepada Mak Uda Gayah, adik iparnya.

"Ya," balas Firhad ringkas.

"Kamu jangan main-main, Firhad... Mati kita kena tetak dengan Haji Lutfi tu nanti. Pandai-pandai aje kamu nak pergi pinang anak dara dia. Belum habis belajar pula tu." Mak Ngah Siah memberi amaran. Dengan Haji Lutfi jangan nak dibuat main. Perangai garang dan tegas bekas tentera itu masih lagi terserlah. Mahu lintang-pukang mereka anak-beranak lari tidak cukup tanah silap-silap hari bulan nanti.

"Mak jangan risau. Haji Lutfi dah beri lampu hijau. Confirm!" balas Firhad yakin.

Sekali lagi mulut Mak Ngah Siah melopong menunggu dimasuki lalat.

TULIS NAMA ATAS BATUDonde viven las historias. Descúbrelo ahora