Bab 2

2.2K 32 0
                                    

PUSING ke kiri tak kena, pusing ke kanan juga sempit rasanya. Najla mengeluh panjang. Sesak sungguh dadanya. Muda-muda lagi dia sudah dibebankan dengan masalah dunia. Tangan kanan diletakkan di atas dahi. Runsing memikirkan jika apa yang dikatakan emaknya petang tadi bukanlah hanya gurauan semata-mata.

Waktu ini sesungguhnya Najla lebih rela kiranya dia menjadi antara mangsa dalam segmen 'Kan Dah Kena'. Bergurau? Macam tak mungkin. Kata emak, dia hanya menyampaikan apa yang diputuskan oleh ayah. Ayahnya mahu bergurau? Najla geleng kepala beberapa kali.

Jika benarlah Haji Lutfi mahu bergurau dengannya, sumpah, esok juga Najla akan keluarkan baki wang biasiswanya yang sudah tidak berapa sen itu. Cukuplah jika sekadar mahu membelanja seluruh ahli keluarganya makan nasi ayam goreng berempah.

"Mak hanya sampaikan apa yang dipesan ayah pada Najla. Kalau mahu sambung belajar, syaratnya Najla kena kahwin dulu. Kalau tidak, duduk sahaja di rumah, tunggu orang masuk meminang." Terngiang-ngiang suara emaknya petang tadi. Pesanan yang membuatkan dia yang biasanya pantang berjumpa bantal, seolah-olah bermusuh pula dengan sahabat baiknya itu malam ini.

"Mak, Najla baru aje habis SPM. Takkanlah dah nak kahwin? Tunggulah sampai Najla dapat ijazah, dah bekerja, baharulah Najla fikirkan tentang soal kahwin tu. Ayah ni macam tak percaya pada Najla aje. Najla pun ada perancangan hidup Najla, mak..."

"Memang ayah tak percayakan kamu pun! Kamu tu ligat. Lupa macam mana malunya ayah dan mak bila surat cinta kamu dirampas cikgu disiplin? Tebal muka mak dan ayah ni menghadap cikgu kamu tu tahu tak?" tempelak Hajah Karimah. Walaupun dia tahu yang Najla itu bukanlah liar budaknya, tapi nakalnya boleh tahan juga.

"Mak, bukan Najla yang tulis surat tu. Si Hadi anak Pak Midon yang kerja bomba tu punya kerja. Najla tak tahu apa-apa pun. Dia yang bersungguh benar nak berkenalan dengan Najla. Bukannya Najla yang terhegeh-hegeh nak bercinta dengan dia."

"Kalau kamu tak melayan tak adanya budak tu berani-berani nak tulis surat macam tu. Itu baru Si Hadi. Yang sebelum-sebelum ni? Bukan dulu kamu pun sama naik berbalas surat dengan anak Pak Kasim tu?"

Najla terdiam apabila kisah yang menyebabkan dia menangis kesakitan setiap kali kakinya terkena air diungkit Hajah Karimah. Mahu memakai stoking sekolah pun dia terasa begitu seksa. Lebih seminggu jugalah kesan berbirat pada betisnya akibat dirotan Haji Lutfi baru hilang. Seorang pun tidak berani masuk campur, apatah lagi mahu membantu.

Emaknya hanya mampu menangis melihat kesan rotan yang jelas kelihatan pada belakang betisnya yang bunting padi. Itulah padahnya bila mahu bercinta secara rahsia.

"Itu memanglah Najla yang salah. Tapi bukannya serius pun. Najla main-main aje. Lagipun kan masa tu Najla baru tingkatan tiga," bela Najla. Tetapi dalam hati, sebenarnya datang satu keseronokan dan kepuasan apabila dapat membuat ayah dan emaknya marah. Memang itulah tujuan sebenarnya walaupun tubuhnya sakit menerima habuan selepas itu.

"Yang main-main itulah yang mak dengan ayah takut. Takut perut kamu buncit tak semena-mena. Baru tingkatan tiga pun kamu dah galak semacam! Inikan pula bila dah besar panjang macam ni. Itu kamu ada di depan mata kami ni, kalau dah belajar jauh-jauh nanti, entah apa jugalah yang kamu buat kat sana. Kalaulah adik kamu tak jumpa surat tu, tak buat surat tu jadi kapal terbang, sampai sekarang pun agaknya kamu sembunyi-sembunyi jumpa anak Pak Kasim tu, kan?"

"Mak... Mana ada orang jumpa dia pun. Kalau ada pun terserempak secara tak sengaja kat surau tu."

Geram juga Najla bila balik-balik kisah itu yang diulang sebut Hajah Karimah. Bertambah sakit hati bila mengingatkan Khalis, adik bongsunya yang pandai-pandai sahaja masuk ke dalam bilik mengambil surat yang sudah berlipat kemas di dalam laci meja soleknya.

Elok pula surat itu dijadikan kapal terbang kertas dan mendarat pada kaki ayahnya yang baru sahaja pulang dari kolam udang ketika itu. Macamlah sudah tiada kertas lain dalam rumah itu yang boleh dijadikan sebagai kapal terbang kertas! Sewaktu menunduk mahu mengutip kapal terbang kertas itulah ayahnya terpandang lukisan hati yang senget-benget dilukisnya siap bersama anak panah di tengah-tengah.

Apa lagi, bergegarlah satu rumah dibuatnya bila Haji Lutfi bertempik. Dan dia dengan lancarnya membaca surat itu di hadapan ayahnya sambil matanya tidak putus-putus menjeling rotan yang berada di tangan Haji Lutfi. Hasilnya, tiga batang sebatan Haji Lutfi hadiahkan pada kaki Najla. Namun, setitik pun air matanya tidak keluar ketika itu walaupun sakitnya tidak terkira setiap kali rotan itu menjamah kulit mulusnya.

"Eloklah tu... Orang lain pergi surau nak beribadat, kamu pula pergi surau nak dekat dengan maksiat. Dah, emak tak mahu campur. Itu keputusan ayah kamu. Kalau nak sambung belajar, syaratnya kahwin dulu. Kalau tak, duduk ajelah tolong mak kat rumah ni. Ada orang masuk meminang kamu lepas tu, kalau ayah kamu terima, kahwinlah kamu." Hajah Karimah bangun lalu meninggalkan dia yang masih termangu-mangu di situ.

Huh, sama aje dua-dua pilihan tu. Bezanya, pilihan satu berkahwin dan melanjutkan pelajaran. Pilihan dua, tidak perlu melanjutkan pelajaran, boleh sahaja duduk di rumah, tapi jika ada sesiapa yang masuk meminang dan jika ayah berkenan, maka aku terpaksa juga berkahwin.

Pendek kata, pilihan pertama atau kedua, aku tetap dipaksa berkahwin. Tapi kalau difikir-fikirkan, baik aku berkahwin dan selepas itu dapat pula melanjutkan pelajaran ke tempat yang jauh. Jauh dari semua orang. Jauh dari semua yang menyakitkan hati. Suami? Pandai-pandailah kau jaga diri kau sendiri, ya? Siapa suruh kau kahwin dengan aku? Najla ketawa dalam hati.

Duduk di dalam rumah ini pun bukannya ada orang yang suka. Tengoklah, belum apa-apa dah nak halau aku keluar. Takut aku buat masalah kononnya, macamlah aku ni jahat sangat! bisik hati Najla lagi.

Tapi... Nak ajak siapa kahwin dengan aku ni? Calon pun tak ada. Nak ajak anak Pak Kasim tu kahwin dengan aku? Entah ke manalah agaknya dia pergi? Lepas Haji Lutfi mengamuk, langsung Najla tak nampak kelibatnya di surau lagi. Najla mengeluh untuk sekian kalinya.

"KAU ni kenapa, kak? Aku nak tidur pun tak senang. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Bergegar katil ni dibuatnya. Kalau kau bergerak lagi, sumpah aku tendang kau ke bawah. Aku ni nak sekolah esok." Mila yang berada di tingkatan empat tahun ini mulai bengang. Terganggu tidurnya dek Najla yang gelisah baringnya. Sekejap meniarap, sekejap menelentang, sekejap mengiring. Tidak cukup dengan itu, bantal peluknya juga menjadi mangsa rampasan Najla.

"Aku susah hati ni..."

"Kau susah hati ke, makan hati ke, yang penting sekarang ni aku nak tidur. Apa-apa hal kita cerita esok. Dah pukul tiga pagi ni kak, kau janganlah kejam sangat pada aku. Aku tahulah kau tak payah pergi sekolah dah. Tapi kesianlah sikit kat aku ni... Esok dahlah aku bertugas menjaga pagar sekolah. Kalau pengawas sendiri yang datang lambat, mana aku nak letak muka, kak..." Mila merayu di tengah-tengah hening malam itu.

Wajahnya tidaklah setebal wajah Najla yang tetap mampu tersengih-sengih setiap kali namanya dicatat dalam buku rekod disiplin. Sesungguhnya Mila rasa lega teramat bila Najla sudah menamatkan pelajarannya di sekolah.

Tidaklah dia perlu menahan hati melihat jelingan penuh sindiran yang dilemparkan oleh Ayu, rakan pengawas yang selalu bertugas bersamanya. Masakan tidak, kakak pengawas sendiri yang selalu datang lewat ke sekolah. Inilah susahnya bila adik-beradik bersekolah di sekolah yang sama. Seekor kerbau membawa lumpur, yang lain habis terpalit sama.

"Yalah-yalah. Aku tak bergerak dah. Tidur ajelah!"

Mila menarik gebarnya sehingga ke paras dada. Lega mendengar janji Najla. Esok sudahlah dia perlu bangun lebih awal ke sekolah, mahu berebut bilik air dengan Khalis lagi. Khalis tu tidak padan dengan lelaki, kalau sudah masuk ke bilik air boleh makan masa berjam-jam lamanya. Mengalahkan perempuan!

Najla tak apalah, sudah tidak perlu ke sekolah lagi. Hanya menunggu tawaran untuk memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi. Keputusan peperiksaan SPM yang diperolehi Najla pun boleh tahan cemerlangnya. Tiada masalah jika Najla mahu menyambung pengajiannya di mana-mana.

Dalam pada sesak kepala memikirkan masalah dunia dan syarat yang ditetapkan ayahnya jika dia mahu menyambung pelajaran, Najla tertidur juga. Dia hanya terjaga apabila subuh-subuh hari lagi terdengar suara Mila yang bising-bising mencari stokingnya yang hilang sebelah.

Apa-apa sahajalah budak Mila ni, stoking sendiri pun tak pandai jaga, rungut Najla. Dalam rasa mengantuk yang masih bersisa, dia gagahkan diri juga untuk bangun menunaikan tanggungjawab kepada Yang Maha Esa.

TULIS NAMA ATAS BATUUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum