Bab 6

1.7K 29 2
                                    

"KAHWIN? Seronoknya!"

Najla menjegilkan matanya kepada Yana, rakan sekelas merangkap sahabat baiknya. Memang dia tidak terkejut dengan reaksi yang ditunjukkan Yana yang sememangnya asal ditanya cikgu apakah cita-citanya bila mereka sudah dewasa nanti? Maka jawapan klise yang selalunya akan diberikan Yana 'mahu menjadi isteri solehah, suri rumah tangga dan ibu yang baik kepada anak-anak'. Geleng kepala cikgu yang mendengarnya.

"Bagi aku, baik kahwin dari sambung belajar. Belajar tinggi-tinggi pun, kalau dah kahwin suami suruh berhenti kerja, kenalah berhenti juga, kan? Baik jadi suri rumah tangga, layan suami dan didik anak-anak aje." Yana mengutarakan pendapatnya.

"Nak jadi ibu pun kau ingat tak perlu ada ilmu?" bidas Najla.

"Mak aku, mak kau, tak masuk universiti pun tapi elok aje didik anak-anak? Kalau aku jadi kau, mahu melompat kesukaan sampai tembus bumbung sekolah agaknya. Orang suruh kahwin, kahwin ajelah. Bukannya orang suruh pergi sembelih lembu pun. Kalau yang itu memang aku pun tak sanggup."

"Ops! Pembetulan. Nenek aku yang jaga aku... Mak aku baru lima enam tahun ni aje ambil alih peranan tu. Kau tu memang! Zaman dulu dengan sekarang mana sama. Sekarang budak-budak semua dah terlebih pandai. Nak jadi mak bapak budak-budak sekarang, kita kena lagi pandai dari dia orang." Najla mencebik. Geram dengan alasan mudah yang difikirkan oleh sahabat baiknya itu.

"Wah, kau bercakap macam dah ada anak lima enam orang! Mesti seronok kalau ada anak, kan?" Yana tersengih-sengih. Sudah terbayang-bayang betapa meriahnya majlis perkahwinannya nanti. Segalanya sudah ada di dalam kepala. Temanya, busana pengantinnya, malah nama bakal anak-anaknya sudah siap-siap disediakannya. Manalah tahu, kalau-kalau jodohnya datang awal nanti.

"Yang kau tersengih-sengih ni kenapa?"

"Mesti seronok, kan?"

"Apa yang seronok?" Dahi Najla sudah berkerut. Yana tak nampak ke muka dia yang tengah susah hati? Apa yang seronoknya?

"Kahwinlah."

"Gatal!"

Yana sudah terkekeh-kekeh ketawa. Katalah apa yang Najla mahu, tapi memang cita-citanya hanyalah mahu menjadi seorang isteri dan ibu yang baik. Minatnya sudah tiada untuk belajar lagi. Dia tidak mahu memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang dia tidak suka. Lagipun dia tidaklah sebijak Najla, dalam pada main-main pun, keputusan Najla walaupun tidak secemerlang pelajar terbaik sekolah, tapi masih lagi tergolong dalam sepuluh orang pelajar terbaik di sekolah mereka.

"Senyap aje rumah kau ni? Mana semua orang dah pergi?" Hairan juga Najla, biasanya Mak Cik Ruby, ibu Yana manalah pernah senyap mulutnya. Ada sahaja celoteh dan bebelannya. Bak kata Yana, emaknya itu radio aktif. Bersiaran dua puluh empat jam sehari.

"Mak ayah aku pergi rumah mak lang aku. Ada majlis cukur jambul. Sepupu aku yang kahwin tahun lepas tu dah bersalin minggu sudah. Adik-adik aku pun ikut sekali."

"Dah tu kenapa kau tak ikut?"

Pelik pula Najla. Biasanya Yana memang suka pergi ke majlis kenduri-kendara. Pantang diajak!

"Malaslah aku. Nanti sah aku yang kena basuh pinggan. Kalau tak buat nanti, orang cup anak dara pemalas, datang tahu makan aje. Baik aku duduk diam-diam kat rumah," beritahu Yana.

"Bukan ke kau paling suka pergi majlis kenduri? Macam kata kau dulu, manalah tahu kalau-kalau jodoh kau ada terselit dalam ramai-ramai tetamu yang datang masa kenduri tu, kan? Rugilah kalau kau tak pergi, kut-kut jodoh kau ada kat rumah mak lang kau hari ni," sindir Najla.

"Itulah yang kau tak tahu. Majlis cukur jambul mana ada anak teruna nak datang. Mak-mak dan nenek-nenek orang aje yang ramainya. Kalau ada yang datang pun, bapa si teruna, bukan anak teruna tu pun," balas Yana selamba.

TULIS NAMA ATAS BATUWhere stories live. Discover now