BAB 13

1.4K 28 0
                                    

NAJLA merenung hujung kakinya yang diselaputi pasir sungai yang agak kekuningan warnanya. Anak-anak ketam kelihatan berlari-lari menyelamatkan diri daripada ombak yang terhasil daripada batu yang dibalingnya ke dalam sungai. Jadi ketam lagi bagus! Tak payah fikir masalah dunia, bisik hati kecil Najla.

"Hoi! Kat sini kau rupanya. Aku ni pergi jugalah kat rumah kau. Sampai-sampai mak kau kata kau dah keluar. Mak kau ingatkan kau pergi rumah aku."

"Tahu pula kau cari aku kat sini?" tanya Najla.

Yana tidak menjawab. Matanya meliar mencari sesuatu yang boleh dijadikan alas untuk dia duduk. Bimbang jika seluar yang dipakainya basah jika terus sahaja duduk di atas pasir. Matanya mengerling Najla yang kelihatan santai sahaja duduk di atas pasir dan kelihatan hanyut dalam dunianya sendiri.

"Kau duduk atas apa tu? Tak basah ke seluar kau nanti?" tanya Yana.

"Basah apa pula? Pasir ni keringlah."

"Betul ke kering? Malas aku nak dengar ceramah mak aku kalau balik dengan seluar basah. Lebih-lebih lagi kalau pasir sungai pun melekat sama. Mahu dua hari pun tak habis dibebelnya."

"Laaa... Kenapa mak kau nak marah pula?"

"Takut kalau pasir sungai tu buat rosak mesin basuh dia. Tersumbatlah, itulah, inilah. Bernanah telinga aku ni nanti terpaksa dengar ceramah tentang cara-cara penggunaan mesin basuh dengan betul."

"Kau pun satu, rendamlah dulu baju tu sebelum masuk dalam mesin basuh. Taklah nanti mesin basuh tu tersumbat dengan pasir dan masa nak lipat baju tu satu rumah berpasir dibuatnya. Memang patut pun kalau mak kau marah. Dah tua-tua pun tak pandai nak rendam baju tu dulu kalau dah main dekat sungai?"

"Dah, aku datang cari kau bukan nak dengar kau berleter. Orang nak kahwin memang suka berleter, ya? Kira-kiranya ini sebagai latihan sebelum jadi isterilah, ya?"

Yana sudah berdekah-dekah ketawa. Najla menjeling. Budak Yana ni kalau aku gonyoh mulut dengan kulit kerang pun seronok juga. Baru tahu diam mulut tu agaknya, desis Najla dalam hati.

"Kau kalau tak merepek satu hari memang tak boleh ke?"

"Alah... Itu pun nak marah. Sensitif sangat hari ni kenapa?"

Yana menepis-nepis agas yang cuba hingga pada kakinya. Kalau digigit agas, mahu melecet kulit dibuatnya dek menggaru tak sudah-sudah. Agas kalau dah menggigit, gatalnya boleh kalahkan gigitan nyamuk.

"Hurm... Hati aku rasa tak seronok. Rasa semacam aje."

"Kenapa pula tak seronok? Eh, sebelum aku lupa, aku nak tanya kau ni, dah tahu ke belum siapa bakal suami kau tu?"

"Dah," balas Najla sepatah. Mahu bercakap banyak-banyak pun rasa malas bila mengingatkan siapa bakal suaminya nanti.

"Siapa?" Laju Yana bertanya. Dia pula yang lebih-lebih rasa terujanya.

"Firhad."

"Firhad yang mana? Takkanlah Firhad si penyanyi tu..."

"Kau ni kan, ada juga aku sumbat pasir ni masuk dalam mulut. Ada pula Firhad penyanyi tu. Kalau Firhad yang tu, aku aje yang kenal dia, dia sah-sah nama aku pun tak pernah dengar. Lagipun suami orang tu, kau jangan nak buat fasal."

Yana ketawa terkekeh-kekeh. Lucu melihat Najla yang mengacah mahu mengambil pasir sungai buat menutup mulutnya.

"Ayat aku tu tadi kan ada perkataan takkanlah... Maknanya tak mungkinlah kau dengan Firhad, si penyanyi tu. Okey, Firhad yang mana pula ni? Aku kenal ke?"

"Ada ramai ke orang nama Firhad dalam kampung kita ni?" tanya Najla semula.

"Firhad tu orang kampung kita?"

"Habis tu kau ingat orang Venezuela?"

"Manalah tahu taste Haji Lutfi ni international... Firhad, Firhad, yang mana satu, ya?"

Yana mendongakkan kepalanya ke atas manakala tangan kanannya menompang dagu. Tekun dan bersungguh benar nampaknya memikirkan siapa pemilik nama Firhad dalam Kampung Limau Daun ini.

"Mungkinkah Firhad tu...." Kepalanya terus menoleh memandang Najla yang tidak berkutik. Ralit bermain pasir yang sudah menutup sebahagian daripada kakinya.

"Firhad yang ada ladang ternakan ayam tu ke, Najla?" Laju Yana bertanya. Mahukan kepastian.

"Entah. Yang tu aku tak pasti. Yang aku tahu kerjanya jual ayam. Entah betul ke tidak jual ayam pun aku tak tahu. Entah-entah jual orang!"

"Haish, kau ni! Kalau ya pun marah sekalipun janganlah cakap yang bukan-bukan. Abang Firhad tu baik orangnya."

"Mana kau tahu dia tu baik? Kau pernah kahwin dengan dia ke?" bidas Najla. Yana bukan boleh diambil kira cakap-cakapnya.

"Kalau Abang Firhad anak Mak Ngah Siah tu, memang baik orangnya. Aku taklah pernah kahwin dengan dia. Kalau aku ni pernah kahwin dengan dia, jangan harap aku nak bagi dia kahwin dengan kau! Jangan kata dengan kau, dengan mana-mana perempuan pun aku tak benarkan. Suami aku tu nanti hak milik eksklusif aku sahaja okey! Tapi kalau kau tanya orang kampung ni pun, semua orang akan kata yang Abang Firhad tu baik orangnya. Tengok sahajalah macam mana dia jaga mak dia tu. Rajin pula ke surau. Ringan tulang kalau ada kenduri-kendara."

"Habis tu, orang lain tak jaga mak mereka baik-baik ke? Tak pergi ke surau? Tak datang menolong masa orang kampung buat kenduri-kendara?"

"Kau ni... Abang Firhad ni lain, Najla. Dia sanggup tolak tawaran kerja yang lumayan gajinya semata-mata sebab tak mahu tinggalkan emaknya. Itu yang dia buka ladang ternakan ayam kat kampung ni. Bukan itu aje kau tau, pantang dengar orang susah, semuanya dia bantu. Pendek kata pemurah orangnya. Rupa dia ada iras Faizal Tahir pula tu kau tau. Pendek kata lengkap pakejnya. Untung kau, Najla."

"Kau ni mentang-mentanglah aku ni peminat tegar Faizal Tahir, sengajalah tu nak ejek aku. Dia tolong orang susah tapi beritahu pada semua orang kampung sebab nak menunjuk yang dia tu buat benda baik? Huh, bagus apa macam tu. Riak, takbur."

"Benda yang baik elok kalau kita uar-uarkan. Boleh dijadikan contoh. Lagipun bukan dia yang beritahu, orang yang ditolongnya tu yang cakap. Yang kau benci sangat dengan dia ni kenapa? Dengar pada cakap kau tadi, kenal dia pun tak! Alih-alih semacam aje ayat menyampah tak ingat kau ni."

"Sebab dialah aku kena kahwin tak fasal-fasal. Cuba dia tak wujud, sah aku tak kena kahwin."

"Tak. Aku rasa salah ayat kau tu. Patutnya ayat tu berbunyi, 'kalau dia tak wujud entah dengan siapalah kau bakal dikahwinkan.' Tak bersyukur betul kau ni tau! Kalaulah aku yang dipinang Abang Firhad tu, aku tak fikir panjang dah, memang aku terima. Dahlah handsome, baik pula tu. Kau ingat senang ke nak cari lelaki macam tu sekarang ni?" tempelak Yana.

Geram pula dia dengan Najla yang seolah-olah menidakkan ketentuan takdir.

"Sakit hati aku ni, Yana. Pandai-pandai aje mereka buat keputusan bagi pihak aku. Dahlah mereka tak jaga aku dari kecil. Bila dah besar panjang macam ni, cepat-cepat mereka nak kahwinkan aku. Macam dah benci sangat tengok muka aku dalam rumah tu. Dah tak sabar-sabar nak halau aku keluar tinggalkan rumah tu. Padahal aku ni baru lepas SPM kut. Keputusan UPU pun belum keluar, dah sibuk carikan suami untuk aku. Aku pun ada cita-cita juga. Kalau benci pada aku pun, at least tunggulah aku dapat keputusan sambung belajar tu. Aku pun tak ingin nak menumpang rumah tu lama-lama. Bukan orang suka pun..."

Suara Najla mula kedengaran sebak. Hidungnya sudah mulai merah. Perasaan yang ditahannya selama beberapa hari ini sungguh menyakitkan. Hatinya seolah-olah ditusuk duri. Pedih.

"Astaghfirullahalazim... Najla! Jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak? Mak ayah mana yang tak sayangkan anak? Mesti mereka dah timbang baik buruknya sebelum buat keputusan ni."

"Kak Shidah boleh pula pilih jodoh sendiri. Kenapa aku tak boleh? Jodoh aku layak dengan penjual ayam aje ke?"

Najla sudah teresak-esak menangis. Akhirnya air mata yang ditahan sejak seminggu lalu keluar juga. Yana menarik nafas panjang sebelum memaut tubuh Najla rapat kepadanya. Bahu Najla digosoknya perlahan.

Dia tahu hati itu sudah terlalu dalam lukanya sehinggakan Najla sudah tidak nampak walau selaut pun kasih sayang yang Hajah Karimah dan Haji Lutfi cuba hulurkan kepadanya.

TULIS NAMA ATAS BATUWhere stories live. Discover now