BAB 14

1.5K 31 0
                                    

MAK NGAH SIAH memandang tepak sirih yang sudah disiapkan di dalam bekas tembaga yang sudah berhias indah. Lengkap dengan dua bentuk cincin. Kata Firhad, sebentuk buat merisik dan sebentuk lagi untuk meminang. Mak Ngah Siah ikutkan sahaja kalau itu sudah kehendak dan permintaan Firhad.

"Emak tengok apa tu?" Firhad yang baharu sahaja keluar daripada bilik bertanya. Ikatan kain pelekat pada pinggang yang agak longgar diketatkannya.

"Tengok bekas cincin dengan tepak sirih yang nak dibawa masa meminang esok. Kamu tu kenapa tak tidur lagi? Dah lewat ni."

"Mata ni tak terasa nak tidur lagi, mak. Itu yang keluar semula, nak mencari makanan yang boleh dimakan. Lapar pula rasanya."

"Kamu nak makan apa?"

Kasihan pula Mak Ngah Siah melihat Firhad menggosok-gosok perutnya. Lapar sangatlah tu agaknya, desis hatinya.

"Tak mahulah makanan yang berat-berat, mak. Roti cecah air Milo pun okey dah."

"Mak panaskan roti canai segera, cecah dengan kuah kari petang tadi, mahu?"

Firhad berkira-kira. Roti canai? Bukan makanan berat ke tu?

"Dah, tak payah fikir-fikir. Takut sangat badan tu naik! Mak pergi panaskan sekarang. Kamu jangan tak makan pula nanti. Mak piat telinga kamu kalau kamu tak makan."

Firhad tersengih mendengar bebelan emaknya yang dalam leteran terkandung kasih sayang yang bukan kepalang.Matanya kembali menatap bekas cincin yang sudah berada dalam kotal baldu berwarna merah. Esok Najla akan dipinangnya.

Hatinya terasa sedikit berdebar-debar walaupun Haji Lutfi sudah memberikan lampu hijau. Bimbang juga dibuatnya kalau-kalau Najla mengatakan tidak setuju di hadapan emaknya esok.

Manalah mahu diletakkan muka mereka sekeluarga nanti. Firhad menarik nafas panjang. Berharap agar perkara yang menjadi gangguan dalam fikirannya selama seminggu dua ini tidak menjadi kenyataan.

SILING rumah hampir tembus direnung Najla. Sepasang cicak yang sedang asyik berkasih-kasihan menambahkan rasa sakit hati. Orang dahlah tengah sedih, boleh tak kalau nak bercinta tu pergi main jauh-jauh. Ini depan aku jugalah yang dia nak berdating. Najla mengomel sendiri.

Matanya kembali melihat cincin belah rotan yang tersarung pada jari manisnya. Sah! Dia kini bergelar tunangan kepada Muhammad Firhad bin Zawawi. Najla terasa loya tiba-tiba. Mual mengenangkan dia bakal bergelar isteri kepada pengusaha ternakan ayam yang menjadi kebanggaan dan sebut-sebutan orang kampung.

Ayah memang tak sayangkan aku! Tidak semena-mena terasa ada air hangat yang mula bertakung memenuhi kolam matanya. Najla cepat-cepat mengambil bantal untuk menekup mukanya. Dia memang tidak suka menangis. Paling benci jika ada orang yang nampak dia menangis.

Sejak dari dulu, Najla dapat merasakan betapa kasih sayang Haji Lutfi terhadapnya tidak sama seperti yang diterima oleh adik-beradiknya yang lain. Dengan abang, kakak dan adik-adiknya boleh pula Haji Lutfi bergurau senda. Dengan Najla jangan katakan bergurau, mahu bercakap pun payah.

Kadang-kadang ada juga Najla terfikir yang dia mungkin anak angkat kepada pasangan Haji Lutfi dan Hajah Karimah, tetapi terang dan juga bersuluh namanya di dalam surat beranak tertulis Najla binti Lutfi. Huh, beri nama aku pun macam nak tak nak! Nur tak ada, Siti jauh sekali.

Tengok sahajalah nama Kak Shidah dan Mila. Nama bukan main cantik terletak. Rasyidah Insyirah dan Suri Kamila. Aku ni cuma Najla binti Lutfi. Sekali lagi Najla mengulang sebut namanya sendiri. Kecil sungguh rasa hati Najla, seolah-olah namanya diletak dalam keadaan tergesa-gesa sahaja.

"Kak, kau buat apa?"

Tiba-tiba wajah Mila tersembul di depan pintu bilik. Tiada ketukan mahu pun salam. Dalam rumah ini jangan nak buat hairan. Memang semua orang pun macam tu. Main redah sahaja. Tidak fikirkan privacy orang langsung! bisik hati Najla.

TULIS NAMA ATAS BATUWhere stories live. Discover now