Bab 4

1.7K 32 0
                                    

"AWAL bangun?" perli Hajah Karimah.

Tidak tahulah apa nak jadi dengan anak daranya yang seorang ini. Masak malas, belajar malas, tahunya main-main sahaja. Mujurlah Najla itu dikurniakan hati yang terang. Dalam pada culas belajar pun, setiap kali peperiksaan, keputusan Najla tidak pernah menghampakan.

Cumanya, menjaga Najla tidak semudah anak-anaknya yang lain. Tidak seperti pengalaman menjaga abang dan kakaknya yang lepas-lepas. Najla memang lain dari yang lain. Tapi Hajah Karimah sedar, lain Najla itu kerana salah dia dan Haji Lutfi juga. Lain Najla itu kerana protes. Mahu ditegur lebih-lebih, bimbang makin menjadi-jadi perangai memberontak Najla itu nanti. Lagipun sudah terlalu banyak hutangnya dengan anak ini.

"Sarapan apa pagi ni, mak?" tanya Najla. Tidak dihiraukan pertanyaan ibunya yang jelas-jelas mahu menyindirnya.

"Itu ajelah yang kamu tahu. Bangun tidur, makan. Lepas makan, tengok TV. Lepas tengok TV, membuta. Cubalah ubah perangai tu sikit, Najla. Kamu tu dah besar, tak lama lagi nak jadi isteri orang pun," nasihat Hajah Karimah. Rusuh hatinya dengan anak dara yang seorang ini.

"Najla baru nak masuk lapan belas tahunlah, mak. Bawah umur lagi kalau nak kahwin." Najla sudah terkekeh-kekeh ketawa. Sengaja mahu mempermain-mainkan emaknya yang nampak serius sahaja pagi ini.

"Hurm... Bawah umurlah sangat! Mak dulu umur enam belas tahun dah kahwin dengan ayah kamu. Setahun lepas tu, terus dapat Abang Zaki kamu. Dua tahun lepas tu, dapat Kak Shidah. Tunggu nak dapat kamu tu yang lama sikit. Dekat sepuluh tahun beza umur kamu dengan Kak Shidah kamu tu," cerita Hajah Karimah beria-ia.

Hajah Karimah mula terkenangkan kisah lama. Selepas mendapat Rashidah, fikirnya rezekinya hanya setakat dua orang anak itu sahaja. Puas menunggu, puas berubat ke sana sini, namun tetap juga tiada tanda-tanda Zaki dan Rashidah bakal mendapat adik. Siapa tahu, selepas lapan tahun, akhirnya dia disahkan hamil. Gembiranya tidak terkata. Itulah Najla yang lama ditunggu-tunggu kehadirannya oleh mereka sekeluarga.

Namun perancangan Allah mengatasi segalanya. Biarpun Najla itu merupakan anak yang sangat-sangat mereka nanti-nantikan, tetapi anak itu akhirnya tidak dapat mereka jaga dan belai sendiri.

Sejak dari kecil Najla itu membesar dalam jagaan Hajah Munah dan Haji Idris, ibu dan bapa kandung Hajah Karimah. Setiap kali mengenang betapa ruginya masa bertahun-tahun yang tidak dihabiskan dengan Najla, hati Hajah Karimah seolah-olah disagat. Pedihnya hanya Allah yang tahu.

"Tunggu lama nak dapat Najla pun, mak dengan ayah tinggalkan Najla juga, kan? Tak mahu juga jaga Najla ni. Entah-entah mak dengan ayah memang tak mahukan Najla pun masa tu..." Pedih hati Najla waktu mengeluarkan ayat tersebut. Namun, itulah kenyataannya. Dia ditinggalkan di kampung untuk dijaga oleh datuk dan neneknya seawal usianya empat puluh lima hari. Air susu emaknya pun tidak puas diminum, dia sudah ditinggalkan tanpa rasa belas.

"Najla, kan mak dah..."

"Mak, betul ke apa yang mak cakap semalam?" Pantas Najla memotong kata-kata Hajah Karimah. Balik-balik dia akan mendengar ayat yang sama. Hajah Karimah dan Haji Lutfi terpaksa ketika itu. Bila ditanya apa yang menyebabkan keterpaksaan itu, Hajah Karimah akan terus diam seribu bahasa. Hurm...

"Cakap yang mana?" Hajah Karimah menghela nafas panjang. Najla sengaja mahu mengelak dari mendengar kata-katanya.

"Yang itulah. Mak bergurau aje kan semalam tu?"

"Yang semalam tu yang mana? Mak tak fahamlah soalan kamu ni. Nak tanya apa-apa biar jelas, baru orang tua macam mak ni boleh faham. Tak payah berkias-kias. Dah tua-tua ni otak mak lambat nak tangkap bahasa-bahasa kiasan ni." Saja Hajah Karimah mahu menduga hati Najla. Bukan dia tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan pertanyaan anak perempuannya itu.

"Ala... Yang mak kata orang kena kahwin dulu kalau nak sambung belajar tu la. Mak bergurau saja kan dengan Najla?"

Tolonglah mak, berguraulah buat kali ini. Najla merayu dalam hati.

"Tak ada kerja mak nak bergurau dengan kamu, Najla. Kalau tak percaya, pergilah tanya ayah kamu sendiri. Calonnya pun dah ada."

Najla yang baru meneguk air teh yang masih berasap itu tersedak. Cepat-cepat dia menyapu sekeliling mulutnya yang comot dek air yang tersembur keluar dari mulutnya.

"Mak!"

"Tak payahlah nak panggil mak, mak. Mak bukannya boleh buat apa pun. Apa-apa, kamu pergi cakap sendiri dengan ayah kamu."

"Kak Shidah dulu tak ada pun ayah buat syarat macam ni? Dia jumpa Abang Kimi pun masa sama-sama belajar di universiti. Najla pun nak macam tu, mak..." Najla cuba merayu. Betul-betul jadi mak ayah aku pun baru lima enam tahun ini, dah nak buat keputusan bagi pihak aku? Tolonglah... Najla mengeluh dalam hati.

"Itu Kak Shidah kamu. Kamu tak tengok ke perangai Kak Shidah dengan kamu tu macam langit dengan bumi? Ayah dan mak langsung tak risau nak lepaskan Kak Shidah pergi belajar jauh-jauh. Kamu yang ada dekat depan mata ni pun dah cukup buat kami bimbang, inikan pula nak lepaskan kamu pergi belajar jauh-jauh tanpa pengawasan sesiapa? Huh, tidaklah jawabnya!"

"Yalah... Mestilah ada bezanya, mak. Kak Shidah tu dari kecil mak dengan ayah yang jaga, yang pelihara. Najla ni bila ya baru mak dengan ayah jaga? Najla dah nak masuk umur sembilan tahun baru Najla tahu Najla ni ada mak dengan ayah yang lain rupanya. Mati-mati dulu Najla ingat Hajah Munah dan Haji Idris tu emak dan bapak Najla. Rupa-rupanya mereka tu datuk dan nenek Najla. Masa emak dan bapak dah meninggal waktu Najla umur dua belas tahun, baharulah mak dengan ayah kandung Najla ni nak munculkan diri dan ambil alih tanggungjawab tu. Jadi, memang patutlah kalau Najla dengan Kak Shidah tu macam langit dan bumi bezanya. Dah namanya orang yang menjaga dan mendidiknya pun lain-lain..." balas Najla.

Geram juga hati dibuatnya. Hajah Karimah tidak habis-habis mahu membandingkan dirinya dengan Kak Shidah, kakak keduanya yang sekarang ini sudah pun berkahwin dan menetap di Perak.

Hajah Karimah terdiam. Mahu membalas, segala kata-katanya Najla itu sememangnya benar belaka. Dan, biarlah Najla meluahkan segala rasa sakit yang terpendam sejak sekian lama. Lagi pula, dia tidak mahu Najla menyimpan segala rasa sedih dan sakit itu lagi. Biarlah segala-galanya diluahkan dan dilepaskan Najla agar selepas ini tiada lagi perasaan dendam dan marah yang disimpan Najla buat dia dan Haji Lutfi.

"Mak, Najla janji tak akan buat mak atau ayah risau. Najla janji akan jaga diri Najla baik-baik, jaga nama mak dan ayah. Bolehlah mak, ya? Najla tak payah kahwinlah, ya?"

Melihat Hajah Karimah yang diam, Najla menyambung kata. Akan dirayunya sehingga Hajah Karimah dan Haji Lutfi mengubah keputusan mereka.

"Hurm... Mak tak boleh buat apa. Calonnya dah ada, Najla. Kahwin, kemudian sambung belajar. Atau, duduk sahaja dekat rumah, tunggu ada orang masuk meminang. Itu sahaja pilihan yang kamu ada. Sebarang rayuan tidak akan dilayan! Itu kata ayah kamu. Mak hanya menyampaikannya sahaja."

Bukannya Hajah Karimah tidak kasihankan Najla. Tetapi anak ini sememangnya selalu saja membuat hati mereka suami isteri tidak keruan. Najla yang nakal, Najla yang suka mencuba, Najla yang pantang dicabar. Hajah Karimah faham tujuan suaminya membuat syarat begitu kepada Najla.

Najla perlu diberikan tanggungjawab, barulah anak itu akan matang dan pandai menilai. Dan Najla juga memerlukan seseorang yang boleh membimbing dan sabar menghadapi seribu macam masalah dan kerenah yang bakal ditimbulkannya. Jika calang-calang orang yang berkahwin dengan Najla, mungkin tidak sampai sebulan, anaknya itu sudah bergelar janda.

TULIS NAMA ATAS BATUWhere stories live. Discover now