BAB 11

1.4K 29 0
                                    

"MAK, kenapa semua orang kata Lala ni cucu mak, bukannya anak mak? Lala ada mak yang lain ke?"

Lala. Itulah panggilan manja yang Hajah Munah dan Haji Idris sering digunakan buat Najla. Hajah Munah mengusap perlahan rambut cucunya yang hitam berkilat.

"Mak Lala tinggal jauh, tak boleh selalu nak balik tengok Lala. Mak yang jaga Lala sekarang. Maklah emak Lala, maklah nenek Lala."

"Bapak?" Mulut kecil itu bertanya lagi.

"Bapak pun sama. Itulah datuk, itulah ayah Lala. Kan mak dengan ayah Lala tak ada dekat sini."

"Tapi Wani selalu marah bila Lala panggil mak ni mak. Dia suruh Lala panggil mak ni nenek. Lala tak nak! Lala nak ada mak, nak panggil mak macam orang lain."

Hajah Munah menarik nafas panjang. Wani, cucunya yang seorang lagi. Sebaya usianya dengan Najla. Sejak dari kecil mereka memang tidak serasi. Ada sahaja salah Najla pada mata Wani. Mungkin Wani cemburu agaknya melihat seluruh kasih dia dan Haji Idris tertumpah buat Najla.

"Biarkanlah Wani tu. Yang penting, mak ni mak Lala, bapak tu ayah Lala. Lala tahu kan mak dengan bapak sayangkan Lala?"

Najla mengangguk.

"Kenapa mak dengan ayah Lala tak suka pada Lala?"

"Hish, apa cakap macam tu. Tak baik! Mak dengan ayah Lala suka dan sayang sangat pada Lala."

"Kalau sayang, kenapa mereka tak jaga Lala macam mak dengan ayah orang lain? Kenapa mereka tinggalkan Lala dengan mak, dengan bapak? Kenapa mereka tak bawa Lala tinggal bersama mereka?"

Bertalu-talu soalan diajukan oleh Najla. Hajah Munah mengeluh. Bergenang air matanya mendengar pertanyaan demi pertanyaan anak kecil itu.

"Sayang, mak dengan ayah Lala tak dapat nak jaga Lala. Mereka tinggal jauh. Susah kalau mereka nak bawa Lala duduk sama-sama dengan mereka. Lala tak suka ke tinggal dengan mak, dengan bapak?"

"Suka!" Laju Najla menjawab.

Memang tiada kekurangan langsung dari segi kasih sayang yang diberikan oleh datuk dan neneknya itu. Cuma, sebagai anak kecil yang sudah menginjak usianya ke angka sembilan tahun pada tahun ini, sedikit sebanyak hatinya terusik melihat orang lain dihantar dan diambil oleh ibu bapa masing-masing di sekolah. Menghabiskan setiap hari bersama.

Tetapi dia? Dunianya hanyalah Hajah Munah dan juga Haji Idris. Adik-beradik? Jauh sekali. Memang dia tahu yang dia mempunyai seorang abang dan seorang kakak, malah dia juga punya dua orang adik, tetapi hidupnya langsung tidak serupa orang lain yang mempunyai ibu bapa dan juga adik-beradik.

Dan sehingga kini dia tidak tahu mengapa dia sahaja yang ditinggalkan di kampung untuk dijaga Hajah Munah dan Haji Idris, manakala adik-beradiknya yang lain boleh pula tinggal bersama dengan kedua-dua ibu bapa mereka.

NAJLA mengesat air mata yang mula mengalir. Sejak akhir-akhir ini semakin kerap kenangan yang pernah dikecapinya bersama arwah Hajah Munah dan Haji Idris bermain di matanya. Sungguh! Dia terlalu rindu pada kedua-duanya.

Sudah hampir enam tahun kedua-duanya pergi meninggalkan dia buat selama-lamanya. Dan sejak itulah Haji Lutfi dan Hajah Karimah pulang dan mula kembali berperanan seperti ibu dan ayah buatnya. Namun, bukan mudah bagi Najla untuk melupakan segalanya. Sudah terlalu lama dia ditinggalkan, sudah terlalu lama dia berasa keseorangan dan tidak dipedulikan.

Kini, dia dipaksa untuk menerima keputusan yang sudah dibuat untuknya. Adilkah itu? Kedua-dua orang tuanya membuat keputusan yang sebegitu penting dalam hidupnya tanpa merujuk ataupun bertanya kepadanya terlebih dahulu. Terasa seolah-olah dirinya hanyalah boneka kepada kedua-dua orang tuanya sendiri.

TULIS NAMA ATAS BATUWhere stories live. Discover now