Bab 9

1.4K 27 0
                                    

"MILA, kau kenal tak sesiapa yang bernama Firhad dalam kampung ni?"

Mila yang sedang menyiapkan kerja sekolah menoleh. Salam tak ada, apa tak ada, tahunya terjah aje. Radang juga hati Mila dengan perangai tak semenggah kakaknya itu tapi dia hanya mampu marah dalam hati saja, nanti kalau diluahkan, mahu kepalanya disekeh Najla.

"Dah kau kenapa? Buka agensi penyiasatan mencari orang hilang pula? Bosan duduk di rumahlah tu. Itulah, apa kata sementara menunggu keputusan UPU keluar, kakak pergi cari kerja sambilan. Taklah bosan duduk melangut aje kat rumah."

"Bukanlah! Jawab ajelah apa yang akak tanya ni. Banyak pula soalan dia."

"Firhad, Firhad, Firhad, macam pernah dengar... Tapi di mana dan siapa, ya?" Mila menongkat dagu. Cuba mengingati jika dia ada mengenali sesiapa yang bernama Firhad dalam kampung mereka.

"Erm... Anak Mak Ngah Siah kut. Abang Firhad yang ada ladang ternakan ayam dan jual ayam siap proses kat pasar tu ke? Dalam kampung ni, rasanya dia ajelah yang nama Firhad tu. Selain tu, tak pernah dengar pula," beritahu Mila setelah beberapa ketika.

"Hah? Kau biar betul?" Najla sudah ternganga. Takkanlah Haji Lutfi pilih penjual ayam untuk jadi calon suami dia?

"Kalau Firhad kat kampung kita ni, memang dia ajelah. Mana ada orang lain lagi. Kalau kau tanya yang nama Sudin, ramailah. Sudin Jambul ada, Sudin Pomen ada, Sudin Roti Canai ada, Sudin..."

"Dah, sudah! Banyak pula Sudinnya. Orang tanya Firhad, bukan Samsudin!" Jengkel pula Najla dibuatnya. Dari petang tadi, tak habis-habis lagi dia mendengar nama Sudin. Cukup empat puluh kali disebut, mahu ada jodoh juga dia dengan Sudin tu nanti. Mak! Aku tak rela.

"Inilah manusia. Mudah lupa daratan. Dia yang tanya kita, dah kita beritahu, kita pula yang dimarahnya. Dunia, dunia..." Mila menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Yalah. Terima kasih, adikku Mila." Meleret sahaja suara Najla. Malas mahu melayan rajuk Mila.

"Tak ikhlas!"

"Eh, mana kau tahu akak ikhlas ke tak? Ikhlas tu bukan kita yang nilai tau, tapi Allah. Kau lupa ke, bukan ke kau juga yang cakap macam tu dulu? Inilah manusia, mudah sangat lupa."

Mila mengetap bibir. Najla mengulang semula kata-kata yang pernah dia ucapkan pada Najla sedikit masa dulu. Hantu punya kakak!

"Ya..." Rendah sahaja suara Mila membalas. Mahu membalas lebih-lebih, nanti dia juga akan ditempelak Najla semula.

"Firhad yang jual ayam? Kat pasar? Kenapa aku tak pernah jumpa dia?" Najla mengetuk-ngetuk bibirnya dengan hujung jari.

"Kau tu bila masanya pergi pasar? Setahun sekali pun payah. Macam manalah kau nak jumpa dia? Kalau kau pergi pun, bukannya kau kesah pun pada orang sekeliling, sibuk angkat seluar, tengok selipar, takut sangat basah kena air kat pasar tu. Dahlah tu, asyik tekup hidung tak habis-habis."

"Busuklah kat pasar tu!"

"Dah namanya pun pasar, padanlah kalau baunya semacam. Eee... Apa kau ingat bau kat pasar tu wangi macam bau bila kau masuk butik Body Shop ke?" bidas Mila.

Najla dari dulu, perangai mengada-adanya tak habis-habis. Itu busuk, ini tak sedap, itu tak seronok. Macamlah dia tu tuan puteri. Tak sedar duduk kat ceruk kampung aje pun.

"Yalah, yalah. Dah, siapkan kerja sekolah kau tu. Esok kena marah dengan cikgu sebab tak siap kerja rumah, jangan nak salahkan aku pula."

"Aku bukan macam kau. Yang asyik tak siap kerja sekolah tu kau, bukan aku."

"Yalah, kau kan pelajar contoh."

"Tahu pun..." Mila mengekek ketawa. Seronok dapat menyakat Najla yang tua hanya dua tahun sahaja darinya. Sebab itulah dia dan Najla lebih senang berbahasa kau dan aku sahaja. Bukanlah itu bermakna dia tidak menghormati Najla.

Najla tetap kakaknya yang harus dihormati. Namun mereka lebih selesa berbual seperti seorang kawan. Tapi bahasa itu hanya digunakan apabila mereka berdua sahaja, jika di depan Haji Lutfi, lain pula bahasanya. Mahu bernanah telinga masing-masing mendengar ceramah Haji Lutfi nanti.

Najla berbaring di atas katil. Kepalanya ligat cuba meneka gambaran wajah sebenar lelaki yang bernama Firhad. Jual ayam? Aduh, mak dengan ayah memang sengaja nak kenakan aku agaknya, bisik hati kecil Najla. Tanpa sedar, tubir matanya mula terasa hangat. Cepat-cepat Najla menyapu matanya. Tidak mahu Mila sedar ada orang yang sedang rawan hatinya malam ini.

TULIS NAMA ATAS BATUWhere stories live. Discover now