Apa ya dalam kotak ni? Kenapa tiba-tiba dia bagi hadiah? Takkan sayang kut pada si 'comel' ni? Mengikut teori Sophea la...

Jantung Suria berdebar.

BERHATI-HATI Gary membuka pembalut hadiah berwarna merah itu. Tak boleh terkoyak. Amaran daripada tuan puteri. Haruslah si puteri sayang walaupun hanya sekeping kertas pembungkus hadiah sebab itu hadiah dari kakak ustazah yang menjadi idola dia kini.

Tuan puteri di hadapan dikerling. Tak berkerdip mata memerhati tangannya. Gary senyum. Buka sendiri tak mahu, suruh orang buat banyak pula songehnya. Kecil-kecil dah tunjuk sifat mem besar.

"Papa... Be careful. Jangan kasi koyak..."

"I know," jawab Gary bersahaja. Tangan terus membuat kerja. Banyak betul ustazah ni letak sellotape. Nak buli dia ke apa?

Banyak kali dah tuan punya hadiah berpesan. Nak buat apa entah dengan pembalut ni. Biasanya jika hadiah yang diberi Gary, taklah sampai nak simpan pembalut. Cantik macam mana pun tetap Sophea buka dengan cepat dan ganas. Kotak hadiah yang mahal-mahal tu pun Sophea tak begitu endah. Sophea tak sabar nak tengok isi di dalamnya sahaja. Mana dia kesah hal-hal pembalut.

Lihatlah betapa kuatnya pengaruh si kakak ustazah. Apa-apa saja yang berkaitan si kakak ustazah mulut jujur tu, sangat-sangat memberi kesan kepada Sophea. Mujur setakat ni tak ada pengaruh yang buruk. Jika tak, mahu bertambah pening.

Percaya atau tidak, kehadiran ustazah berbaju kurung kasut kanvas ni banyak membantu Sophea menjadi lebih gembira dan lebih baik. Banyak impak positifnya. Puan Saira pun selalu memuji Suria. Puan Saira tu cita rasa dia tinggi, jarang memuji orang. Tapi kalau dah puji, memang orang itu terbaik di matanya.

Hairan juga, dalam banyak-banyak perempuan hebat yang cuba mendekati Gary, Puan Saira boleh puji ustazah yang serba-serbi sederhana itu. Gadis yang kelihatan biasa-biasa saja penampilannya. Gadis yang akan cakap ikut suka, yang telus dari hatinya. Tak selindung-selindung. Satu-satunya gadis yang tak pernah nak tarik perhatian Gary dengan aset seorang perempuan. Selamba dan bersahaja dengan caranya.

"Papa... See, dah koyak!"

"Ops! Sorry... Sorry, sayang. Papa tak sengaja..."

Itulah... Berangan lagi, Gary oi!

Sophea mula memuncungkan bibirnya.

"Papa tak fokus..."

Ayat tu yang dia selalu sebut pada Sophea. Sekarang Sophea pulangkan balik kepadanya. Realiti mendidik kanak-kanak. Apa yang kita ucap, apa yang kita buat, itulah yang dia orang akan ikut. Kalau baik, maka baiklah ikutannya. Sebaliknya kalau buruk, jangan nak salahkan orang lain. Cermin dan lihatlah diri kita dahulu. Itulah yang Puan Saira tekankan pada Gary sejak dua menjak ini. Cuba menjadi lebih baik untuk Sophea. Dan juga kena cari calon isteri yang baik untuk jadi mama saudara Sophea.

"Ya... Sorry, papa tak fokus. Tapi sekarang dah terbuka dengan baik kan semua? Sikit saja yang koyaknya, nanti papa sellotape balik, ya?"

Sebuah kotak kasut kelihatan selepas pembalut dibuka. Sophea yang tidak sabar terus membuka kotak tersebut. Bersinar-sinar wajah Sophea. Dia melompat sambil bertepuk tangan. Lompat lagi. Ala-ala lompat bintang. Sangat comel dengan rambutnya yang beralun.

"Wah, kasut merah!"

Gary angkat kasut merah itu tinggi-tinggi. Memikirkan sesuatu. Kenapa kasut juga? Perli ke apa?

"Yeay!" Sophea sangat seronok. Suka benar dengan hadiah yang dia dapat.

"Sophea suka?"

"Mestilah, papa! Suka sangat! Kakak pun ada kasut macam ni, tau? Pagi tadi kakak pakai."

Oh... Patutlah!

"Sophea dah bagi kakak barang yang papa kirim tu?"

"Dah, pagi tadi. Kami sama-sama tukar hadiah. Kakak tanya papa sayang kakak ke sebab bagi hadiah?"

Erk... Gary telan liur. Apa nak jawab?

TIBA masa untuk Suria membuka hadiah Pak Cik Rahman. Dari pagi tadi dia simpan di dalam kereta. Tak sabar-sabar hendak buka. Asyik berfikir motif dapat hadiah dari lelaki tu sebab tu dia tak berani buka di tempat kerja. Manalah tahu, kalau ular yang keluar ke, habis semua kucing kesayangan Datin Lala terkejut. Tak mampu dia nak bayar ganti rugi. Untuk seekor pun tak mampu, inikan pula berpuluh-puluh ekor. Di rumah tak apa. Kalau ular, boleh ngap Si Nagasari tu. Puas hati.

Okey, line clear. Tak ada siapa di dalam bilik. Si Nagasari tu tengah sibuk ambil hati Cik Pah kat luar. Tengah ajar Cik Pah cara mengedit nak memuat naik gambar ke Instagram. Tadi masa dia lalu di ruang tamu, sempat dia kerling ke arah dua diva tu. Nampak Cik Pah seronok sekali dengan hobi barunya sekarang ni. Bersosial sakan dengan Facebook dan Instagram.

Pembalut hadiah sudah dibuka. Kotak kasut? Dalamnya mestilah ada kasut kan, tapi sepasang kasut yang pelik!

Kasut tumit tinggi!

Ceh... Kasut gegirl!

Eh... Ada lagi. Lipstik pink!

Tak senonoh punya pak cik. Perli ke apa? Ada ke bagi hadiah kasut tinggi dan gincu warna merah jambu? Nak buat apa? Disertakan juga nota berpelekat pada kasut tu.

Janji tetap janji, bukan? Kita ada date dan untuk itu awak kena pakai kiriman ini...

Dia ingat aku ni Cinderella ke apa? Tak boleh pakai punya pak cik! Rugi syok kat dia, rupa-rupanya spesiesnya sama saja dengan lelaki lain. Suka kepada perempuan pakai kasut tumit tinggi dan bibir terang-benderang. Sekadar kasut kanvas tapak rata ni dan pelembab bibir yang tak menarik tu, mana orang lelaki nak pandang. Ya tak?

Tidak adakah lelaki suka pada perempuan yang biasa-biasa saja? Jangan nak perasan sangatlah, Suria. Pak Cik Rahman tu orang bandar, asal-asal usul rakyat Ratu Elizabeth England sana, mana maunya pada kau. Jejai, hero kampung di Parit Buntar yang masa budak-budak dulu penuh kudis di lutut pun tolak kau, inikan pula orang ada-ada macam Pak Cik Rahman. Suria mengingatkan dirinya sendiri.

Insaf dan sedar diri sikit. Sekali-sekala kena ambil segala tohmahan dan kata perli Si Nagasari sebagai panduan. Tak salah pun. Nak berangan boleh, tapi jangan sampai lupa diri.

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASWhere stories live. Discover now