BAB 15

4.2K 97 19
                                    

PAGI-PAGI lagi Suria sudah melarikan dirinya ke Pasar Kemboja di Permatang Tok Mahat. Tak kuasa dia nak menghadap kroni-kroni kat rumah mak long tu. Semuanya seakan-akan memandang semacam terhadapnya. Semuanya suka membanding-bandingkan dia dengan Ratnasari. Perempuan itu sahaja yang elok, manis mulut, berbudi bahasa, cantik, kerja elok.

Bagi sesetengah orang, terutamanya masyarakat Melayu... Kerja kerajaan adalah kerja yang paling bagus dan terjamin. Cik Pah juga selalu membebel pada Suria supaya mencari kerja kerajaan. Senang. Gaji tetap, tiap-tiap tahun naik, ada pencen, cuti banyak, kalau sakit masuk hospital percuma. Banyaklah faedah-faedahnya. Tapi dia ni spesies anak yang degil. Tak ada satu pun jawatan kerajaan yang dipohonnya.

Dia ada matlamat sendiri. Dia ingin buka business sendiri. Inilah salah satu punca Cik Pah tak puas hati dengannya. Selain dari bab pakai baju dan bab bakal suami. Kata Cik Pah, dia kerja merapu-rapu. Tak ada masa hadapan, buang duit belajar sampai universiti. Ratnasari yang belajar sampai STPM pun boleh dapat kerja bagus. Kadang-kadang Suria sangat kasihan dengan mentaliti Cik Pah. Walaupun banyak bergaul, tapi pemikiran masih di takuk lama. Zaman sudah berubah, orang berniaga atas talian pun boleh dapat duit berkepuk-kepuk. Pentingnya rajin berusaha, jangan putus asa.

Perlahan Proton Inspira putih Encik Rahim dipandu meninggalkan rumah mak long. Menyusuri suasana jalan sepanjang Kampung Perak ini. Sangat damai. Sawah padi yang menghijau membuat hati lebih tenang dan tenteram. Melupakan sekejap hal Cik Pah dan kroni-kroninya.

Tadi sebelum keluar pun Cik Pah beri jelingan paling maut. Suria tetap buat muka selamba. Tak mahu cari gaduh. Nanti maknya juga yang malu. Nanti nampak sangat yang anak dara Cik Pah kurang asam. Berani berkurang ajar dengan mak sendiri! Ustazah Latifah cakap, perselisihan kecil-kecilan antara emak dan anak tu normal. Adat anak-beranak ketika berdekatan, cuma si anak kenalah selalu sedar diri. Jangan jadi anak derhaka, kena beringat siapa yang bertarung nyawa untuk lahirkan kita.

Kata ustazah lagi, ada hubungan anak-beranak yang sama-sama panas. Pantang jumpa depan mata, ada-ada saja yang nak dikompelin. Hakikatnya, sayang si emak sampai bintang juga pada si anak. Tak ada terbahagi kepada anak orang lain. Harap-harap betullah kata Ustazah Latifah.

Biarlah secara luaran Cik Pah suka sangat dengan Ratnasari diva tu, akan tetapi jauh di dalam sanubari Suria tetap nombor satu. Sungguh Suria tidak berdendam sedikit pun dengan Cik Pah. Ratu hati Suria tu. Masa kecil-kecil dulu pagi petang, siang malam dia duk nyanyi lagu ibu... Ibu, engkaulah ratu hatiku. Ingat lagi, wajah Cik Pah berseri-seri kalau dia nyanyikan lagu ni. Tengah marah pun dia boleh senyum. Hebat sungguh penangan lagu tu.

Agak-agaknya, berkesan lagi tak kalau dia nyanyikan semula lagu ni di hadapan Cik Pah? Supaya hati Cik Pah cair semula pada dia? Rindu dengan senyum maknya yang dulu- dulu.

Proton Inspira putih Encik Rahim sudah diparkir di tepi jalan di Permatang Tok Mahat. Dari kejauhan dia sudah nampak kemeriahan gerai-gerai yang ada di situ. Berderet-deret gerainya. Bergayut-gayutan kain baju dan tudung-tudung berbagai-bagai jenis dan paten. Penjual-penjual aktif mengeluarkan suara untuk mempromosi barang-barang mereka.

"Wah... Hebat!" Kali pertama Suria teruja dengan kain baju ini semua. Jika tak, diva Cik Pah dan anak menakan dia saja yang gila dengan benda macam ni. Hari ini terbalik kuang. Pagi ini Pasar Kemboja, Suria yang punya!

Dari satu gerai ke satu gerai dia jelajah. Seronok. Kata orang sini syiok. Macam-macam selendang dan kain tudung ada. Fareeda, Naelofar pun ada, dengan harga yang berkali-kali lebih murah daripada yang original.

Kasihan pengasas rekaan fesyen ni. Berpenat lelah mereka cipta, mudah saja peniaga lain ambil kesempatan menciplak. Namun Suria tak beli pun tudung jenis ni, biar cantik macam mana pun. Dia suka pakai tudung jenis bawal. Senang dan murah. Singgah kat gerai tudung ni sekadar cuci-cuci mata. Manalah tau kut teringin nak berniaga tudung online nanti. Dah ada sikit-sikit bayangannya macam mana.

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASWhere stories live. Discover now