BAB 8

2.4K 71 0
                                    

Ustazah Latifah sedang menunjukkan aksara-aksara yang tertera di dalam iqra' dengan lidi penunjuknya. Dari satu huruf ke satu huruf lidi tersebut berjalan. Tidak terlalu laju, tidak juga perlahan. Sementelah yang membacanya bukan kanak-kanak yang baru bertatih belajar kerana dipaksa ibu bapa, tetapi seorang dewasa dengan rela dan ikhlas hati menurunkan egonya demi mencari sesuatu yang dia tidak miliki selama ini.

"A ba ba, ba a ba, a ba a..."

Lancar saja sebutan huruf-huruf yang ditunjuk terlafaz. Tidak tersekat-sekat. Cepat Gary belajar. Baru sekali Ustazah Latifah memperkenalkan huruf-huruf tersebut dan mengajar bagaimana bunyinya. Jika hati yang berkehendak, segalanya akan menjadi lebih mudah. Yang terpaksa itu yang jadi payah.

Ustazah Latifah dan Gary di ruang tamu, sementara Suria dan Sophea di bilik belakang. Mereka berdua ni murid istimewa. Belajar mengikut jadual lain, tidak sama dengan pelajar-pelajar lain. Takkanlah Ustazah Latifah nak suruh Gary yang tua bangka tu belajar sama-sama dengan kanak-kanak? Gary tu ada air muka yang perlu dijaga. Dia dah turunkan egonya untuk belajar pun dah cukup baik.

Lagipun Ustazah Latifah sudah berjanji dengan mama Gary untuk membantu anak bujang kawannya ini sehinggalah Gary pandai membaca al-Quran. Ustazah Latifah ikhlas. Dan dia juga faham kedudukan serta imej Gary yang perlu dijaga. Dia tahu siapa Gary yang sebenarnya. Jadi, proses pembelajaran ini dibuat secara rahsia, tanpa pengetahuan orang lain. Yang tahu cuma Ustazah Latifah, Suria dan Poji.

Namun pada Suria dia tak pernah bercerita tentang identiti Gary. Kalau Suria tahu sendiri terpulanglah. Tetapi Ustazah Latifah yakin jika Suria tahu siapa sebenarnya Gary, dia tidak akan bercerita kepada orang lain tentang Gary yang baru belajar mengaji. Suria tu dah dianggap macam anak sendiri. Dia tahu semua perangai dan isi perut Suria.

"A ta ba, ta ba a, ta a ba..."

Khusyuk Gary dengan bacaannya. Telahan Ustazah Latifah, dalam beberapa kali kelas saja Gary akan menghabiskan iqra' satu hingga iqra' enam. Lepas itu dah boleh baca muqaddam, surah-surah pendek dan terlebih dahulu kena utamakan surah al-Fatihah. Menurut Puan Saira anaknya telah mendaftar ke kelas asas fardu ain dengan seorang ustaz peribadi. Jadi, dia kena cepatkan proses hafalan surah pendek Gary supaya selari dengan pengajaran di kelas tersebut. Rancangannya, Gary sudah pandai yang asas terlebih dahulu sebelum berguru dengan ustaz tersebut.

Jika tak, malulah Gary. Surah yang paling asas pun dia tak tahu. Menjadi tugas dan tanggungjawab Ustazah Latifah untuk menjaga status Gary. Biar dia saja yang tahu kekhilafan keluarga kawannya, jangan orang lain. Untuk apa kita canang-canangkan kekurangan orang lain? Bukan boleh buat kita bahagia, kaya apatah lagi. Sedangkan kita mendapat pahala dengan niat yang baik-baik. Niat menjaga aib orang pun dah dapat pahala.

Gary boleh saja belajar sendiri melalui kaedah audio visual ke, YouTube ke. Tapi Ustazah Latifah nasihatkan lebih elok berguru, takut salah fahaman dan salah amalan. Gary akur. Dia faham dan setuju. Ilmu Allah ni mana boleh kaut aje di YouTube atau Google. Kena berguru dengan orang yang kita yakin ilmu dan amalan agamanya.

"Tha a ba, tha ba ta, ba ta tha..." Gary sambung lagi bacaannya.

"Ba a tha..." Sophea menyambung.

Tiba-tiba Sophea muncul dari bilik belakang, ingin melihat Papa Garynya mengaji. Seumur hidup belum pernah dia dengar Gary mengaji. Mahu tak teruja nak meninjau? Dah tu sukatan mata pelajaran sama aje dengan dia.

"Sophea." Suria memanggil Sophea yang sudah di hadapan bapa saudaranya dan Ustazah Latifah. Tak ada kerja lainlah tu, nak mengganggu, berlagak pandai daripada Gary. Maklumlah, dia dah sampai iqra' lima, lagi hebat dari orang tua tu.

Perasan Suria pun ada di situ, suara Gary terus berubah. Ada getar, dan terhenti pembacaannya. Wajahnya juga berona merah. Gary hanya menunduk, tak toleh pun pada Sophea dan Suria.

Suria senyum sinis. Simpan segala gelak, walaupun dia geli hati melihat abang sado lengan ketak-ketak membaca a ba ta. Memang sangat tak sesuai! Lepas tu nak malu-malu kucing. Dah tahu malu, kenapa tak mengaji dari zaman budak-budak?

"Kenapa Pak Cik Rahman berhenti? Bacalah! Kata nak cepat pandai," sakat Suria tersengih-sengih tanpa rasa bersalah. Inilah masanya dia nak kenakan Gary balik. Hari tu pak cik ni sangat berlagak. Katanya Suria budak-budak, tak sesuai nak ajar dia takut tak betul. Yalah, dia kan budak-budak.

"Haahlah, Papa Gary... Jangan stop, nanti lambat habis! Nanti Papa Gary lambat kahwin," tokok Sophea tanpa mengerti apa-apa tentang perasaan orang dewasa. Jujur dari hati kata-katanya.

"Ehem... Suria," tegur Ustazah Latifah. Rotan yang terletak di bawah sofa ditarik lalu diacu kepada Suria. Berani-berani mengusik orang! Mata Ustazah Latifah tajam memandang Suria.

Cepat-cepat Suria heret tangan Sophea pergi ke bilik belakang semula. Nampak gayanya Ustazah Latifah dah ada anak angkat baru. Habislah dia. Di rumah, mak asyik melayan Nagasari tu aje. Sampaikan dia rasa terabai. Mengharapkan kasih Ustazah Latifah, rupa-rupanya Ustazah Latifah pun dah ada orang baru. Mentang-mentanglah orang tu kacak, cepat aje ustazah berpaling arah. Ni yang nak nangis. Cemburu!

"Nenek ustazah jangan rotan Papa Gary, ya? Sophea dan kakak akan behave baik-baik," mohon Sophea semasa berlalu. Sayang sangat pada Papa Garynya.

Suria sempat menjeling ke wajah Pak Cik Rahman. Orang tu senyum sekilas sambil mata melirik ke arah anak saudaranya kemudian beralih kepada Suria. Suria jelir lidah sekali. Jangan harap dia nak bela, kena rotan dengan Ustazah Latifah lagi dia suka! Seronok tengok orang sado kena bedal. Ustazah Latifah menggeleng kepala melihat gelagat Suria.

USAI mengaji, Suria dan Sophea duduk di dalam bilik belakang sementara menunggu Gary dan Ustazah Latifah selesai. Sesi pembelajaran Gary lebih lama sebab dia orang tua, daya fokus lebih tinggi. Takkanlah sekejap aje seperti budak-budak, kan?

Mak Daten yang baru selesai makan di dapur, melenggang-lenggok berjalan menuju ke arah Suria dan Sophea sambil menggoyang-goyangkan ekor panjangnya lalu turut melepak bersama. Mak Daten di tengah-tengah. Suria dan Sophea baring di kiri dan kanan.

Mata sudah memberat. Lagipun tubuh sudah penat. Seharian di Cat Signature, balik aje terus ke sini. Mata dah pejam celik, pejam celik. Hendak pejam terus, harus perhati juga keadaan Sophea. Manalah tahu kut-kut Sophea mendera Mak Daten ke. Tapi, sebenarnya dia tahu perkara itu takkan berlaku sebab Sophea sudah mula sayangkan kucing.

Mula-mula dulu memang Sophea takut, tapi bila dah hari-hari jumpa Mak Daten dan kucing-kucing Abang Poji, dia pun dah jatuh cinta dengan haiwan itu. Nampak wajah ceria Sophea bila dapat menyentuh kucing.

Dalam mata pejam celik tu, dia nampak lagi tangan Sophea yang mengusap tubuh dan mencium-cium muka Mak Daten. Mak Daten pula sikit punya sporting, biar saja apa yang dilakukan oleh Sophea. Kucing memang sukakan kanak-kanak.

"Sophea... Hey, don't touch!" jerit Gary kuat di muka pintu bilik. Suria terus bangun, terkejut yang amat. Mak Daten pun sama, dia pantang diterjah dan dijerit, mulalah terkejut. Pantas Mak Daten melompat ke atas dada Gary sebelum berlari menyorok ke tempat lain yang lebih selamat.

Puk!

Kepala Gary terhantuk di birai pintu lalu jatuh ke atas lantai. Wajahnya pucat tak berdarah. Lembik tubuhnya.

"Ya Allah... Apa pula jadi ni?" soal Ustazah Latifah terkejut.

Suria tak menjawab. Tak tahu nak jawab apa. Dia membawa Gary masuk ke dalam bilik untuk memberi ruang yang lebih selesa.

"Cat selalu jahat dengan Papa Gary, nenek! Sebab tu Papa Gary tak suka cat. Papa Gary tak kasi Sophea main cat sebab takut cat buat jahat pada Sophea macam inilah. Kasihannya Papa Gary," jawab Sophea panjang lebar sambil mengurut-urut lengan Gary.

Suria dan Ustazah Latifah saling berpandangan.

Di atas tilam, terbaring seorang lelaki gagah yang lemah. Takut kucing rupa-rupanya! Tak padan dengan tubuh yang gagah perkasa.

Baru Suria faham kenapa Sophea kata kucing jahat. Tak lain tak bukan ajaran sesat bapa saudara dia yang fobia pada kucing. Alahai... Kasihan sungguh. Sedangkan Sophea tu suka kucing sebenarnya. Buktinya, sebulan lebih dia belajar mengaji di sini, Sophea dah boleh main-main dengan kucing. Wajahnya pun dah tak masam lagi. Mood pun dah semakin baik. Sayang kucing ni ibarat terapi diri, boleh ceriakan mood yang swing.

Namun, masih ada manusia tua yang membiarkan dirinya terus fobia dengan kucing.

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASWhere stories live. Discover now