BAB 3

3.7K 92 4
                                    

CIK PAH tak sudah-sudah dengan misi untuk mengubah penampilan Suria. Petang ini Cik Pah susun berhelai-helai skirt labuh di atas sofa di ruang tamu. Nak suruh Suria cuba. Namun Suria tak berminat. Bernanah mata dia tengok semua tu. Ada skirt warna biru terang, kuning, merah jambu, bunga-bunga, semua ada.

Ini mesti Ratnasari yang bagi idea ni. Dengan dialah Cik Pah selalu merujuk. Perunding kecantikan tak bertauliah dia. Macam-macam tip kecantikan Cik Pah kutip dari anak menakan kesayangannya. Entah ya entah tidak ilmunya. Kalau auta, kasihan Cik Pah.

Eee... Tak kuasa nak jadi Cik Pah Junior. Cukup-cukuplah ada seorang peminat skirt tegar di dalam rumah ni. Kalau tambah seorang lagi ditakuti abah tak kenal mana satu bini dia, mana satu anak daranya. Tambah-tambah kalau bibirnya ini pun diwarnakan sama dengan bibir Cik Pah. Merah jambu!

Kalau jadi junior Ratnasari lagi parah. Nahi... Nahi!

Perlahan-lahan Suria menyusup keluar rumah ikut pintu belakang. Kemudian masuk ke kawasan rumah Ustazah Latifah ikut pintu belakang juga. Baiknya Ustazah Latifah dengan dia, hingga sanggup beri kunci pendua mangga pintu belakang. Tak perlulah dia bersusah masuk ikut pintu depan. Jauh sebab rumah mereka bertemu belakang.

Daripada melayan fiil Cik Pah yang macam-macam, lebih baik tolong Ustazah Latifah mengajar budak-budak mengaji. Dapat juga pahala lebih. Kalau tak lari, mungkin dosa yang banyak dapat. Melawan cakap mak! Bukan niat Suria nak buat Cik Pah macam tu, tapi selalunya dia akan terbabas juga. Mulut ni sukar dikawal. Ada-ada sahaja point membidas. Jika tak pun, dalam hati mengomel. Tu pun berdosa juga.

Kasihan Cik Pah. Sebab tu, kalau boleh dia nak mengelak daripada berbahas dengan emaknya. Panas sama panas. Itu yang abah selalu gelarkan mereka dua beranak. Tapi kalau tak ada dua orang panas ni, sunyi sepi pula rumah.

"Pohhh! Abang Poji!" pekik Suria sebaik masuk ke dalam ruang dapur rumah Ustazah Latifah. Saja nak gempar Abang Poji. Lama tak jumpa.

Apalagi, si miaw di atas riba Abang Poji melompat bertempiaran lari. Terkejut. Takut dengar suara minah meroyan.

"Ya Allah, budak seekor ni, bilalah nak jadi perempuan sopan?" rungut Abang Poji sambil mengurut dadanya. Sama terperanjat seperti kucing-kucingnya juga.

"Sergah aje pun. Bukannya hulur parang panjang! Abang Poji tu yang terlebih feeling."

"Menjawab!" marah Abang Poji sepatah sambil acah-acah untuk luku kepala Suria. Suria larikan kepala cepat-cepat.

"Tau takut!"

"Maunya tak, bukan tak biasa kena," balas Suria sambil kaki meluru ke ruang tamu. Riuh-rendah suara jeritan di situ.

Abang Poji gelak. Dia pun sama bergegas ke depan. Mana tak riuh, si miaw tiba-tiba memanjat ke atas muqadam dan al-Quran budak-budak yang tengah mengaji. Berkejar-kejar Suria dan Abang Poji di sekitar ruang tamu untuk menangkap dua ekor kucing tadi. Semakin galak suara riuh-rendah budak-budak menjerit dan kesukaan. Yang takut pun ada. Akhirnya dapat tangkap semula. Suria seekor, Abang Poji seekor.

"Aduh, Mak Daten... Loghat la hang."

Suria peluk sambil mengurut-urut kucing yang dinamakan Mak Daten itu. Kucing ni baru saja dia kutip di tepi pasar malam tiga hari lepas. Asalnya dia nak bela, tapi tahulah perangai Cik Pah macam mana. Jadi dia tumpang letak di rumah Abang Poji dulu, sementara dia berjaya pujuk Cik Pah. Nanti bila mood Cik Pah elok, baru dia masuk jarum.

Dah lama dia bercita-cita untuk bela kucing di rumah, tapi Cik Pah melarang. Sebab kucing jugalah Cik Pah selalu bermasam muka dengan Ustazah Latifah. Apa taknya, kucing-kucing belaan Abang Poji tu selalu aje merayap ke rumah mereka dan buat aniaya Cik Pah dengan haruman mereka.

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASWhere stories live. Discover now