BAB 10

2.6K 79 2
                                    

SURIA masuk ke rumah melalui pintu dapur rumahnya. Dia baru pulang dari rumah Ustazah Latifah mengajar Sophea mengaji. Sekejap lagi dia harus bersiap-siap untuk ke Cat Signature pula. Hari ini hari Sabtu, tentu ramai pelanggan. Dia suka hari Sabtu dan Ahad. Berbagai-bagai ragam peminat kucing yang dapat dilihat. Selalunya melucukan. Boleh buat dia tersenyum-senyum sampai ke dalam tidur. Kucing-kucing sahajalah kebahagiaan dia kini.

Melihat kelibat sepupunya, Ratnasari berhenti menyuap roti lalu memanggil Cik Pah yang sedang mencuci tangan di singki dengan suara manja. Menyampah Suria tengok, tapi dia masih bertahan untuk melihat apa lagi gelagat Ratnasari dan Cik Pah. Apa lagi pelan Si Nagasari tu di dalam misi menyakiti hatinya?

"Cik Pah, mai la sini... Cek nak tunjuk sesuatu ni."

"Awatnya, Ratna?" soal Cik Pah dengan suara lembut ketika menghampiri kerusi yang diduduki Ratnasari. Dia tidak perasan anak daranya juga ada berhampiran.

"Ni ha... Cek nak tunjuk gambaq ni. Cik Pah mesti berkenan!"

"Mana?" Teruja sangat muka Cik Pah.

Ratnasari mengangkat telefon bimbit sedikit ke atas. Maklum dengan keadaan mata Cik Pah yang dah sedikit kabur. Orang tualah katakan.

"Ya Allah, segaknya. Pakwa hang ka? Awat tak habaq hang dah ada pakwa?"

"Seganlah, Cik Pah. Ni dah lama duduk dengan Cik Pah, rasa tak sampai hati pula tak habaq!" Ratnasari mengerling Suria yang sedang bersembunyi. Dia senyum sinis.

"Eh, eh... Segaknya, muka tak macam Melayu sangat, macam orang putih pun ada. Badan pun sasa kemain." Tak sudah-sudah Cik Pah merenung gambar di dalam telefon bimbit Ratnasari.

"Gaya macam orang kaya-kaya. Kerja apa dia?"

"Kerja bagus, Cik Pah! Orang berduit. Kereta mewah, rumah besaq."

"Ya la, kerja apa? Orang muda-muda dah kaya ni kena tau juga kerja apa, kot juai dadah ka, juai perempuan ka, kaya belaka tu."

"Isy, Cik Pah ni. Takkanlah cek nak pilih orang lagu tu, tak maulah. Orang pun tau nak cari hat elok-elok. Cik Pah tak pernah nampak kat tv ka dia ni?"

Dahi Cik Pah berkerut.

"Pelakon ka?"

"Dak aih..."

"Habis tu? Pelawak? Tak pernah nampak kat Maharaja Lawak pun!"

"Apa kelas muka macam ni nak melawak, Cik Pah?"

"Haaa... Cik Pah tau, dia peserta Pencetus Ummah!"

"Dak... Dak aih, Cik Pah! Orang glamor macam cek ni mana mau kahwin dengan ustaz, Cik Pah. Dia ni perunding kecergasan. Hat bagi kuruih, senam-senam tu. Selalu keluaq kat tv. Famous dia ni, Cik Pah! Semua orang yang nak kuruih dok kalut cari dia la ni."

Membulat mata Cik Pah apabila mendengar kata-kata Ratnasari. Sunggah teruja.

"Ya ka? Untungnya mak hang dapat anak macam hang. Dahlah cantik, pandai bergaya, kerja kerajaan, cari calon laki pun pandai. Tak macam anak perempuan Cik Pah, hapah tak guna!"

Ratnasari senyum simpul. Puas hati. Kerling lagi ke arah pintu. Suria masih ada. Ya perempuan tu masih ada.

"Sabarlah, Cik Pah. Mana tau dia berubah nanti!"

Cik Pah menjuih bibir.

"Entahlah," keluh Cik Pah.

Ratnasari tersengih-sengih sambil merenung kembali gambar di dalam telefon bimbit. Nasiblah Cik Pah, kena temberang! Itu gambar dia dengan Gary Rahman beberapa bulan lepas. Masa tu dia ikuti program Jom Fit dan Sihat zon Taiping. Dia memang gila sangat dengan Gary Rahman tu. Kalaulah ada peluang, dia sanggup buat apa saja untuk pikat hati lelaki tu. Itu yang dia meloncat sakan bila dapat kerja di Bangi ni. Macam jodohnya semakin hampir. Betul la, kalau dah jodoh, Tuhan akan buka jalan bagaimana untuk mendekati orang yang dicintai. Senyum lagi.

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASWhere stories live. Discover now