BAB 7

2.8K 72 1
                                    

"SURIA! Suria!"

Cik Pah berlari-lari mendapatkan Suria yang berada di ruang tamu lalu mendakap anak perempuannya itu. Hairan Suria. Kenapa lain benar sikap Cik Pah? Gembira semacam. Siap peluk dan cium lagi. Jika tidak, pantang nampak batang hidungnya yang tak berapa mancung ini, ada-ada sahaja komen, kritikan, rungutan dan bebelan keluar dari bibir pink tu. Pendek kata, tak ada satu pun yang ada pada Suria menyenangkan hati Cik Pah.

"Doa mak dah dimakbulkan Tuhan, Suria." Menyeringai Cik Pah kesukaan.

"Doa apa? Orang pinang Suria?" Anak raja mana yang datang merisiknya hari ini hingga buat Cik Pah begitu gembira, tak sabar-sabar tunggu dia balik rumah? Isy... Musykil ni.

"Hesy!" Bahu Suria kena cepuk sekali.

"Toksah dok berangan!"

"Habis tu, pasai apa mak syiok sangat? Abah nak kahwin lain ka?"

Sekali lagi bahu Suria kena cepuk.

"Hang ni... Mulut loklak! Cuba cakap benda yang mak suka sikit."

"Habis tu... Awatnya, mak?"

Cik Pah tersenyum lebar.

"Ratna... Ratna..." Bahu Suria digoncang-goncang. Bukan main melebar senyum Cik Pah.

Hah! Ni yang Suria saspens ni. Kalau bab perempuan tu, umpama mimpi ngeri Suria rasakan.

"Ratna nak kahwin dengan jutawan ka, mak?"

"Bukanlah! Dia dah dapat kerja gomen! Di sini. Dia nak duduk di rumah kita!"

"Tinggal di rumah kita?" Terbelalak mata Suria. Ni berita ngeri!

"Yalah! Kat mana lagi dia nak duduk? Kita sajalah saudara dia di sini. Lagipun mak suka sangat!"

Cik Pah pusing-pusingkan badannya kegirangan. Ala-ala budak-budak tadika menari di persembahan akhir tahun persekolahan. Hamboih... Gembira tahap petala tujuh Cik Pah. Tak menahan. Sebaliknya dada Suria macam nak pecah. Tak sanggup! Tak sanggup!

Kenapa ini mesti terjadi?

Gggrrr...

SURIA menggaru-garu kepalanya. Tak puas, dia tarik pula rambutnya ke atas dengan kuat. Tiba-tiba kulit kepala terasa sangat gatal, padahal rambut baru aje kering. Dah dicuci dengan syampu Dove kejap tadi.

Berjam-jam dia di dalam bilik air. Sental puas-puas kepalanya. Boleh kata kalah bau wangi bulu Si Heaven, lepas kena cuci dengan syampu kucing yang mahal tu. Tapi pelik juga kenapa kepalanya boleh gatal. Kuat benar kuman Ratnasari ni. Sebut nama dia saja pun, berdesup kuman terbang datang.

"Toksah nak tunjuk protes sangatlah. Sat lagi tercabut semua rambut, licin kepala baru menyesai tak sudah!" marah Cik Pah kepada anak daranya.

Sakit hati dia melihat kelakuan Suria. Niat dia nak bincang baik-baik. Tapi belum apa-apa, Suria ni dah tarik muka, tarik rambut bagai. Geram aje dia tengok. Kalau muka cantik tak apa. Ini tidak sebiji muka abah dia yang selalu serius tu. Tak ada pasal, cari pasal! Selalu macam ni. Pendek kata mereka dua beranak memang jarang boleh ngam. Lebih baik dengan Ratnasari tu, dia lebih serasi. Anak sendiri selalu bikin hati dia panas!

Dengar bebelan maknya, cepat-cepat Suria alihkan kedua-dua tangan ke dada. Peluk tubuh lagi bagus. Karang masin mulut mak, mahu dia bertambah hodoh. Dah la bentuk badan macam tong dram, kepala pula botak, boleh bayang tak macam mana rupa dia? Ngeri!

Alien jantan dari planet Pluto pun tak ingin pandang, inikan pula abang-abang sado Tanah Melayu. Jangan nak beranganlah. Yang tak sado pun sipi-sipi tak mahu tengok apatah lagi cik abang yang otot berketul-ketul. Kasihan pada budak perempuan bernama Suria Rihana ni.

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASWhere stories live. Discover now