BAB 4

3.3K 74 0
                                    

SELESAI workout, Gary berehat di atas kerusi batu menghadap ke arah tasik. Suasana di sini sejuk dan damai sekali. Taiping sebuah bandar kecil yang tenang dan indah dengan pemandangan semula jadinya. Cantik! Pertama kali dia sertai kumpulan di Taiping untuk projek Jom Fit dan Sihat Bersama Gary Rahman. Projek untuk tahun ketiganya. Tahun ini, jumlah peserta di sini bertambah tiga kali ganda. Sebab itu dia kena tunjukkan diri dan keprihatinannya. Beri semangat secara berterusan kepada peserta.

Sudah dua hari dia di utara tanah air, semalam di Sungai Petani hari ini di Taiping. Sekejap lagi harus berdesup pulang semula ke Bangi. Rindu pada si buah hatinya yang seorang itu. Entah apa yang dibuatnya bersama grandma di rumah. Mesti dia buli sakan grandma. Macam-macamlah perangai Si Sophea tu. Kadang-kadang baik sangat, ceria, kadang-kadang tu swing. Ikut mood dialah. Kalau nak girang, dia girang, kalau hendak murung, dia bermurung. Tak dapat dijangka. Kasihan grandma terpaksa melayan kerenah Sophea yang macam-macam tu bila Gary tidak ada di rumah.

Gary menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan. Tiba-tiba teringat kembali luahan kata mamanya beberapa hari lepas. Entah kenapa, kali ini sangat terkesan dalam hati.

Imbas kembali...

"Umur you dah 33 tahun, Gary. Dah sepatutnya berubah, kena buat anjakan paradigma," ujar Puan Saira, mamanya.

Gary kerut dahi. Apa yang tidak kena dengannya sehingga kena berubah? Status kerjayanya sudah terlebih bagus, kewangan peribadi kukuh. Punya nama, siapa yang tidak kenal dengan Gary Rahman? Selalu muncul di kaca televisyen untuk program kesihatan dan senaman. Malah sikap dan peribadinya yang positif sering mendapat perhatian media.

Apa kurangnya dia? Adakah kerana dia tidak punya teman wanita istimewa? Mama juga tahu, bukan tiada gadis yang tergila-gilakannya, cuma dia yang belum terbuka hati untuk membuat pilihan lagi. Mama tahu semua itu.

"Maksud mama?"

"Mama tak mahu you jadi seperti Keith dan Sherry. Tengok sekarang, yang jadi mangsanya Sophea. Sedangkan dia hanyalah kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa. Kenapa mesti bebankan hidup Sophea akibat kejahilan parents dia?"

"Mama tak mahu bila you kahwin nanti, rumah tangga you pun sama macam dia orang. Lintang-pukang, kemudian senang-senang bercerai bila ada masalah. Akhirnya Sophea terbiar. Mujur ada kita untuk dia tumpang kasih sayang. Bayangkan jika kita tak ada?"

Gary diam. Berfikir apa maksud mamanya dengan lebih mendalam. Semestinya maksud yang ada kaitan dengan dirinya. Sebab mama bercakap dengan dia, bukan dengan abangnya, Keith ataupun bekas kakak iparnya, Sherry.

"Mama mahu Gary jadi bagaimana?" Sesekali dia kena tahu isi hati atau perasaan Puan Saira mengenai dirinya. Hanya seorang ibu saja mampu berkata yang benar.

"Mama mahu kita sama-sama berubah, Gary. Get close to Allah. You have everything now, tapi semua itu nothing jika you tak usaha untuk ubah diri supaya lebih baik di sisi Tuhan. Mama tahu Gary ada segalanya. You anak yang baik, you berjaya, sihat, always positive. Tapi apa yang kita miliki di dunia ni actually semuanya tiada makna jika hati kita kosong, tiada arah, tidak ada matlamat kehidupan yang lebih jauh. You faham?"

Gary angguk. Walaupun sikit saja yang dia faham. Masih ada yang tersirat.

"Lets solat, puasa, baca Quran dan usaha untuk improve diri di sisi Tuhan... And you akan rasa bezanya nanti. Mama dan papa memang salah kerana telah abaikan aspek kerohanian you dan Keith. Tapi you dah dewasa sekarang, you juga perlu usaha untuk baiki diri dari aspek ini. Cuba untuk baiki diri you sedikit demi sedikit, Gary. You will feel apa yang mama rasa sekarang ini. Syukur dan nikmat sangat. Berbeza dengan kehidupan mama yang lama dahulu. Walaupun papa dah tak ada, tapi mama rasa terisi. Tak kosong..."

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASWhere stories live. Discover now