"Ni gambar kat mana? KL ka?"

"Kat Taipinglah, Cik Pah. Tak ingat lagi ka taman tasik ni?"

"Ooo... Dia dok sana ka?"

"Dak aih. Dia dok Bangi ni juga. Ni masa dia pi sana dulu."

"Uih... Sanggup dia noh, pi sana semata-mata nak jumpa hang. Untung sungguh! Maknanya dia betui-betui sayang kat hang tu, Ratna. Kalau dak, dia tak bersusah payah macam tu sekali."

Lebar senyum Ratnasari.

"Betui ka lagu tu, Cik Pah?"

"Betui la. Bertuahnya hang. Orang cantik dan baik macam hang ni memang ramai lelaki elok-elok dok rebut. Tak susah hati mak hang. Tak macam Cik Pah ni."

"Cik Pah nak buat apa pasai Suria tu? Takkan nak biaq aja dia jadi kertu?"

"Hah! Apa tu? Kematu?"

Ratnasari gelak besar. Saja aje dia. Biar anak dara kematu di sebalik pintu itu sakit hati.

"Anak dara tua tak lakulah, Cik Pah..."

"Ooo... Samalah tu maksudnya dengan kematu. Dah tak dapat diajar. Penat mulut Cik Pah ni membebel-bebel. Dia lagu itu juga. Dah banyak baju fesyen-fesyen Cik Pah beli, jangankan nak pakai, pandang pun dia tak mau. Baju kurung 14 zaman tu juga yang dia sarung. Pi mai, pi mai baju tu juga yang dipakai. Bukan ada banyak baju pun macam hang. Kerja pun jaga kucing, mana nak ada banyak duit beli baju."

"Kalau ada orang meminang dia, Cik Pah terus terima ka?"

"Memang! Tak tolak dah sebab belum tentu akan ada lagi orang nak pinang dia. Dah ada sorang yang datang pinang tu pun dah besaq rahmatnya!"

"Habis Cik Pah tak malu ka kalau yang datang pinang tu mat despatch aja ka, peon ka, guard ka... Tak kaya mana?"

"Tak kiralah, Ratna. Asalkan dia kahwin. Dulu-dulu Cik Pah naklah dia kahwin dengan orang elok-elok, tapi kalau dah anak kita pun tak semenggah, sapa yang nak? Daripada malu kat orang kampung Parit Buntaq sana anak Cik Pah tak laku-laku, dah jadi apa... Kematu, ker..."

"Kertu!" Ratnasari gelak besar lagi.

"Haaa... Ker... Tu, apa-apalah... Janji dia kahwin!"

"Yalah kan, Cik Pah. Suruh dia kemaskan badan sikit bagi cantik, dia tak mau. Tu ubat diet... Haram dia makan. Bazir duit aja cek belikan."

"Tau tak apa. Lain kali toksah buang duit hang untuk dia."

"Tapi cek sayang dia, Cik Pah..."

"Cik Pah tau hati hang baik. Dia saja yang keras kepala, ketegaq."

"Tu la... Dia selalu kata cek ni mulut jahat."

"Cik Pah tau sapa baik sapa dak, Ratna. Hang toksah risau noh. Hang tu Cik Pah anggap macam anak perempuan Cik Pah sendiri. Sejak hang duduk sini, Cik Pah seronok sangat."

"Sayang Cik Pah to the moon and back!" Ratnasari peluk Cik Pah yang duduk di atas kerusi sebelahnya. Matanya kerling lagi ke muka pintu. Nampak kelibat orang tu dah mula menjauh. Masuk ke dalam bilik kut. Untuk pagi ini, hati dia sangat puas!

Suria tahu Ratnasari memang sengaja mahu menyakiti hatinya. Apa salah dan dosanya, sampai kakak sepupunya sendiri sanggup berbuat begitu? Kalau tak puas hati cakap terang-terang saja. Tak payah nak sindir-sindir dan mempergunakan maknya. Kasihan Cik Pah kena tipu hidup-hidup. Kalau Ratnasari tu buat jahat pada dia, dia masih boleh terima sebab dia muda. Pangkat adik-adik saja. Cik Pah tu orang tua yang sepatutnya dihormati, bukan dilayan secara tikam belakang macam tu.

Sayang Cik Pah to the moon and back la sangat. Padahal mata merewang mencari sasaran sebenar. Nampak tak di mana keikhlasan tu?

Alahai, mak... Kalau Suria bagi tahu mak hal sebenar pun, mak tak akan percaya. Ratnasari tu dah beli jiwa mak dengan kepura-puraannya.

Berbaik sangka sahajalah, Suria. Bak nasihat Ustazah Latifah, selalu berdoa dan mohon petunjuk daripada Allah S.W.T. Jika orang buat tak baik kepada kita, jangan balas dengan perkara yang serupa. Jadilah seperti pepohon yang merendang buahnya. Orang lempar batu, kita bagi dia buah untuk dimakan. Kita masih tak rugi apa-apa walau terasa sakitnya.

Bab jodoh pula, bukankah ketentuan Tuhan? Jangan cakap besar dan terlalu angkuh, Ratnasari. Selagi tidak kedengaran ucapan 'aku terima nikahnya' kita belum pasti siapa yang bakal jadi suami. Satu minit sebelum akad pun boleh bertukar orang dengan izin Allah.

Tugas kita hanyalah berdoa dan terus berdoa semoga dikurniakan jodoh yang baik-baik. Tak perlu sangat rupa yang kacak, harta bertambun jika jiwanya kosong. Bagaimana seorang lelaki akan membimbing isteri jika rohnya sendiri tidak subur?

Dan kena usaha juga untuk cari jodoh yang baik-baik. Kalau mak terima pinangan orang yang bukan-bukan nanti, haru. Nak pula jika Si Ratnasari dan geng Parit Buntar yang rekomenkan. Tak sanggup!

Nantilah Suria akan cakap dengan Ustazah Latifah, tolong carikan dia suami yang baik-baik. Dapat ustaz pun bagus, insya-Allah boleh bawa kita ke syurga. 

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASWhere stories live. Discover now