"Siapa yang loghat? Mak Daten ke, tuan punya Mak Daten?" sanggah Abang Poji.

"Dah... Dah! Jangan dok loghat-loghat kat sini, budak-budak nak mengaji," marah Ustazah Latifah lalu menolak tubuh kedua-duanya ke dapur semula. Kedua-duanya menurut dengan kucing di tangan masing-masing.

Belum sampai ke dapur, telinga Suria terdengar tangisan seseorang. Dia sua Mak Daten kepada Abang Poji lalu berpatah balik ke belakang. Melihat wajah adik-adik di ruang tamu, semuanya okey saja. Namun tangisan mendayu-dayu itu tetap kedengaran. Mata Suria melilau. Mata Ustazah Latifah juga.

"Anak orang putih tu yang nangis, kakak... Nenek ustazah." Hijas si budak peramah mendahului kawan-kawannya yang lain memberitahu.

"Mana dia?" tanya Ustazah Latifah.

Hijas tunjuk ke arah bilik. Suria dan Ustazah Latifah masuk ke dalam bilik utama.

"Laaa... Kesiannya Sophea takut miaw." Ustazah Latifah cuba memujuk dan mendekati Sophea, tapi Sophea terus lari ke sudut bilik dan menyembamkan mukanya ke lutut. Terus teresak-esak. Dia sangat ketakutan. Badannya mengigil-gigil.

Ustazah Latifah cuba menyentuh tubuh Sophea untuk serapkan semangat dan kasih sayangnya, tapi ditepis kasar. Sophea terus menyambung tangisnya sehingga Ustazah Latifah tak tahu mahu berbuat apa lagi.

Suria hanya menjadi pemerhati dari tadi. Sophea ni budak baru sebab dia tak pernah jumpa sebelum ini. Mungkin hari ini mula mengikuti kelas mengaji Ustazah Latifah. Kebetulan terserempak dengan kucing-kucing yang terkejut. Suria mula rasa bersalah. Betullah kata Abang Poji yang dia ni perempuan main terjah saja. Tak fikir panjang bila hendak buat sesuatu.

"Acik ustazah, biar Suria tunggu dan pujuk dia. Acik pergilah mengajar. Nanti budak-budak kat luar buat hal pula." Ustazah Latifah mengangguk lalu bangun untuk kembali ke ruang tamu.

"Kamu jangan buat dia pengsan pula, anak orang ni, bukan anak kucing." Ustazah Latifah memberi amaran. Kadang-kadang perangai Suria ni juga tak boleh dijangka. Kalau datang gila-gila, dia main belasah aje.

Suria sengih. Faham. Ustazah Latifah dah lebih daripada mengenali sikap dia.

Suria setia menunggu Si Sophea melepaskan rasa takutnya dengan menangis. Perlahan-lahan dia mengengsot duduk semakin rapat dengan Sophea. Tidak lama kemudian, esakan Sophea berhenti dan dia mula memanggung kepala. Suria kenyit mata dan angkat dua jari membuat isyarat peace. Selalunya kalau dia buat kepada budak-budak lain dia orang akan sengih balik. Tidak bagi Sophea. Budak tu memandangnya tanpa riak. Masam seperti tadi juga, cuma sudah berhenti menangis.

Wajah Sophea dikerling. Betullah kata Hijas. Anak orang putih! Wajah Sophea bukan wajah biasa di sini. Eksotik sikit. Rambut lebat keperangan, kulit putih kemerahan. Comel. Lawa. Cute. Tapi muka masam.

Suria menyeluk kocek baju kurungnya. Baru teringat ada Choki-Choki di situ. Dia nak bagi Hijas si becok tu asalnya. Tak apalah, tukar target sedekah. Tak ada rezeki kau hari ni, Hijas.

"Kakak ada Choki-Choki... Nak?"

Sophea buat tak tahu aje.

Suria letak satu atas riba Sophea.

"Sophea satu, kakak satu. Kita makan sama-sama."

Perlahan-lahan Suria makan Choki-Chokinya. Lama dia menanti, akhirnya dia senyum bila Sophea ambil juga Choki-Choki di atas pahanya.

"Dulu-dulu, kakak pun takut cat..."

Sophea pandang Suria. Matanya bulat.

"Cat jahat!"

"Ya ke cat jahat?"

"Haah... Papa Gary pun kata cat jahat."

"Oh, ya? Papa Gary pun tak suka cat?" Suria layankan aje walau dia tak tahu siapa Papa Gary tu. Tiba-tiba pula ramai nama orang putih kedengaran di telinganya. Sophea, Gary... Nama orang putih belaka tu.

"Ya... Cat pernah cakar Papa Gary sampai darah-darah!" Beria-ia Sophea bercerita. Mata dan tangan sama naik. Mula tunjuk ramahnya. Agaknya nanti-nanti Hijas pun kalah.

"Cat pernah cakar Sophea juga ke?"

Sophea menggeleng. Choki-choki dah habis dimakan. Suria keluarkan pula gula-gula Chupa Chups dari kocek baju kurung dia. Sophea pandang kelakuan Suria. Wajahnya semakin riang kerana mendapat gula-gula.

"Oh, kalau gitu kenapa Sophea nangis sangat tadi? Cat tak pernah sakitkan Sophea, kan?"

Sophea diam. Dia seperti ragu-ragu untuk beritahu. Suria biarkan Sophea melayan perasaannya sendiri. Layan budak kena sabar. Dia suka kanak-kanak, sebab tu dia tahu taktik menambat hati dia orang. Dia pun turut bersandar ke dinding macam Sophea. Mengulum gula-gula Chupa Chups perisa strawberi.

"Sophea... Sophea..."

"Kenapa? Cerita dengan kakak. Kita kawan, kan?"

"Sophea... Selain dari takut cat, Sophea takut nenek ustazah. Sebab tu Sophea nangis."

"Laaa... Kenapa takut nenek ustazah pula, sayang?" Suria lunakkan suara selembut yang mungkin. Dengan kanak-kanak harus pandai guna psikologi. Sama seperti kucing.

"Sophea tak pandai mengaji. Orang lain semuanya pandai. Nenek ustazah ada rotan..."

"Oh, gitu. Tak apa, Sophea boleh mengaji dengan kakak."

Wajah Sophea bertukar riang.

"Ya ke?"

Suria angguk. Senyum.

"Kakak pandai ke?"

"Pandailah. Kakak kan dah besar."

"Tapi Papa Gary lagi besar, tak pandai baca Quran pun!"

Suria ketawa. Entah siapa-siapalah Papa Gary tu. Suka benar Sophea menyebut nama tu. Ayah dia kut, tapi kenapa pula ada Gary di belakang tu? Kalau ayah, papa ajelah, kan?

"Tak apa... Nanti suruh Papa Gary belajar dengan nenek ustazah, ya?"

Sophea mengangguk.

"Tapi Sophea... Kakak yang ajar, kan?"

"Mestilah! Sampai Sophea khatam Quran kakak ajar!"

Suria menepuk tangan Sophea tanda berhigh five. Sophea balas dengan senyum merekah.

"Rocklah kakak ustazah ni. Dahlah ada baju kocek Doraemon. Sophea suka!" Sophea menjeling kocek baju kurung Suria. Dah kempis. Tak ada isi lagi. Dia rasa sedikit kecewa.

Suria sengih. Dia tahu maksud kerlingan Sophea. Nampak gayanya esok kena pakai baju kurung yang kocek besarlah, boleh isi banyak. Habislah kau, Hijas... Dah ada pesaing.

Tapi kan, dari tadi Suria rasa dia pernah melihat wajah Sophea sebelum ini. Familiar aje muka eksotik ni di matanya. Cuma dia tak boleh ingat waktu bila dan di mana pernah jumpa. Haiya... Lemah ingatan betul!

SI BAJU KURUNG KASUT KANVASWhere stories live. Discover now