Chapter Fifteen

355 18 0
                                    

Ruang kosong di sebelah Aunty Suraya, aku duduki. Ralit sangat menonton televisyen sehingga aku di sebelahnya tidak langsung dipandang.

"Seronok  ya cerita ni? Sampai Vee dekat sebelah pun dah tak nampak," nadaku jelas-jelas sedang merajuk dan mahu diberi perhatian.

Mendengar suara rajukku itu, Aunty Suraya menoleh. Aku pula sudah tersenyum girang apabila diberi perhatian.

"Eh anak buah kesayangan aunty! Tak perasan pula Vee di sebelah,"  menjulurkan tangan, Aunty Suraya menarik tubuhku ke dalam dakapan. Aku pula melentokkan kepala dengan manja.

"Iyalah, aktor di tv semuanya kacak-kacak. Sedap saja mata memandang," sengaja mengusik Aunty Suraya, walhal tidak seorang pun aku kenal mengenai artis tempatan.

"Kacak memang kacak. Tapi, aunty tak berminatlah Vee. Kalau mahu dibuat menantu dan suami kepada Salina, aunty suka ustaz-ustaz dan pendakwah dalam tv. Sejuk mata dan hati. Bicaranya terselit nasihat. Tindak-tanduknya terkawal penuh hormat," secara tiba-tiba, Aunty Suraya berkongsi ciri-ciri lelaki idaman yang layak dibuat suami.

Aku jadi menarik senyum lebar sambil mata memandang manja ke mata Aunty Suraya. Tercuit hati mendengar ciri-ciri yang seperti mahu dituju-tuju pada suami kesayangan.

"Aunty ni...cakap yang memang sudah ada depan mata. Dah berpuluh tahun berkahwin, masih macam orang muda-muda bercinta. Untung Uncle Salleh," merah kedua-dua belah pipi Aunty Suraya seperti dilayah pemerah pipi berjenama.

Satu-satunya abang kepada daddy itu, warak dan bersopan-santun dalam setiap gerak-geri. Sepadan sangatlah dengan Aunty Suraya yang lemah-lembut orangnya.

"Alhamdulillah, aunty bersuamikan lelaki sebaik Uncle Salleh. Hmmm... Vee pula macam mana? Tak berminat pada lelaki macam ni?" soalan Aunty Suraya santai sahaja namun benar-benar menyerkap jarang perasaan.

"Errr...Vee tak kisah sangat aunty. Kalau sudah jodoh, Vee terima seikhlasnya," aku memberi jawapan yang paling selamat. Jauh di sudut hati, aku menghina diri sendiri. Kalau sekadar bermimpi tetapi hakikatnya status tidak sama, tak mungkin dapat bersama. Dalam diam, aku lepaskan keluhan.

"Eh, tak boleh macam tu Vee. Kita ni nak berkahwin, jodoh tu kalau boleh biar sampai ke akhir hayat. Insyallah bertemu semula di akhirat. Jadi, kena pilih yang betul-betul mampu membimbing kita ke jalan yang diredai Allah. Agamanya perlu penuh di dada. Paling tidak pun, dia tahu asas-asas agama supaya kemudian hari nanti tak berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini," panjang lebar nasihat yang diberi. Aku hanya mampu tersenyum kelat, mengakui ada benarnya nasihat tadi.

Jika ilmu agama sudah penuh di dada dan mencukupi, masalah-masalah kecil yang membawa kepada penceraian  dapat ditangani dengan lebih rasional dan tenang.

"Walau apa pun, kita hanya merancang. Sekurangnya, setelah kita memilih pasangan yang tepat, kita mampu elakkan ia daripada terjadi."

Sekadar mengangguk, aku tidak berniat untuk menambah apa-apa. Perasaan yang hadir pada ketika ini, aku tahankan dalam hati. Mengapalah perlu diingatkan tentang pilihan hati yang tidak sudi? Susah rupanya untuk move on. Di bibir mudah saja menyebutnya tetapi untuk melakukannya boleh menyesakkan dada!

"Tadi petang kenapa tak turun bawah? Aunty dengan Mummy Vee kukus Puding Caramel kegemaran Vee tau."

Mendengar Puding Caramel meniti di bibir Aunty Suraya, buat aku terlupa seketika perasaan sedih yang membebani diri. Mataku membulat lalu tubuhku pantas merapat kepada Aunty Suraya.

"Naklah tu kan? Aunty Su tahu. Sekejap, aunty tolong ambilkan untuk Vee. Ada lagi dalam peti ais," Aunty Suraya sudah mahu bangun namun aku lebih pantas bertindak memegang tangannya membuatkan dia terduduk semula.

Imam Muda Miss DivaOnde histórias criam vida. Descubra agora